Skip to main content

Singapura

Alat mobiliti aktif dirampas naik 25% dalam tujuh bulan pertama 2025

Lebih 500 alat mobiliti aktif (AMD) yang tidak mematuhi peraturan dirampas dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Alat mobiliti aktif dirampas naik 25% dalam tujuh bulan pertama 2025

Alat mobiliti aktif yang diubah suai secara haram menimbulkan risiko kebakaran yang serius. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Lebih 500 alat mobiliti aktif (AMD) yang tidak mematuhi peraturan dirampas dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Menurut para pemain industri, bahagian dan alat gantian AMD yang mudah didapatkan seperti bateri, mungkin menjadi antara puncanya.

Ini sedang para pengguna juga beralih ke wadah online untuk mengubah suai e-skuter dan e-basikal mereka secara haram.

Namun pengubahsuaian kepada mana-mana bahagiannya boleh menyebabkan kebakaran.

Pihak berkuasa menyatakan, tiga daripada setiap lima kebakaran seumpama itu membabitkan alat yang bahagiannya sudah diubah suai.

Para pengguna biasanya melakukan pengubahsuaian supaya AMD mereka boleh bergerak dengan lebih pantas dan lebih lama dengan satu caj sahaja.

Menurut seorang pengguna yang enggan mendedahkan identitinya, pengubahsuaian tersebut mudah untuk dilakukan.

"Anda hanya perlukan bateri, bingkai, motor dan alat kawalan. Ia lebih murah berbanding membeli basikal baharu. Ia lebih murah berbanding membeli bahagian yang asli," kata pengguna tersebut.

Semua bahagian yang diperlukan boleh dibeli secara online dengan mudah.

Mediacorp mendapati sekitar 1,000 alat sedemikian disenaraikan di platform Carousell sahaja dan seseorang juga tidak melanggar undang-undang dengan membeli alat-alat tersebut.

Namun, kerana alat-alat yang diperlukan mudah didapati, maka ianya juga lebih mudah bagi para pengguna untuk mengubah suai AMD mereka dengan cara yang tidak mematuhi peraturan atau menyediakan khidmat untuk berbuat sedemikian.

Kedua-dua tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

"Jika pelanggan memintanya, kami sebenarnya boleh melakukannya. Tetapi sebelum kami melakukannya, sebelum kami menjualnya kepada mereka, kami selalu memberi nasihat, amaran, untuk mengingatkan mereka bahawa ia sebenarnya haram di Singapura," kata seorang penyedia khidmat pengubahsuaian AMD, Baoza Boy.

Jumlah pengubahsuaian juga dipacu oleh golongan yang ingin memperbaiki alat mereka yang sudah usang, tanpa perlu menggantikannya.

Contohnya, sebuah e-skuter baharu berharga lebih S$1,000.

Para pengguna boleh menjimatkan sekitar 20 peratus dengan memperbaiki alat mereka. Tetapi ia membahayakan nyawa jika pengubahsuaian itu tidak dilakukan dengan betul.

Pek bateri yang digunakan AMD boleh meletup dalam masa tiga saat sahaja. Kejadian berbahaya itu boleh dicetuskan dengan satu percikan api, sekiranya sel bateri menyentuh satu sama lain, penebat yang digunakan lemah atau tiada papan pemutus litar yang dipasangkan.

Menurut seorang pembuat bateri, Bobby, risikonya adalah lebih tinggi jika bateri terpakai yang sudah lupus jangka hayatnya digunakan.

Beliau menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada setiap lima pelanggannya yang memeriksa bateri mereka adalah pengguna AMD yang diubah suai.

Bagaimanapun peruncit fizikal Mobot menyatakan masih ada cara untuk para pengguna memastikan keselamatan mereka dalam pasaran terpakai.

"Kami melakukan tukar ganti dan kadangkala, kami membantu sesetengah pelanggan kami untuk menjual alat lama mereka. Kami selalunya melakukan pemeriksaan dahulu sebelum kami menjual alat terpakai ini.

"Bagi para pengguna, adalah lebih bagus jika mereka datang ke kedai yang ada reputasi baik, walaupun mereka mahukan alat terpakai, dan bukan ke wadah online dan membeli secara sebarangan," kata Bobby.

Beliau berkata penguatkuasaan lebih ketat diperlukan di wadah online bagi memutuskan siapa yang menerima kelulusan untuk menjual dan apakah jenis alat yang disenaraikan.

Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan pasaran online untuk menghapuskan senarai alat-alat yang tidak mematuhi peraturan.

Menurut pemerintah, ia sedang menimbangkan denda lebih berat ke atas pemilik dan penjual alat-alat tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita