Skip to main content

Singapura

Aliyah Rizq Holdings mohon maaf atas kelewatan ibadah korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang

Anggaran Waktu Membaca:
Aliyah Rizq Holdings mohon maaf atas kelewatan ibadah korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang

Upacara korban kendalian Syarikat Aliyah Rizq Holdings di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pada 7 Jun. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Syarikat Aliyah Rizq Holdings memohon maaf atas kelewatan dalam pelaksanaan ibadah korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pada Sabtu (7 Jun), yang hanya selesai sekitar pukul 9.00 malam.

Tahun ini, syarikat itu turut memperkenalkan sistem kod QR baharu yang bertujuan mempercepat proses pendaftaran sehingga 10 peratus.

Bagaimanapun, pihak syarikat menegaskan bahawa kelewatan yang berlaku bukan disebabkan oleh penggunaan aplikasi tersebut.

Upacara korban itu bermula sekitar 10.00 pagi dan dikendalikan bersama kira-kira 200 sukarelawan.

Daripada jumlah itu, hanya sekitar 30 sukarelawan mempunyai kemahiran khusus dalam tugas melapah.

Apabila dihubungi BERITA Mediacorp pada Isnin (9 Jun), pemilik Aliyah Rizq Holdings, Encik Mohamad Nor Ashraf Abu Bakar menjelaskan bahawa bahawa kelewatan pada keseluruhan proses daripada penyembelihan hingga pengagihan disebabkan kekurangan jumlah kakitangan dan sukarelawan yang mahir dalam tugas melapah.

"Beberapa sukarelawan terpaksa meninggalkan stesen melapah pada syif kedua. Jadi itu menyebabkan sedikit kelewatan operasi. Ia bukan disebabkan oleh aplikasi yang kami bangunkan. Kami terpaksa hentikan seketika untuk menghabiskan melapah kambing-kambing yang sudah disembelih dahulu. Penyembelihan hanya dapat disambung semula selepas itu," jelas Encik Mohamad Nor Ashraf kepada BERITA Mediacorp.

"Kami tamat pada pukul 9.00 malam. Kalau kami mempunyai tenaga penuh para sukarelawan dan kakitangan, kami mungkin sudah selesai pada pukul 5 atau 6.00 petang," tambah beliau.

Upacara korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pada 7 Jun. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat itu, Cik Nabilah Bagarib menjelaskan bahawa tugas melapah memerlukan masa dan kemahiran khusus.

"Keseluruhan proses korban sebanyak 268 ekor kambing selesai sekitar 9.00 malam. Tugas melapah mengambil masa dan memerlukan kemahiran. Proses penyembelihan kambing korban biasanya mengambil masa kira lima minit, namun proses melapah kulit kambing mengambil masa yang paling lama daripada keseluruhan operasi korban. Beberapa sukarelawan di stesen melapah terpaksa meninggalkan tugasan mereka atas sebab-sebab peribadi selepas Zuhur.

"Disebabkan itu, ia menyebabkan keseluruhan proses daripada penyembelihan kepada pengagihan daging menjadi lebih lama antara tiga hingga empat jam," kata Cik Nabilah

Cik Nabilah turut mengakui kelemahan dalam operasi tahun ini dan menegaskan komitmen syarikat itu untuk memperbaiki pengalaman sohibul korban pada masa akan datang.

"Kami akan meneliti semula aspek operasi dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan. Kami mohon maaf atas masa menunggu yang lama dan berjanji akan melakukan lebih baik pada masa hadapan," ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita