Alat pengesan AI tidak dapat pastikan kesahihan gambar buaya di Kolam Air Pandan: PUB
Agensi air negara PUB menggunakan beberapa alat pengesan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesahkan kesahihan gambar yang didakwa menunjukkan seekor buaya di Kolam Air Pandan, namun tiada kepastian dapat diberikan.
Gambar fail seekor buaya muara. (Gambar: NParks/Bryan Lim)
- PUB menyiasat gambar buaya di Kolam Air Pandan selepas dimaklumkan pada 20 Ogos, tetapi beberapa alat pengesan AI gagal memberi kepastian.
- Atas faktor keselamatan awam, PUB dan NParks menjalankan operasi mencari buaya, sementara badan dayung dan kanu menggantung semua kegiatan air.
- Gambar itu kemudian disahkan palsu dan dihasilkan menggunakan AI, lalu PUB membuat aduan polis serta membenarkan kegiatan air disambung semula.
- Ye Lin, pekerja kontraktor penyenggaraan PUB, didakwa pada 29 Sep dan mahu mengaku bersalah sebelum sebutan semula 10 November.
Gambar itu kemudian didapati dihasilkan menggunakan AI dan seorang lelaki berusia 30 tahun didakwa di mahkamah pada Selasa (29 Sep) berhubung kejadian tersebut.
Ye Lin, warga Myanmar, dituduh menghantar gambar yang dihasilkan menggunakan AI dan menunjukkan seekor buaya di kolam air tersebut kepada seorang rakan sekerja.
Dalam kenyataannya di Facebook pada Khamis (1 Okt), PUB menyatakan lelaki itu bekerja dengan kontraktor penyenggaraan kolam air agensi tersebut.
Penyelianya memaklumkan PUB mengenai gambar itu pada 20 Ogos, menyebabkan agensi tersebut segera cuba mengesahkan kesahihannya menggunakan beberapa alat pengesan AI.
Memandangkan tiada kepastian dapat diberikan, PUB menyatakan ia kemudian "segera bertindak dan mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan" demi keselamatan awam.
PUB dan Lembaga Taman Negara (NParks) menjalankan operasi mencari dan menangkap buaya tersebut, manakala Persatuan Dayung Singapura dan Persekutuan Kanu Singapura diarahkan menggantung semua kegiatan air di Kolam Air Pandan.
Selepas gambar itu disahkan palsu, PUB membuat aduan polis dan kegiatan air di kolam air tersebut kemudian disambung semula.
LELAKI DIDAKWA
Ye Lin didakwa atas tuduhan menyebarkan mesej palsu dan menghalang proses keadilan.
Tuduhan menghalang proses keadilan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa dia memadam gambar-gambar yang dihasilkan menggunakan AI serta sejarah log aplikasi AI Gemini daripada telefon bimbitnya pada hari berikutnya.
Lelaki berusia 30 tahun itu memberitahu mahkamah bahawa dia berhasrat untuk mengaku bersalah.
Dia akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 10 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.