Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Allahyarham Ustaz Ali Mohamed sukar dicari ganti; legasinya diharap dapat diteruskan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun keadaan kesihatannya tidak begitu baik sejak kebelakangan ini, semangat untuk berbakti tidak pernah luntur.

Itulah yang dikongsi anak Allahyarham Ustaz Ali Mohamed, Ustaz Dr Mohamed Ali, mengenai bapanya.

Allahyarham, yang merupakan Presiden Emeritus Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), meninggal dunia pada Jumaat (17 Mac) pada usia 75 tahun.

"Baru-baru ini, Ustaz Ali memang tidak berapa sihat. Beliau ada demam tetapi sejak tahun yang lalu, beliau sebenarnya sudah tidak sihat. Beliau sudah mula dialisis tiga tahun yang lalu tapi keadaan kesihatan beliau itu semakin menurun," kongsi Dr Mohamed.

"Walaupun keadaan kesihatan beliau itu menurun, tetapi semangat beliau itu (adalah) untuk berbakti. Itu yang kita hargai. Saya secara peribadi selalu memberikan kemas kini kepada beliau dan beliau selalu bertanya kepada saya tentang masjid dan RRG," tambah beliau.



Ini menurut Dr Mohamed menunjukkan semangat dan perjuangan Allahyarham yang "dibawa sampai ke akhirnya".

Bahkan, beliau dan Allahyarham sepatutnya ada mesyuarat bersama pada siang hari.

KEHILANGAN BESAR BUAT KELUARGA ALLAHYARHAM USTAZ ALI

Dr Mohamed menyifatkan pemergian bapanya itu satu "kehilangan besar" buat keluarga mereka memandangkan beliau merupakan seorang bapa yang memberikan kasih sayang yang penuh buat anak-anak dan keluarganya.

Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Bersama RRG berharap dapat meneruskan legasi bapanya yang sudah berbakti kepada masyarakat Melayu/Islam.



"Beliau membangunkan Masjid Khadijah lebih 30 tahun yang lalu dan membangunkan RRG 20 tahun yang lalu dan ini legasi beliau yang kami akan teruskan dan kami mengharapkan masyarakat dapat terus sama-sama membantu supaya legasi Ustaz Ali ini dapat diteruskan, terutama sekali perjuangan beliau kepada masjid dan RRG. Itu sangat dihargai bukan hanya oleh masyarakat tempatan, bahkan masyarakat dunia," ujar Dr Mohamed.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Khadijah, iaitu tempat yang sinonim dengannya selaku pengerusi masjid itu dari 1993 hingga 2022.

Selain anggota keluarga, ramai juga pemimpin turut hadir termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-undang, K Shanmugam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, serta Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir.

KEHILANGAN SEORANG ASATIZAH MAPAN DAN PEMIMPIN DALAM MASYARAKAT



Seperti Dr Mohamed, Dr Nazirudin juga berpendapat bahawa pemergian Allahyarham "satu kehilangan yang sangat besar".

"Kita kehilangan seorang asatizah mapan kita dan pemimpin dalam masyarakat kita yang amat sangat besar sumbangan dan pengaruhnya serta jasa dan baktinya kepada masyarakat Islam dan juga kepada masyarakat Singapura secara amnya," kongsi Dr Nazirudin.

"Yang saya kenal daripada beliau hanyalah semangat dan komitmen beliau yang luar biasa, yang tidak mengenal penat dan lelah dan hanya dipandukan niat untuk memperbaiki keadaan masyarakat-masyarakat kita dalam kehidupan beragama dan persepsi orang lain terhadap Islam," tambah beliau.



Dengan semangat dan pengorbanan yang ditonjolkan Allahyarham, Dr Nazirudin berpendapat adalah sukar untuk mencari penggantinya.

"Saya masih ingat dengan jelas bagaimana beliau masih lagi segar ingatannya dan semangat untuk terus memperbaiki keadaan umat Islam di Singapura sehingga saat-saat akhir. Yang hanya ada di fikiran beliau adalah bagaimana kita boleh memperbaiki masyarakat Islam kita," ujar Dr Nazirudin.

"Niat, semangat, pengorbanan dan jasa beliau yang amat luar biasa saya kira sukar sangat untuk mencari pengganti dan merupakan satu kehilangan yang sangat besar," tambahnya lagi.

Allahyarham juga pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS dan bekas anggota majlis MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan