Allahyarham Haji Alla'uddin Mohamed 'contoh pejuang keharmonian antara agama': Masagos
Seorang individu yang komited membina hubungan yang kukuh dengan pelbagai badan keagamaan, dan sering mengundang jiran bukan Islam untuk terlibat dalam dialog yang bermakna.
(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)
Begitulah Allahyarham Haji Alla'uddin Mohamed seperti digambarkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam catatan Facebooknya pada Khamis (14 Nov).
Allahyarham yang merupakan pengerusi Masjid Khalid, meninggal dunia pada usia 71 tahun sekitar pukul 7.15 pagi tadi.
"Komitmen beliau jelas terlihat melalui tradisi Tahun Baru Cina Masjid Khalid, di mana jawatankuasa masjid akan mengunjungi kedai-kedai dan rumah-rumah di sekitar masjid untuk memberi buah tangan serta limau—satu amalan yang berterusan selama lebih dua dekad.
"Melalui usaha-usaha ini, beliau berjaya memupuk persefahaman antara kaum dan agama, dan memperkukuhkan komitmen kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh keihsanan," kata Encik Masagos.
"Beliau akan sentiasa dikenang kerana sifatnya yang baik hati, mesra, dan mudah didekati. Sumbangan dan warisan kepimpinan Almarhum akan terus dihargai dan dikenang oleh semua."
Dalam catatan Facebook, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim turut mengenang sumbangan Allahyarham semasa hayatnya.
"Saya pertama kali bekerja dengan Allahyarham semasa penyertaan MUIS buat julung-julung kali dalam Cabaran Presiden bersama dengan mendiang Presiden Nathan.
"Kami sama-sama berganding bahu untuk mendekati masyarakat untuk cuba mendorong mereka memberi sumbangan kepada Cabaran Presiden," kata Dr Faishal.
Dr Faishal berkongsi bahawa kedua-duanya tetap menjalin kerjasama meskipun selepas beliau menjadi seorang Anggota Parlimen.
Menurut Dr Faishal, Allahyarham Haji Alla'udin merupakan seorang penyokong kuat kempen 'Dadah Itu Haram' serta usaha pemulihan dan membantu bekas banduan pulang ke pangkuan masyarakat melalui Khidmat Kaunseling Muslim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.