Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Alun Tradisi' bawa kelainan dalam persembahan lagu tradisional Melayu, teroka pasaran SG

Dengan majlis perkahwinan secara besar-besaran kembali rancak diadakan, penyedia-penyedia khidmat majlis cuba membawakan pelbagai keunikan dan pembaharuan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan majlis perkahwinan secara besar-besaran kembali rancak diadakan, penyedia-penyedia khidmat majlis cuba membawakan pelbagai keunikan dan pembaharuan.

Ini termasuk memenuhi permintaan bagi persembahan lagu-lagu tradisional secara langsung.

Lebih menarik lagi, pengurus salah sebuah kumpulan muzik dari seberang, Cik Hanalia Khamis melihat permintaan bagi persembahan sedemikian daripada generasi muda cukup memberangsangkan.

"Saya melihat ada permintaan baru-baru ini, lebih-lebih lagi daripada generasi lebih muda. Ia amat menggalakkan untuk lihat generasi lebih muda menikmati lagu malar segar dan lagu tradisional Melayu," kata Cik Hanalia.


Ini yang membuatkan beliau berani membawa masuk para pemuzik dan artis lagu-lagu tradisional, kumpulan Alun Tradisi dari seberang bagi pasaran tempatan.

Dengan pengalaman lebih 15 tahun, kumpulan lima anggota itu sudahpun mengadakan lebih 300 persembahan di Malaysia.

"Pertengahan tahun lepas, ada pertanyaan daripada Singapura yang hendak kami buat persembahan di Singapura untuk majlis perkahwinan. Jadi itu saya rasa permulaan yang baik untuk kami lebih mengembangkan bakat, seni, meluaskan pengalaman kami juga untuk pergi ke luar negara," jelas Cik Hazra Dollah, vokalis kumpulan Alun Tradisi.

Uniknya, mereka jarang menggunakan alat muzik tradisional.

Sebaliknya mereka menggunakan alat muzik moden seperti gitar dan akordion.

"Walaupun kami bawa lagu-lagu lama, tetapi cara pembawakan, gaya itu, rentak dan sebagainya, kami suntik sedikit kemodenan di situ. Jadi ia tidak terlampau asli dan terlalu 'lama' bunyinya," kata Cik Hazra.

PERNAH NYANYI BERSAMA SITI NURHALIZA, JAMAL ABDILLAH

Baru-baru ini, kumpulan itu membuat persembahan 'showcase' mereka yang pertama di Singapura, sebagai usaha untuk memperkenalkan diri mereka kepada masyarakat di sini.

Sepanjang dua jam, lebih 12 lagu berbagai rentak daripada 'Ketipang Payung', 'Yale-Yale' hinggalah ke lagu Bahasa Inggeris, 'Can't Help Falling in Love' dipersembahkan kepada sekitar 50 hadirin.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bukan sahaja mendendangkan lagu, kumpulan itu juga cukup menghiburkan dengan cara interaksi bersama para hadirin.

"Bila kita berada di Singapura, sebenarnya kami mencari apa yang diminati disukai oleh orang-orang di Singapura. Sebenarnya muzik dia sama. Di sini pun ada lagu asli, lagu inang, lagu zapin. Cuma mungkin dekat sini orang Singapura sukakan lagu yang rancak, lagu yang klasik, lagu-lagu lama," jelas Cik Hazra, satu-satunya 'bunga' dalam kumpulan tersebut.

Jika di Malaysia, mereka sudahpun bergandingan dengan artis-artis ternama seperti Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Misha Omar dan Kugiran Masdo, Cik Hazra berharap dapat juga berkolaborasi dengan kumpulan-kumpulan muzik tradisional seperti mereka di Singapura.

"Kami sangat menantikan peluang yang akan hadir itu. Kami sangat teruja untuk berkongsi lebih lagi pengalaman dan bakat yang kami ada di Singapura," tambah Cik Hazra yang juga pernah menyertai sebuah pertandingan realiti di Malaysia.

LEBIH BANYAK PERSEMBAHAN; KOLABORASI DENGAN ARTIS S'PURA

Impian tersebut antara yang bakal diusahakan Cik Hanalia Khamis, selaku Pengurus kumpulan itu di Singapura.

Selain cuba memperkenalkan lagi kumpulan itu menerusi acara-acara 'showcase' dan ekspo-ekspo perkahwinan, beliau berharap dapat memartabatkan lagi industri muzik tradisional tanah air.

"Kami akan cuba berkolaborasi dengan penggiat-penggiat seni di Singapura untuk bertukar-tukar fikiran macam mana kita nak menaiktarafkan lagi muzik-muzik seperti ini jadi ia akan kekal malar segar dan santai didengar," kata Cik Hanalia, yang juga Ketua Pegawai Strategi di syarikat perundingan Libre.

Menurut Cik Hanalia, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa penyedia khidmat majlis perkahwinan di sini untuk menawarkan pakej-pakej termasuk hiburan.

Beliau menganggarkan bayaran untuk persembahan secara 'live' kumpulan tersebut sekitar S$3,000 bagi majlis selama enam jam.

"Kami juga cuba berkolaborasi dengan para perancang majlis perkahwinan dan saya rasa saya akan biarkan kepada syarikat-syarikat itu kerana ia adalah pakej-pakej berbeza yang ditawarkan," jelasnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Jadual bagi kumpulan tersebut sudahpun penuh untuk 2023.

Namun, Cik Hazra memberi jaminan, mereka boleh membuat penyesuaian sekiranya ada permintaan di sini.

Tahun lalu, Alun Tradisi mengeluarkan album kompilasi mereka berjudul 'Alun Tradisi Vol 1' secara digital.

Sebanyak 19 lagu yang dirakam semula dimuatkan seperti 'Berdiri Bulu Romaku', 'Kuda Hitam' dan 'Gadis Dan Bunga'.

Selepas Singapura, kumpulan itu berharap untuk menjelajah pula ke Indonesia dan Brunei.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan