Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Allahyarham Syed Haroon Aljunied dikenang sebagai pemimpin berwawasan, bawa perubahan positif di MUIS

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemergian mantan Setiausaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Syed Haroon Mohamed Aljunied dianggap sebagai satu kehilangan besar oleh para pemimpin masyarakat, rakan-rakan dan anggota keluarga yang hadir di Masjid Ba'alwie bagi solat jenazah pagi tadi (28 Nov).

Antara yang hadir termasuk Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Beliau menyifatkan Allahyarham Syed Haroon sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dalam berkhidmat untuk masyarakat dan mempunyai wawasan yang luar biasa.

Dalam catatannya di Facebook, Encik Masagos berkata, "Di bawah kepimpinannya, MUIS melalui proses pemodenan dari segi pentadbiran, pengkomputeran perakaunan MUIS dan semua masjid di merata Singapura. Beliau juga memastikan pemindahan MUIS dari pejabat pertama di Empress Place ke Braddell Road berjalan lancar, satu titik bersejarah dalam pembangunan institusi ini."

Beliau juga menarik perhatian akan pencapaian terbesar Allahyarham iaitu untuk memperkenalkan pendekatan yang membawa perubahan terhadap pengurusan tanah-tanah wakaf.

"Menyedari keperluan untuk perubahan, Allahyarham memulakan pelan untuk menaik taraf tanah-tanah wakaf yang tidak digunakan sepenuhnya.

"Visi ini membawa kepada penubuhan Warees Investments Pte Ltd untuk mengurus tanah-tanah wakaf secara profesional, sekaligus meningkatkan nilai hartanah wakaf kita," kongsi Encik Masagos.

Atas dedikasi dan komitmennya, Allahyarham juga diiktiraf dan diraikan di dalam dan luar negara.

Beliau dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Awam, Anugerah Ulang Tahun ke-40 MUIS dan Anugerah Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Makhtoum untuk Pembiayaan Inovatif dalam Peningkatan Wakaf.

Encik Masagos juga mengimbas kembali kenangan bersama Allahyarham Syed Haroon, " Semasa saya dilantik sebagai seorang ahli di Majlis Tertinggi MUIS dalam usia yang sangat muda, beliaulah yang sering mendampingi dan memimpin saya dalam selok-belok urusan MUIS, hingga saya dapat memberi yang terbaik berkat bantuan dan sokongan dari beliau."

Allahyarham Syed Haroon meninggal dunia pada Rabu (27 Nov).

Jenazah Allahyarham disolatkan pada sekitar jam 10.00 pagi dan selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar tengah hari pada Khamis (28 Nov).

HASIL SUMBANGANNYA DAPAT DINIKMATI MASYARAKAT HINGGA KE HARI INI

Turut berdukacita atas pemergian Allahyarham Syed Haroon adalah Timbalan Ketua MUIS, Dr Albakri Ahmad.

Beliau yang pernah bekerja di samping Allahyarham pada tahun 2000 hingga 2007 merasakan sumbangan Allahyarham sangat berharga buat masyarakat Melayu/Islam hingga ke hari ini.

"Beliau merupakan tunjang bagi MUIS. Ketika beliau menjadi Setiausaha MUIS, beliau telah banyak berbakti untuk memastikan MUIS menjadi sebuah institusi yang mempunyai sistem-sistem urus tadbir yang baik dan juga tahap profesionalisme yang tinggi," kata Dr Albakri.

Sumbangan Allahyarham yang terbesar menurut Dr Albakri adalah pembangunan hartanah wakaf.

"Beliau adalah antara mereka yang meminda AMLA untuk membolehkan MUIS mendirikan semula tanah-tanah wakaf supaya pulangan daripada wakaf ini dapat memberi pulangan kepada masyarakat dengan lebih besar lagi," kongsi Dr Albakri.

Selain pengurusan tanah wakaf, Allahyarham Syed Haroon juga memainkan peranan besar dalam perubahan dan pemodenan MUIS.

"Beliau memastikan bahawa kakitangan-kakitangan MUIS mendapat latihan-latihan yang terurus dan sistematik untuk memastikan keupayaan mereka untuk menjalankan kerja-kerja MUIS.

"Beliau juga memastikan kami terlibat sama dengan kementerian-kementerian dan juga agensi-agensi yang lain supaya apa pun kepakaran yang ada di luar dapat dibawa kembali ke MUIS," ujar Dr Albakri.

Sumbangan Allahyarham juga termasuk mengawal selia pembangunan lebih banyak masjid baharu pada ketika itu.

Antaranya termasuk Masjid Ar-Raudhah (Bukit Batok), Masjid An-Nahdhah (Bishan) dan Masjid Darul Ghufran (Tampines).

"Kalau dahulu, masjid-masjid di Singapura dibangunkan dengan arkitek-arkitek dalaman daripada MUIS, beliau memastikan bahawa oleh arkitek di luar dengan kepakaran yang ada dan juga sistem yang terbaik," kata Dr Albakri.

KENANGAN BERSAMA ALLAHYARHAM

Anak saudara Allahyarham, Sharifah Farah Syed Mahamood Aljunied yang juga merupakan Pengarah MUIS (Pendidikan & Pembangunan Pelajar) sempat berkongsi kenangan indah bersama Allahyarham.

Banyak ilmu seperti etika kerja yang diturunkan Allahyarham kepada Cik Syarifah ketika beliau bekerja selama sepuluh tahun di bawah kepimpinannnya.

"Allahyarham adalah seorang yang amat prihatin mengenai kesejahteraan anak-anak dan keluarganya. Sebagai anak saudara, kami selalu mendapat nasihat daripada beliau mengenai pelajaran dan kerjaya kami," kata Cik Sharifah.

Allahyarham juga banyak memberikan nasihat dan dorongan kepadanya dari segi pendidikan.

"Beliau amat prihatin dan selalu mengingatkan bahawa tumpuan kami adalah untuk menghabiskan kursus sarjana dan kemudian ada lebih banyak peluang untuk meneroka aktiviti-aktiviti lain.

"Beliau telah menubuhkan atau memulakan satu biasiswa kecil untuk anak-anak saudaranya. Jadi kita sangat teruja kalau dapat keputusan yang baik maka kami akan dapat sedikit hadiah daripada beliau dan pakcik-pakcik yang lain," kongsi Cik Sharifah.

ALLAHYARHAM BERI SUMBANGAN DI BELAKANG TADBIR

Presiden MUIS, Saat Abdul Rahman, yang turut hadir di Masjid Ba'alwie untuk solat jenazah dan tahlil juga menyanjungi sumbangan Allahyarham Syed Haroon.

"Banyak kerja yang dilakukannya, kebanyakan di belakang tabir tetapi beliau yang bantu membina MUIS sebagai satu institusi yang teguh seperti hari ini.

"Beliau seorang yang tegas dan banyak bekerja di belakang tabir tetapi kalau sudah mengenali beliau, beliau orang yang mesra dan mudah didekati," kata Encik Saat.

Allahyarham Syed Haroon berkhidmat selaku Setiausaha MUIS selama lebih dua dekad, antara 1985 hingga 2007.

Allahyarham juga merupakan antara anggota pengasas rumah perlindungan bagi wanita, Casa Raudha.

Para pemimpin masyarakat, rakan-rakan dan anggota keluarga mantan Setiausaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Syed Haroon Mohamed Aljunied hadir di Masjid Ba'alwie bagi solat jenazah pagi tadi (28 Nov). (Gambar: Roslinda Rahmat)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan