Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dera anjing di balkoni dihukum penjara 9 bulan

Seorang amah yang mematuhi arahan majikannya supaya mendera seekor anjing 'poodle' dengan memukul serta menggantung haiwan itu di balkoni, dihukum penjara selama sembilan bulan pada Selasa (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dera anjing di balkoni dihukum penjara 9 bulan

(Gambar: Facebook/Tan Derrick)

Diterbitkan : 27 Nov 2024 09:47AM Dikemas Kini : 27 Nov 2024 09:49AM
SINGAPURA: Seorang amah yang mematuhi arahan majikannya supaya mendera seekor anjing 'poodle' dengan memukul serta menggantung haiwan itu di balkoni, dihukum penjara selama sembilan bulan pada Selasa (26 Nov).

Warga Myanmar Junny Lal Awn Pui, 26 tahun didapati bersalah atas tiga tuduhan mendera haiwan di bawah Akta Haiwan dan Burung.

Satu laporan veterinar dari Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan perbuatan mendera haiwan itu berkali-kali mungkin mengakibatkan kematian anjing jantan yang dikenali sebagai Boyboy.

Pada awal tahun ini, satu catatan Facebook oleh Derrick Tan, presiden badan kejabikan haiwan 'Voice for Animals' menunjukkan rakaman Junny Lal Awn Pui sedang memukul anjing berkenaan.

Dalam satu video, dia lihat menekan anjing itu di lehernya dan memukul haiwan itu dengan tangannya.

Sedang anjing itu bergelut, amah itu memukul haiwan itu sebanyak dua kali menggunakan sebatang objek.

Dalam satu lagi video, dia menggunakan objek yang sama untuk memukul kepala anjing itu dengan ia diikat pada paip.

Anjing itu juga diikat dan dibiarkan tergantung dari susur balkoni.

Menurut dokumen mahkamah, Junny Lal Awn Pui menerima arahan daripada majikannya, seorang wanita berusia 37 tahun bernama Heng, untuk menjaga anjing peliharaannya yang dianggarkan berusia 15 tahun.

Anjing itu milik teman lelaki Heng, bernama Lai.

Lai dan bekas temanitanya, Yap, mengambil anjing itu sebagai haiwan peliharaan setelah menemuinya di Rochor Road pada Januari 2015.

Lai menjaga anjing tersebut di rumahnya setelah berpisah dengan Yap pada 2018.

Namun selepas beliau menjalin hubungan dengan Heng, kedua-duanya bersetuju supaya anjing itu dipelihara di rumah Heng.

Lai turut memasang alat rakaman pergerakan di balkoni di mana terletaknya tempat tidur anjing berkenaan.

Nama penuh Heng, Lai dan Yap disunting daripada dokumen mahkamah.

DIPUKUL, DIGANTUNG DAN DIPUKUL SEKALI LAGI

Di bawah arahan Heng kepada Junny Lal Awn Pui, Boyboy diasingkan daripada dua anjing peliharaan Heng.

Ia dikurung di balkoni dan jarang sekali dibenar masuk ke dalam rumah.

Bahkan Heng mengarahkan amahnya supaya memberi makan kepada Boyboy di balkoni, jauh dari lagi dua anjing peliharaannya.

Dalam satu tindakan mendera yang dirakam pada pagi 22 Januari 2024, Junny Lal Awn Pui dilihat menekan anjing itu lalu memukulnya menggunakan tangan, sebelum memukul kepala anjing itu menggunakan sebatang objek.

Dia melakukan demikian kerana dia telah diarahkan oleh Heng untuk memukul anjing itu jika ia makan tanpa diarahkan.

Heng menggulung beberapa bungkusan makanan haiwan peliharaan untuk dijadikan objek untuk memukul anjing tersebut.

KEMATIAN BOYBOY

Pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari, Boyboy diikat menggunakan tali pendek dan dibiarkan di bawah terik matahari di balkoni berkenaan.

Ia berbaring miring ke kiri dengan kedua-dua kaki depannya berlunjur ke hadapan, dan tubuhnya sesekali menggeletar.

Pada pukul 1.24 petang, Junny Lal Awn Pui diarahkan oleh Heng untuk memeriksa keadaan Boyboy.

Amah itu mendapati bahawa anjing berkenaan menggigit lidahnya dan berlumuran darah pada mulutnya.

Dia memaklumkan hal itu kepada majikannya dan kedua-dua mereka memeriksa keadaan Boyboy lalu mendapati anjing itu telah mati.

Junny Lal Awn Pui kemudian mengangkat Boyboy lalu mencampaknya ke satu sudut balkoni tersebut.

Pada hari yang sama, Heng menghubungi Mandai Pet Sanctuary untuk mengambil dan membakar bangkai haiwan itu.

Bangkai haiwan itu dihantar ke Mandai dan disimpan dalam peti sejuk selepas Heng memaklumkan kepada pemandu tersebut supaya tangguh dahulu proses pembakaran kerana dia ingin maklumkan kejadian itu kepada teman lelaki dan pemilik Boyboy, Lai.

PEMILIK CURIGA

Heng kemudian memandu ke rumah Lai pada sekitar pukul 5.00 petang di mana mereka tunggu sehingga beliau pulang pada pukul 10.00 malam.

Heng meraikan ulang tahun Lai lalu memaklumkan kepadanya mengenai kematian Boyboy selepas menyambut hari jadinya.

Bangkai Boyboy dibakar di Mandai pada keesokan hari.

Namun selepas melihat bangkainya, Lai mendapati bahawa kaki anjing itu diluruskan lalu beliau mula berasa curiga kerana anjing itu sangat aktif sehari sebelum ia mati.

Lai kemudian menonton semula rakaman CCTV di mana beliau mendapati Junny Lal Awn Pui telah mendera anjing peliharaannya.

Lai kemudian bertemu dengan bekas temanitanya Yap pada 25 Januari, dan mereka membuat aduan kepada NParks.

Semua barangan milik Boyboy, termasuk mangkuk, sabun, berus, tuala dan mainannya serta kamera CCTV tersebut dibuang oleh Heng pada 24 Januari, iaitu dua hari selepas penderaan itu berlaku.

"Laporan veterinar menunjukkan (Boyboy) mengalami "kesakitan dan penderitaan yang teruk" dan terdapat "kemungkinan besar anjing itu mengalami trauma pada tempurung kepala akibat dipukul", kata pihak pendakwa.

"Jika tiada faktor penyumbang yang lain, pukulan traumatik secara berulang berkemungkinan menyebabkan kematian Boyboy," kata pihak pendakwa merujuk kepada laporan oleh doktor haiwan.

Junny Lal Awn Pui bekerja dengan Heng sejak 16 Disember tahun lalu.

Mediacorp telah bertanya kepada NParks jika sebarang tindakan akan diambil terhadap majikannya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan