Skip to main content

Singapura

Allahyarham Maiden Packer pemimpin dihormati, disegani masyarakat Melayu/Islam: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
Allahyarham Maiden Packer pemimpin dihormati, disegani masyarakat Melayu/Islam: Masagos

Mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Mohamad Maidin Packer Mohd meninggal dunia pada usia 66 tahun akibat serangan jantung. (Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)

Diterbitkan : 25 Jun 2024 04:36PM Dikemas Kini : 25 Jun 2024 04:37PM
SINGAPURA: Seorang pemimpin yang dihormati dan disegani dalam masyarakat Melayu/Islam.

Begitulah gambaran kepimpinan Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli dalam mengenang ketokohan Allahyarham.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Isnin (24 Jun) pada usia 66 tahun akibat serangan jantung.

Dalam catatan yang dimuat naik di Facebooknya pada Selasa (25 Jun), Encik Masagos menyentuh bagaimana Allahyarham, sebagai salah seorang pemimpin mapan tempatan, mencurahkan baktinya untuk berkhidmat dan meningkatkan mutu kehidupan masyarakat setempat.

Encik Masagos, yang ketika ini sedang berada di Maghribi bagi satu lawatan kerja, turut menyifatkan Allahyarham sebagai "seorang yang sangat bersemangat untuk melestarikan bahasa, budaya dan warisan Melayu khususnya dalam kalangan generasi muda".

Ketika Encik Masagos mula menceburi bidang politik pada tahun 2006, beliau berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada Allahyarham.

"Beliau menunjukkan kepada saya mengapa kita mesti terus membina atas usaha-usaha pendahulu kita dalam mengatasi isu-isu dadah dan jenayah masyarakat Melayu/Islam, seperti yang beliau lakukan dengan usaha terdahulu Almarhum Harun Ghani," ujar Encik Masagos.

Semasa memainkan peranannnya itu, Allahyarham sangat menitikberatkan peri pentingnya untuk "sentiasa berani mengenal pasti isu-isu serta mengumpulkan aset masyarakat untuk menyelesaikannya dengan cara inovatif."

Sekalipun sudah melepaskan jawatan, Allahyarham tidak pernah membiarkan masalah yang membelenggu masyarakat berlarutan, kata Encik Masagos.

Dedikasi dan kesungguhannya untuk membantu masyarakat setempat jelas membuahkan hasil. Menurut Encik Masagos, kadar kebentanan dalam tempoh dua tahun bagi pesalah Melayu telah menyusut kepada sekitar 25 peratus berbanding hampir 50 peratus.

Mengenang jasa Allahyarham yang tidak lokek berkongsi ilmu, Encik Masagos berkata beliau "amat menghargai peluang mempelajari daripada Allahyarham cara kepimpinan yang jujur dan mesra, menyaksikan dedikasinya yang luar biasa secara langsung ketika beliau turun padang dan berinteraksi dengan rakyat Singapura dari pelbagai lapisan masyarakat".

Sepanjang kerjaya politiknya, Allahyarham pernah memegang portfolio sebagai Setiausaha Parlimen Kanan di beberapa kementerian dan berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Aljunied (1991-1996) mahupun GRC Marine Parade (1997-2006).

Ketika berkhidmat di GRC Marine Parade sebagai Anggota Parlimen, Allahyarham memainkan peranan yang penting dalam mengusahakan pembangunan kawasan Geylang Serai.

"Lebih penting lagi, beliau sangat prihatin terhadap keperluan penduduk daripada semua kaum di kawasan undinya," tambah Encik Masagos.

DEKAT DENGAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM SEBELUM CEBURI BIDANG POLITIK

Semangat serta dedikasi Allahyarham untuk berbakti kepada masyarakat Melayu/Islam jelas mengalir dalam sanubarinya.

Beliau sudahpun akrab dengan masyarakat Melayu/Islam, bahkan sebelum beliau berkecimpung dalam bidang politik.

Sebagai wartawan dan kemudian Penolong Editor akhbar Berita Harian dan Berita Minggu, Allahyarham cekap mengenal pasti isu-isu yang perlu ditangani masyarakat dan memastikan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam disuarakan melalui tulisannya serta rakan-rakan wartawannya.

Encik Masagos turut menyentuh mengenai peranan penting Allahyarham dalam memelihara budaya dan warisan kaya kita sebagai seorang pejuang bahasa dan budaya Melayu.

Allahyarham banyak menganjurkan program-program untuk mempromosikan sebutan baku dan menjadikan puisi Melayu lebih mudah diakses oleh masyarakat umum, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa.

Dalam pada itu, Encik Masagos menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Allahyarham atas segala bimbingan dan nasihat yang diberikan, serta asas kukuh yang telah Allahyarham tanamkan dan bina untuk barisan pemimpin Melayu/Islam setelah beliau menabur bakti menggerakkan dan memajukan masyarakat setempat dan negara.

"Sumbangan besar, warisan kepimpinan serta jasa baik Almarhum akan terus dihargai dan dikenang semua. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara," tulis Encik Masagos.

Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita