Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alat timbang berhubung produk 'salah label' di FairPrice disah tepat

Anggaran Waktu Membaca:
Alat timbang berhubung produk 'salah label' di FairPrice disah tepat

(Gambar: Tangkapan skrin video TikTok @ben20220207)

SINGAPURA: Alat-alat timbang di cawangan FairPrice di NEX dan AMK Hub, yang mendapat perhatian orang ramai baru-baru ini berhubung kejadian 'salah label', sudah  diperiksa dan disahkan tepat. 

Demikian menurut Pejabat Timbang dan Sukat pada Jumaat (11 Feb). 

Peranan Pejabat Timbang dan Sukat, di bawah Enterprise Singapore itu, ialah untuk melindungi kepentingan pelanggan dan perniagaan dengan memastikan sistem timbang dan sukat di Singapura adalah tepat, menurut laman webnya. 

Menjawab  pertanyaan Mediacorp, Pejabat tersebut menyatakan ia memandang serius sebarang kejadian yang tidak mematuhi  peraturan timbang dan sukat dan akan menyiasat aduan orang ramai terhadap pelanggaran sedemikian.

Pejabat berkenaan sedang berhubungan dengan NTUC untuk "menentukan punca sebenar kejadian salah label tersebut", tambahnya. 

Beberapa video yang dimuat naik ke media sosial baru-baru ini menunjukkan percanggahan antara berat sebenar produk makanan, seperti ayam dan ikan salmon, yang dijual di cawangan-cawangan NTUC FairPrice dengan yang tertera pada label, yang lebih tinggi. 

Rangkaian pasar raya itu memohon maaf atas kejadian tersebut, sambil menambah ia akan menyiasat apa yang disifatkan sebagai "salah label". 

Di bawah Akta Timbang dan Sukat, semua alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perdagangan di Singapura harus diperiksa dan disahkan setiap tahun oleh pihak bebas yang diluluskan, menurut Pejabat tersebut. 

Perniagaan juga perlu membekal jumlah barangan yang tepat kepada pelanggan, mengikut berat yang tertera di label barang tersebut. 

Mereka yang gagal berbuat demikian  termasuk menjual barangan yang kurang daripada berat tertera, boleh didenda sehingga S$5,000, penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali. 

"Pengguna yang mengesyaki barangan yang mereka beli kurang daripada yang sepatutnya harus meminta pampasan dan  pilihan lain daripada perniagaan terbabit," menurut Pejabat Timbang dan Sukat itu. 

"Jika mereka tidak dapat menghuraikan masalah tersebut, mereka boleh menghubungi Persatuan Pengguna Singapura (CASE) untuk meminta bantuan." 

Dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp sebelum ini, CASE menyatakan ia tidak menerima sebarang aduan tentang "salah label" produk makanan di NTUC FairPrice mahupun di mana-mana pasar raya lain. 

CASE juga menasihati pembeli untuk memeriksa sendiri berat produk makanan yang sudah dibungkus seandainya mereka ragu-ragu tentang apa yang tertera pada label tersebut.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan