Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aliyah Rizq laksana proses baharu hantar kambing korban ke lokasi, lebih licin dan jimat masa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persiapan ibadah korban rancak dijalankan menjelang Hari Raya Haji esok (17 Jun).

Penyedia khidmat korban privet, Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd yang mengimport 800 ekor kambing Australia misalnya telah melaksanakan proses penghantaran kambing-kambing korban yang baharu pada tahun ini.

KAEDAH BAHARU PENGHANTARAN KAMBING LEBIH LICIN, JIMAT MASA

Kambing-kambing tersebut yang tiba di Kompleks Kargo Changi sekitar 2.30 pagi Sabtu (15 Jun dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu sebanyak 400 ekor sebelum dihantar ke Rumah Peralihan Pertapis di Geylang dan juga Masjid Petempatan Melayu Sembawang.

Kambing-kambing itu kemudian diagih-agihkan mengikut jumlah tempahan kambing korban yang syarikat itu tawarkan di lima lokasi.
Kambing korban 2024 di Singapura. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Ketua Pegawai Kewangan, Aliyah Rizq Holdings, Nabilah Bagarib berkata proses penghantaran yang dilaksanakan itu adalah lebih licin dan menjimatkan masa.

"Buat pertama kalinya pada tahun ini, kami menggunakan 'forklift' ataupun trak angkat susun untuk membahagi-bahagikan haiwan-haiwan ini kepada lokasi-lokasi berbeza. Tahun ini juga pertama kalinya kita tidak membuat pemecahan ataupun 'break bulking' di Kompleks Kargo Changi.

"Ini berbanding menggunakan tanjakan. Menggunakan tanjakan akan mengambil masa yang lebih lama. Jadi, kegunaan 'forklift' tahun ini mempercepat proses kita dari segi logistik, dan haiwan-haiwan ini pun tidak merasa tekanan," kata Cik Nabilah kepada wartawan Roslinda Rahmat.

KESEJAHTERAAN KAMBING-KAMBING KORBAN TERJAGA

Keseluruhan proses penghantaran kambing yang tiba di Kompleks Kargo Changi ke kesemua lokasi korban selesai sekitar 9 pagi.

Dan seperti biasa, langkah-langkah juga diambil untuk menilai tahap kesihatan serta memastikan kesejahteraan kambing-kambing tersebut terjaga.
Tempat penyembelihan kambing. (Gambar: BERITA Mediacorp)
"Pada tahun ini, kita mempunyai doktor haiwan daripada Indonesia untuk mengelilingi kelima-lima lokasi demi memastikan kebajikan haiwan dan kesihatan haiwan itu terjaga. Untuk memastikan bahawa haiwan-haiwan itu tidak cacat, tidak ada yang sakit, supaya kita ikut syiar korban dengan sempurna," ujar Cik Nabilah.

Kali terakhir PERTAPIS menganjurkan korban adalah 11 tahun lalu.

"Tujuan kami untuk meletakkan satu komitmen, bukan hanya dari segi PERTAPIS tetapi terhadap tradisi kami, penglibatan masyarakat dan juga warisan budaya kami. Kami amat gembira dan ini adalah satu cita-cita kami pada tahun lalu, yang kami dapat realisasikan pada tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Firdaus D'Cruz.

Selain memastikan kambing-kambing korban dijaga dan dikendalikan dengan baik, Rumah Peralihan PERTAPIS juga mempersiapkan kakitangan dan para relawannya untuk mengendalikan tugasan korban dengan sempurna.

Ini bagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport Australia (ESCAS).

Menurut Encik Firdaus, "Seramai 270 sukarelawan, kakitangan daripada vendor, kakitangan daripada Pertapis dan juga residen-residen kami daripada rumah peralihan siap untuk melakukan 'Live' Korban 2024."

"Kita pastikan mereka ada ilmu, ada kemahiran. Kena pastikan makanan haiwan korban itu elok, tempat berteduh pun bagus. Sentiasa perlu ada makanan dan minuman," tambah Cik Nabilah.

Daging korban itu akan diagih-agihkan kepada 250 keluarga penerima bantuan PERTAPIS.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan