Allahyarhamha Ponisah Bachik dikenang; seniwati pertama dunia seni tempatan yang sukar diganti
BELASUNGKAWA: Curahan air mata apabila membawakan watak yang dimainkan mampu mengusik jiwa.
Itulah keistimewaan Allahyarhamha Ponisah Bachik, atau lebih dikenali sebagai Pon Bachik.
Hari ini (26 Jul), titisan air mata mengiri pemergian Allahyarhamha yang kembali ke Rahmahtullah.
GUGURNYA SEBUTIR PERMATA DALAM DUNIA SENI HIBURAN TANAH AIR
Suasana hiba menyelubungi kediaman anak Allahyarhamha pada pagi Jumaat (26 Jul).
Menurut anaknya, Marsilah Mahfudz, Allahyarhamha meninggal dunia akibat pneumonia dan menghembuskan nafas terakhir pada 3.10 petang semalam (25 Jul) pada usia 79 tahun.

Cik Marsilah berkata: "Mak pada pagi semalam sudah lemah secara bertahap-tahap. Pada 24 hari bulan, memang mak boleh bercakap, boleh dengar, boleh berbual tetapi keesokan harinya pagi, mak tidak dapat bersuara, kadar oksigen juga rendah, kadar tekanan darah juga rendah. Sebelum itu, memang mak demam dan batuk berlendih dan tekaknya sakit sangat."
Beliau juga berkongsi kepada wartawan Nurfazirah Azman bahawa ada satu hasrat yang belum sempat ditunaikan sebelum Allahyarhamha meninggal dunia.

"Mak ingin pergi ke rumah baharu di Melaka. Kami sudah 'buat' baharu tetapi mak tidak dapat tengok rumah itu," jelas Cik Marsilah dengan nada hiba.
Pemergian arwah ibunya itu juga menyusuli pemergian ayahnya, Allahyarham Mahfudz Abdul Majid, yang meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 15 Julai, iaitu hanya 11 hari lalu.
Sekitar 100 anggota keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan artis hadir di kediaman Cik Marsilah di Woodlands, untuk memberikan penghormatan terakhir.
Pemergian seniwati mapan itu, menurut mereka, ibarat gugurnya permata dalam dunia seni hiburan tempatan.
Pelakon Veteran, Husin Saaban berkata: "Allahyarhamha orang yang sangat baik, lembut. Kalau kita berbual payah hendak lihat Allahyarhamha tinggikan suara, payah hendak dengarnya cerita yang bukan-bukan. Yang keluar daripada mulutnya selalu yang indah-indah. Payah untuk mencari penggantinya. Allahyarhamha memang seorang bintang hebat bagi saya."

Mantan Ketua Eaglevision dan Perhubungan Komuniti Melayu Mediacorp, Cik Sabariah Ramilan juga berkongsi rasa hiba atas pemergian Allahyarhamha.

"Kita kehilangan seorang bintang yang telah banyak menyumbang kepada industri hiburan dan drama Singapura. Allahyarhamha adalah di antara perintis ataupun generasi yang pertama memasuki drama Singapura dan satu contoh pekerja atau pelakon yang sangat-sangat disiplin, yang sangat-sangat bangga atas karyanya.
"Allahyarhamha adalah seorang yang amat baik, tutur bahasa, yang lemah lembut dan semua menganggap beliau sebagai seorang tokoh ibu yang saya rasa amat dibanggakan dan dicontohi oleh semua," kata Cik Sabariah lagi.
Allahyarhamha mula berkecimpung dalam bidang seni sejak 1960-an, bermula dalam bidang tarian bersama kumpulan Sriwana sebelum beralih ke pentas bangsawan, radio dan televisyen.
Allahyarhamha pernah meraih Anugerah Perdana Emas semasa Pesta Perdana 13 pada 2015.
Rakan-rakan artis yang hadir juga diselubungi perasaan pilu mengenang memori bersama Allahyarhamha.
Bekas penggiat dalam kumpulan Sriwana, Cik Normah Ismail berkata: "Saya berkecimpung dalam Sriwana, ketika itu pun saya kehilangan suami. Arwah Kak Pon banyak memberikan saya nasihat, jaga diri, jangan menggelitis, jaga tatasusila. Arwah orang yang baik, susah dapat orang sepertinya.


"Saya pernah dapat berlakon dengan Allahyarhamha. Allahyarhamha seorang yang banyak bersabar. Banyak yang saya pelajari dalam bidang drama dan seni. Saya amat bangga kerana Allahyarhamha adalah salah seorang penggiat seni sehingga hari ini, meskipun sakit dan uzur, tetapi tetap bersama kami di mana-mana persembahan," kata Encik Adnan Sirat, seorang pengkarya seni dan teater.

Jenazah Allahyarhamha disempurnakan dan disolatkan di kolong blok rumah anaknya sebelum disemadikan di Pusara Aman sebelum solat Zohor tadi (26 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.