Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alat baharu AI bantu pihak bertikai capai titik persamaan dengan lebih pantas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Aug 2024 07:37PM Dikemas Kini : 29 Aug 2024 09:10AM
SINGAPURA: Pelancaran satu huraian kecerdasan buatan (AI) yang baharu bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian dengan lebih pantas.

Digelar 'Pembantu Pengantaraan AI', atau MAIA, alat itu mampu meringkaskan dokumen dan data dalam masa beberapa minit sahaja.

Ini membantu kedua-dua pihak yang bertikai mencapai titik persamaan.

MAIA kemudian akan menjana huraian-huraian serta draf kontrak kesepakatan di akhir perbincangan.

Huraian tersebut dilancarkan oleh Pusat Pengantaraan Antarabangsa Singapura (SIMC) di sebuah konvensyen bagi penyelesaian pertikaian.

Khidmat itu disediakan khusus untuk para pengantara dan mereka boleh menggunakannya secara percuma.

Ia diperkenalkan sedang pusat itu bersiap sedia untuk menangani kes pertikaian yang lebih rumit - seperti kes melibatkan negara luar dan teknologi yang sedang berkembang.

"Kami akan tubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi perantaraan aset kripto. Kami dapati dalam tempoh tiga tahun lalu, jumlah kes pertikaian aset kripto melonjak naik. Terdapat, saya rasa sekarang ini, lapan kes pertikaian dalam tempoh kurang dua tahun.

"Kami berpendapat bahawa ada alasan baik mengapa pertikaian kripto secara khusus sesuai untuk pengantaraan. Para pengguna, pihak-pihak terlibat, mahukan huraian yang pantas," jelas Ketua Pegawai Eksekutif SIMC Chua Wee Meng.

Sepanjang 10 tahun lalu, SIMC berjaya menjadi pengantara bagi lebih 430 kes melibatkan lebih 60 bidang kuasa.

Berucap di konvensyen tersebut, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata kedudukan Singapura sebagai pusat penyelesaian pertikaian terkemuka di Asia kini lebih kukuh.

Ini membolehkannya bekerjasama dengan pelbagai pihak lain di peringkat global.

Encik Shanmugam berkata: "Kita menyumbang kepada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa pada tahap di mana saiz kita mengizinkan kita untuk membantu dan menyokong, menurut saya, daripada mewujudkan peraturan antarabangsa yang tertumpu kepada perdagangan dan ekonomi."

"Namun seberapa yang boleh, kita bersuara di PBB, di tempat-tempat lain, kita berusaha dan sangat praktikal. Kita berusaha dalam bidang-bidang di mana kita rasa dapat membuat perbezaan bagi mewujudkan kesepakatan antarabangsa," tambahnya.
Sumber : CNA/FZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan