Skip to main content

Singapura

Alumni, penuntut kecam ‘pelupusan’ buku perpustakaan Yale-NUS yang kini ditutup

Percubaan untuk melupuskan ratusan buku di Kolej Yale-NUS pada Selasa (21 Mei) mencetuskan kemarahan dalam kalangan alumni dan penuntutnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Alumni, penuntut kecam ‘pelupusan’ buku perpustakaan Yale-NUS yang kini ditutup

Beg-beg berisi buku diletakkan di luar sebuah bangunan di kampus Yale-NUS (kiri); beg-beg tersebut kemudian dipindahkan ke atas lori, pada 20 Mei 2025. (Gambar: Pembaca CNA, Encik Lee)

SINGAPURA: Percubaan untuk melupuskan ratusan buku di Kolej Yale-NUS pada Selasa (21 Mei) mencetuskan kemarahan dalam kalangan alumni dan penuntutnya.

Kecaman itu dipercayai mendorong pihak universiti untuk menarik balik keputusan tersebut pada hari yang sama. Menurut alumni, sebahagian daripada buku-buku itu telah diperoleh semula daripada syarikat kitar semula yang mengutipnya lebih awal, dan akan diagihkan pada satu tarikh akan datang.

NUS belum menyatakan secara rasmi ke mana buku-buku itu akan dibawa atau sama ada rancangan asal telah berubah. Mediacorp menghubungi pihak universiti pada Selasa, pukul 2.20 petang dan menerima maklum balas pada pukul 11.12 malam menyatakan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan perkara itu.

Seorang penuntut Yale-NUS yang menamatkan pengajian tahun ini dan hanya mahu dikenali sebagai Encik Lee memberitahu Mediacorp bahawa beliau kembali ke kampus universiti sekitar pukul 11.30 pada pagi Selasa selepas menerima gambar beg sampah berisi buku-buku yang dilonggokkan di ruang legar kampus daripada seorang rakan sekelas.

Apabila beliau tiba pada pukul 12.05 tengah hari, sekitar lima penuntut sudah berkumpul berhampiran sebuah lori milik Green Orange Enviro, sebuah syarikat kitar semula. Dua pekerja syarikat berkenaan bersama dua kakitangan NUS dilihat terlibat dalam perbincangan hangat dengan para penuntut yang berkumpul di situ, menurut Encik Lee.

“Mereka bertekak dengan penuntut lain, pada dasarnya mengatakan, ‘Anda tidak boleh sentuh buku-buku ini. Buku-buku ini akan dilupuskan, anda tidak boleh simpan. Ia bukan untuk disumbangkan, tetapi untuk dilupuskan,’” kata penuntut berusia 24 tahun itu.

Apabila ditanya mengapa buku-buku itu tidak boleh disumbangkan, kakitangan NUS di lokasi berkenaan memberitahu penuntut supaya tidak berbincang dengan mereka kerana mereka “hanya kakitangan” dan mengarahkan mereka bercakap dengan pustakawan yang bertanggungjawab, kata Encik Lee.

Ketika beg-beg plastik putih berisi buku sedang dimuatkan ke dalam lori, seorang lelaki yang dikenal pasti kakitangan NUS sebagai pustakawan tiba di ruang legar dan bercakap dengan para penuntut.

Pustakawan itu menjelaskan bahawa NUS “tidak mempunyai pilihan” selain melupuskan buku-buku berkenaan kerana diberi masa singkat oleh fakulti undang-undang dan pihak pengurusan infrastruktur kampus NUS untuk melupuskan buku-buku perpustakaan tersebut.

“Dia pada dasarnya berkata perkara ini terlalu sukar. Bila saya bangkitkan bahawa kami baru sahaja anjurkan kempen (sumbangan buku) bebas empat minggu lalu, dia berkata, ‘Awak tak faham, susah nak buang tag keselamatan RFID daripada buku-buku itu,’” ujar Encik Lee, yang menambah bahawa sekitar 50 beg dimuatkan ke dalam lori, dengan 10 hingga 20 buku dalam setiap beg.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa melihat perkara itu berlaku pada hari kedua terakhirnya di kampus.

“Hari sebelum kami keluar, kami nampak lori sampah secara rawak mengangkut buku-buku perpustakaan kami ... yang ditulis fakulti, digunakan penuntut, dibuang macam sampah biasa. Kenapa proses ini diuruskan sebegitu teruk?” kata Encik Lee.

Alumni Yale-NUS, Chloe Ang, berkata beliau mula mengetahui tentang perkara itu selepas menerima banyak mesej dalam saluran Telegram Kolej Yale-NUS.

“Terdapat video pekerja membaling beg sampah putih ke atas lori di Yale-NUS Oculus (bulatan), dan saya dapati mereka sedang memuatkan buku-buku dari Perpustakaan Yale-NUS,” katanya kepada Mediacorp.

“Komuniti dengan segera mencari jalan untuk menyelamatkan buku-buku itu, manakala penuntut di tempat kejadian cuba mengambil beberapa beg, dan yang lain pula menghubungi syarikat terlibat, kakitangan NUS dan pihak media. Secara beransur-ansur, maklumat lebih lanjut diperoleh, disusuli penjelasan daripada kakitangan perpustakaan Yale-NUS.”

Dalam satu catatan LinkedIn pada Selasa, Cik Ang mengatakan bahawa kebanyakan buku terbabit adalah salinan tambahan dan dilupuskan untuk memberi ruang kepada Perpustakaan Undang-Undang yang akan datang. Buku-buku itu terdiri daripada yang baharu, yang tidak lagi dicetak serta karya anggota fakulti.

“Sebilangan rakan saya cuba menyelamatkannya. Tapi mereka dihalang dan buku-buku itu diambil semula oleh pekerja,” tulis Cik Ang.

Kakitangan perpustakaan berkata buku-buku tersebut tidak boleh disumbangkan kerana adanya tag RFID dan tidak boleh dipindahkan ke perpustakaan NUS yang lain, menurut ahli alumni dari kohort 2024.

“Paling penting, pustakawan diberi notis terlalu singkat untuk ‘melupuskan buku-buku dengan sewajarnya’. Ini menyebabkan pembaziran besar-besaran yang kami saksikan hari ini.”

Seorang lagi alumni Yale-NUS, Cik Jolene Lum, berkata beliau berasa bangga dengan para penuntut dan alumni yang bertindak segera apabila mendengar berita tersebut.

“Tindakan bersama para penuntut (kebanyakannya alumni) yang tercetus daripada emosi ini telah mengubah keadaan di mana ratusan (jika bukan ribuan) buku berjaya diselamatkan daripada dikitar semula apabila ia sepatutnya dapat dikongsi dengan orang lain,” tulisnya di LinkedIn.

Seorang lagi alumni Yale-NUS – yang juga menamatkan pengajian tahun ini dan mahu dikenali sebagai Encik Soo – memberitahu Mediacorp bahawa beliau tiba di ruang legar bersama tiga rakannya sekitar pukul 11.00 pagi dan melihat para pekerja mula memuatkan beg berisi buku ke dalam lori.

Penuntut berusia 25 tahun itu berkata beliau melihat dua pekerja dari Green Orange Enviro, dan mendengar daripada individu lain yang bertanya kepada para pekerja bahawa buku-buku itu akan dibawa ke kemudahan pengurusan sisa Asia Recycling.

Beg-beg buku itu ditinggalkan di pintu masuk kampus Yale-NUS, sesuatu yang disifatkannya sebagai “ironi”. Beliau menganggarkan terdapat sekitar 80 hingga 90 beg.

Tiga kakitangan perpustakaan turut berada di lokasi untuk memantau kerja-kerja pemindahan buku dan menghalang orang ramai daripada mengambilnya. Beliau berkata salah seorang kakitangan bersikap “kasar” terhadap sesiapa yang cuba mengambil buku, dan menyatakan bahawa mereka “tidak berhak mengambilnya ... kerana ia milik kami”.

Katanya, apabila beliau dan rakan bertanya mengapa buku-buku itu dilupuskan, mereka diminta ke perpustakaan untuk bertemu kakitangan yang lebih kanan.

“Ia bukan sahaja operasi yang tergesa-gesa, malah ia adalah operasi yang tidak telus,” tambahnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat mesej dalam kumpulan sembang yang menyatakan pihak sekolah akan mengubah keputusan, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.

Bercakap kepada Mediacorp pada Selasa malam, Encik Lee berkata beliau melihat mesej daripada kelab alumni penuntut bahawa pihak pentadbiran Kolej NUS telah memaklumkan kepada jawatankuasa eksekutif kelab tersebut bahawa mereka akan cuba mendapatkan semula buku-buku tersebut untuk didermakan.

Namun, Encik Lee tetap kecewa dengan “kekurangan dari segi kejelasan dan ketepatan masa” oleh pihak NUS dalam menangani isu tersebut.

Kolej Yale-NUS dijangka ditutup tahun ini, dengan kohort terakhir penuntutnya menamatkan pengajian pada Mei 2025.

Ditubuhkan pada 2011, kolej itu digabungkan dengan Program Sarjana Universiti untuk membentuk sebuah kolej baharu, menurut pengumuman Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Ogos 2021.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita