Aloysius Pang terhempap antara laras meriam howitzer dengan kabin meriam: Panglima Tentera
Aloysius Pang, pelakon yang meninggal dunia dalam kemalangan latihan tentera, dihempap antara laras meriam Howitzer dan kabinnya selepas beliau tidak sempat mengelak apabila laras itu diturunkan. Ini didedahkan Panglima Tentera, MG Goh Si Hou, di sidang media pada Khamis (24 Jan).
SINGAPURA: Aloysius Pang, pelakon yang meninggal dunia dalam kemalangan latihan tentera, dihempap antara laras meriam Howitzer dan kabinnya selepas beliau tidak sempat mengelak apabila laras itu diturunkan.
Ini didedahkan Panglima Tentera, Mejar-Jeneral (MG) Goh Si Hou, di sidang media pada Khamis (24 Jan).
Mendiang Pang, 28 tahun, seorang teknisyen pensenjataan bersama Batalion Artileri Singapura ke-268, sedang menjalani latihan kerahan di Kawasan Latihan Waiouru di New Zealand sebagai sebahagian latihan tahunan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dipanggil Latihan Thunder Warrior.
Pada 19 Jan, beliau ditugaskan membaiki kerosakan pada laras meriam Howitzer (SSPH). Semasa beliau seorang lagi teknisyen dan seorang komander senjata berada dalam kabin Howitzer tersebut, laras senjata diturunkan ke posisi sedia.
"Kelihatannya menurut dapatan awal, Aloysius tidak dapat mengundur diri sedang laras meriam itu diturunkan," kata MG Goh. "Beliau tersepit antara pangkal laras meriam dan bahagian dalam SSPH dan akibatnya cedera tertindih."
Menurut MG Goh, apabila laras meriam diturunkan, ruang di dalam kabin Howitzer berkurangan, namun "selalunya mencukupi" untuk pengendali artileri dan para teknisyen untuk beroperasi.
"Apa yang kami dapati adalah malangnya, beliau tidak dapat mengelak sedang laras itu diturunkan," kata MG Goh.
Laras meriam diturunkan dari dalam kabin dan memerlukan sembilan hingga 10 saat untuk diturunkan sepenuhnya dari posisi sedia, kata Kolonel (COL) Terry Tan, komander Pusat dan Sokongan Khidmat Kombat (CSSCOM).
Ditanya siapa yang menurunkan laras meriam dan jika terdapat kelemahan prosedur keselamatan, MG Goh berkata ini akan menjadi tumpuan siasatan. Ia adalah "tidak wajar" untuk memberikan perincian sehingga siasatan selesai, kata beliau.
PANG "BERKELAYAKAN, BERKEBOLEHAN"
COL Tan menambah mendiang Pang adalah teknisyen pensenjataan yang "berkelayakan dan berkebolehan".
Sebelum latihan berskala seperti ini, anggota kerahan (NSmen) perlu menjalani program latihan menyeluruh, kata beliau. Anggota kru penyenggaraan seperti Pang akan melalui latihan ulang kaji berhubung pemeriksaan perkakas serta tugasan penyenggaraan seperti demonstrasi jurulatih dan latihan amali. Sesi amali tambahan bagi mengesan kerosakan lazim juga diadakan.
(Ilustrasi: MINDEF)
"Semua ini dilakukan dengan penekanan pada keselamatan latihan dan pencegahan sedang mereka melakukan tugas-tugas penyenggaraan," kata COL Tan.
“Aloysius sudah menjalani latihan ulang kaji ini dan berkelayakan serta berkebolehan untuk melakukan tugasnya semasa Latihan Thunder Warrior,” tambah beliau.
APA YANG TERJADI
Mendiang Pang, yang memegang pangkat Korporal Kelas Pertama (Kerahan), meninggal dunia empat hari selepas kemalangan pada Sabtu.
Selepas mengalami kecederaan, beliau digegaskan ke Hospital Waikato, sebuah pusat trauma daerah, di mana beliau menjalani tiga pembedahan untuk merawat kecederaannya. Selepas dua pembedahan pertama, ketua pembedahan jagaan akut dan trauma Hospital Tan Tock Seng Dr Teo Li Tserng kata pada Isnin bahawa keadaan Pang sudah stabil.
Beliau ketika itu dikatakan dalam keadaan sedarkan diri dan bernafas tanpa sebarang bantuan mekanikal.
Bagaimanapun, keadaannya menjadi teruk dan memerlukan pembedahan susulan, menurut MINDEF pada Rabu. Meskipun menjalani satu lagi pembedahan untuk merawat organ-organ tubuhnya yang rosak dan meletakkannya di bawah sistem sokongan hidup bagi paru-paru, ginjal dan jantungnya, Pang akhirnya meninggal dunia.
Satu Jawatankuasa Siasatan (COI) bebas akan ditubuhan untuk menyiasat kejadian yang mengakibatkan insiden.
Kematian mendiang Pang adalah yang keempat berhubung latihan tentera dalam tempoh 18 bulan lalu.
LAPORAN BERKAITAN:
Tragedi Aloysius Pang: Kematian ke-4 semasa latihan SAF dalam 18 bulan
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.