Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alat mudahkan jemaah punya masalah mobiliti, berkerusi roda cuci kaki ketika ambil wuduk

Cara lebih mudah untuk para jemaah yang mempunyai masalah mobiliti atau berkerusi roda untuk mencuci kaki ketika mengambil wuduk di masjid-masjid.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cara lebih mudah untuk para jemaah yang mempunyai masalah mobiliti atau berkerusi roda untuk mencuci kaki ketika mengambil wuduk di masjid-masjid.

Ini dapat dilakukan dengan sebuah alat pencuci kaki yang diusahakan syarikat tempatan Ayoobi Pte Ltd.

Ia tidak menggunakan tenaga elektrik ataupun bateri dan hanya perlu dipasang kepada sumber air.



Cara menggunakannya juga sangat mudah.

Para pengguna hanya perlu meletakkan kaki ke alat itu.

Sebagai permulaan, ia sudah dipasang di tandas orang kurang upaya di Masjid Anggulia di Serangoon Road.

"Kita akan minta pengedar menghantar hampir 400 set dan hajat kita hendak pasang di semua masjid di Singapura. Sebuah masjid mungkin mempunyai tiga atau empat tandas orang kurang upaya. Kami akan beri, pasangkan semua. Kami nak menyenangkan jemaah jadi jemaah tidak perlu bawa pembantu, tidak perlu bawa sesiapa ikut dia pergi masjid, dia boleh ambil wuduk secara peribadi," kata Pengarah Urusan Ayoobi Pte Ltd, Ayoob Angullia kepada wartawan Syawal Yusoff.



Encik Ayoob yang juga pengarah urusan agensi haji/umrah Shahidah Travel and Tours berkata beliau menguji alat tersebut sewaktu musim haji tahun ini dan telah mendapat respons yang baik dalam kalangan jemaah.

Beliau terdorong untuk membawa masuk alat tersebut untuk dimanfaatkan oleh jemaah-jemaah lain di Singapura.

"Saya lihat sendiri ramai orang yang mengalami kesusahan. Yang tidak boleh bergerak dari kerusi roda, atau dia mungkin kena polio, ada penyakit, badan mereka tidak kuat untuk berdiri, ini yang terbaik sekali bagi mereka Insya-Allah," ujarnya.

Pengurus Kanan Masjid Angullia, Mohamed Tafran Angullia berkata kemudahan tersebut sangat diperlukan sebilangan jemaah.



"Kadang-kadang jemaah meminta bantuan masjid dan kadang-kadang mereka meminta jemaah lain untuk membantu mereka juga. Jadi kami telah memerhatikan keadaan ini. Lebih-lebih lagi untuk orang kurang upaya, untuk wanita yang sedang hamil, malah pelbagai jemaah yang tidak mampu kerana sebarang kecederaan tidak dapat mencapai. Jadi ia sangat membantu mereka mengambil wuduk dan mengambil wuduk mereka dengan secara tidak was-was apabila mereka berwuduk mereka tahu bahawa ia dilakukan dengan betul," kata Encik Tafran.

DILUASKAN KEPADA 50 MASJID JELANG OKTOBER

Syarikat Ayoobi Pte Ltd menyasarkan untuk melengkapi sekitar 50 masjid di merata negara dengan alat-alat pencuci kaki itu menjelang Oktober ini.

Namun, masjid-masjid yang lebih kerap digunakan oleh para pengguna berkerusi roda akan diberikan keutamaan.

"Kami sudah ada senarai masjid-masjid dan yang bertanggungjawab atas perkara atau kelengkapan masjid, kami sudah berhubung dan apabila sampai barang itu, insha-Allah kami akan buat jadual untuk memasang semuanya," kata Encik Ayoob.

MEREKA YANG MEMERLUKAN BOLEH TAMPIL MINTA BANTUAN

Alat pencuci kaki itu juga boleh digunakan di rumah-rumah.

Orang ramai yang berminat boleh juga membeli alat pencuci kaki itu yang berharga kira-kira S$190 setiap satu.melalui lelaman Ayoobi.

(Gambar: Ayoobi Pte Ltd)

Encik Ayoob juga mengalu-alukan mereka yang memerlukan alat tersebut tetapi kurang berkemampuan juga untuk menghubunginya.

"Jemaah ada pilihan sama ada hendak membayar atau minta ditaja, saya akan uruskan. Saya akan cari penderma untuk berikan anda secara percuma insha-Allah," jelasnya.

Syarikat Ayoobi Pte Ltd merancang untuk memperluaskan inisiatifnya itu ke lebih banyak tempat awam termasuk pusat-pusat membeli belah.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan