Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aliff Aziz cuba kemampuan mengacara dalam Rayakustika 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Aliff Aziz cuba kemampuan mengacara dalam Rayakustika 2022

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Sejak menjuarai pertandingan Gegar Vaganza musim kelapan tahun lalu, peluang semakin terbuka luas bagi penghibur asal Singapura, Aliff Aziz.

Penyanyi dan pelakon berusia 31 tahun itu kini berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan pula apabila dipilih menjadi salah seorang hos bagi rancangan khas sempena Hari Raya Aidiladha, Rayakustika 2022.

“Alhamdulillah ini menjadi satu permulaan yang baru," kata juara Anugerah 2007 itu, yang turut digandingkan dengan teman pengacara, Lydia Asyiqin.

“Pada awalnya rasa gementar dan sebagainya. Tapi sebenarnya bergandingan dengan Lydia Asyiqin itu banyak membantu dan juga seluruh pasukan penerbitan pun juga membantu Aliff untuk dapat melakukannya. Jadi saya rasa saya buat yang terbaik. 

"Ia adalah pengalaman terbaru dan ia akan menjadi memori yang baik InsyaAllah," ujar Aliff, yang juga mempunyai dua orang cahaya mata, hasil perkongsian hidupnya dengan Bella Astilah.

(Aliff Aziz, Gambar: Syawal Yusoff)

Selain mengacara dalam rancangan sepanjang satu jam itu, pelantun lagu 'Sayang Sayang' dan 'Jangan Ganggu Pacarku' itu juga akan menghiburkan penonton dengan beberapa buah lagu raya dan berunsur kerohanian.

“Lagu-lagu yang menusuk di hati itu InsyaAllah dapat mendapat tempat di hati penonton dan juga lagu-lagu yang 'happy-happy' itu kita sama-sama berhibur untuk Rayakustika Hari Raya Aidiladha ini," tambah Aliff.

Satu kejutan khas juga dapat dijangkakan para penonton seperti yang dikongsikan rakan pengacara, Lydia Asyiqin.

“Kita ada cabaran untuk Aliff Aziz tapi tak boleh nak kongsikan sekaranglah. Kalau nak tahu kena tengoklah Rayakustika,” usik Lydia.

(Aliff Aziz dan Lydia Asyiqin, Gambar: Syawal Yusoff)

Pengacara rancangan Manja itu turut teruja dan memuji teman pengacaranya itu.

“Saya tak pernah bekerja dengan dia. Macam mana ini? Tapi memang rasa seronoklah sebab Aliff pun candi orangnya, senang nak berbual. Mudah untuk bekerjasama," kongsi Lydia yang turut berbakat dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya Aliff ini memang boleh mengacara macam semulajadi bakatnya,” tambah Lydia.

LYDIA ASYIQIN PERTAMA KALI HOS DEPAN PENONTON

Istimewanya rancangan Rayakustika adalah buat pertama kali seramai 450 penonton dibenarkan menghadiri sesi rakaman di studio Mediacorp, selepas dua tahun program itu ditiadakan.

Pengalaman ini kata Lydia mendebarkannya sedikit kerana walaupun sudah berkali-kali mengacarakan rancangan-rancangan di Suria sejak lima tahun yang lalu, inilah pertama kali beliau dapat mengacara di hadapan penonton.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Antara artis jemputan yang turut teruja untuk kembali beraksi dihadapan penonton selepas dua tahun ialah Hetty Sarlene.

Selain menyanyikan lagu secara solo, pelantun lagu 'Sangsi Asmara' dan 'Siapa Diri Ku Di Sisi Mu' itu juga digandingkan dengan finalis Anugerah 2017, Nor Shafiq.

“Pada Hetty, dia memang senang untuk bekerjasama. Dan pada Hetty, kita perlu ada 'chemistry' dengan sesiapa yang kita buat persembahan bersama. Pada Hetty, Shafiq adalah seorang penyanyi yang sangat profesional,” ujar Hetty.

(Nor Shafiq dan Hetty Sarlene, Gambar: Syawal Yusoff)

JUNAINAH M AMIN SYUKUR PEMINAT MASIH MENYOKONG

Keghairahan membuat persembahan di pentas turut dirasakan antara artis veteran yang disegani, Junainah M Amin.

Beliau sangat bersyukur kerana masih diingati para peminat dan peluang menyanyi seperti itu katanya membolehkan beliau keluar mencari rezeki.

“Peminat yang naikkan saya. Jadi peminat juga saya akan menghormati mereka.Kalau tak ada peminat, kita menyanyi siapa yang suka kita? Betul tak?” kata Junainah.

(Junainah M Amin, Gambar: Syawal Yusoff)

Lantaran itu beliau sentiasa terbuka sekiranya ada peluang untuk menghasilkan lagu baru mahukan mengadakan konsert sendiri.

"Ramai juga yang bertanya tapi tidak ada yang muncul sebagai penggubah lagu yang sesuai untuk suara 'mami'. Kalau ada, kenapa tidak? Betul tak? 

"Konsert belum lagi kot? Lagu kita pun banyak juga tapi konsert itu belum lagi. Jadi kita buatlah yang macam sekarang ini sudah santai-santai pun sudah oklah. Alhamdulillah," jelas Junainah.

Rayakustika 2022 akan disiarkan di saluran Suria pada Hari Raya Aidiladha, Ahad, 10 Julai jam 8.30 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan