Aloysius Pang disemadikan dengan penghormatan tentera
Pelakon dan askar kerahan, Korporal Kelas Pertama Aloysius Pang disemadikan dengan penghormatan tentera.
SINGAPURA: Pelakon dan askar kerahan, Korporal Kelas Pertama Aloysius Pang disemadikan dengan penghormatan tentera.
Keranda mendiang Pang tiba di Krematorium Mandai petang tadi, diiringi anggota tentera pasukan Artileri.
Hampir 300 anggota tentera lelaki dan wanita daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) beratur di kedua-dua bahagian jalan raya.
Abang mendiang Pang, Encik Kenny yang berpakaian serba hitam menyusuli di belakang kenderaan yang membawa jenazah mendiang.
Bendera negara menutupi keranda Pang yang diusung ke dewan krematorium.
Di hujung upacara, tiga das tembakan penghormatan dilepaskan disusuli dengan tiupan bugle.
Ia diikuti dengan tabik hormat kesemua askar yang hadir serta sesi bertafakur selama seminit sebagai tanda perpisahan kepada mendiang.
Mendiang Pang meninggal dunia pada Rabu setelah mengalami kecederaan akibat satu kemalangan semasa latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di New Zealand.
Di satu sidang media pada Khamis, SAF menyatakan bahawa Pang terhimpit antara bahagian hujung laras dengan bahagian dalam meriam gerak sendiri jenis Howitzer setelah beliau "tidak dapat keluar" apabila laras itu diturunkan.
Sebuah Jawatankuasa Siasatan bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.