Skip to main content

Singapura

Allahyarham Ustaz TM Fouzy: Pemimpin ulung yang beri inspirasi dan bimbingan untuk generasi akan datang

Anggaran Waktu Membaca:
Allahyarham Ustaz TM Fouzy: Pemimpin ulung yang beri inspirasi dan bimbingan untuk generasi akan datang

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

SINGAPURA: Allahyarham Ustaz TM Fouzy ialah seorang tokoh agama yang dihormati dan ilmuwan berdedikasi.

"Sumbangan Allahyarham akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang," kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, dalam catatannya di Facebook pada Khamis (19 Dis).

Encik Masagos menyifatkan Allahyarham Ustaz TM Fouzy sebagai seorang pemimpin masyarakat dan tokoh agama yang disegani dan telah berbakti dengan mengajar dan berkhidmat kepada masyarakat sepanjang hayatnya.

"Selama 15 tahun, Allahyarham berkhidmat dengan cemerlang sebagai Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS), di mana beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf perkhidmatan bagi jemaah haji dan umrah.

"Di bawah kepimpinan beliau, AMTAS menjadi sebuah pertubuhan yang berwibawa yang membantu ribuan jemaah mengemudi rukun Islam ke lima. Bimbingan Allahyarham memastikan para jemaah cukup bersedia, bukan sahaja dari segi jasmani, tetapi rohani, untuk menunaikan ibadah yang penting ini," kata Encik Masagos.

SUMBANGAN ALLAHYARHAM MENJANGKAUI PELBAGAI BIDANG

Sumbangan yang dilakukan oleh Allahyarham Ustaz TM Fouzy tidak terhad kepada AMTAS, tetapi meluas ke pelbagai wadah lain yang memberikan impak besar kepada masyarakat.

"Allahyarham merupakan anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS, di mana beliau berkongsi pengetahuan ilmu yang mendalam dan menawarkan nasihat yang bernas serta memainkan peranan penting dalam perbincangan yang membentuk pemahaman masyarakat tentang hal agama," tambah Encik Masagos.

Dedikasi Allahyarham juga diperluaskan kepada pelbagai wadah termasuk berkhidmat dalam Lembaga Yayasan Rahmatan Lil Alamin.

Atas khidmat yang cemerlang kepada masyarakat ini, Allahyarham diiktiraf dengan anugerah Jasa Bakti MUIS pada 2011.

"Bak obor yang menyinar, sumbangan beliau akan terus memberi inspirasi kepada kita semua, sebagai panduan dan bimbingan untuk generasi akan datang," kata Encik Masagos
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita