Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alasan Richard Branson tolak undangan berbahas dengan K Shanmugam 'tidak munasabah', kata MHA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Nov 2022 12:36PM Dikemas Kini : 05 Nov 2022 10:26PM
SINGAPURA: Alasan-alasan yang diberikan oleh hartawan Richard Branson ketika menolak undangan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam untuk membahaskan pendekatan Singapura terhadap dadah dan hukuman mati adalah 'tidak munasabah dan lemah', menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Sabtu (5 Nov).

Dalam responsnya terhadap catatan blog hartawan British itu pada Isnin (31 Okt), MHA menyatakan bahawa Encik Branson setakat "berani menyuarakan pandangannya dengan lantang dari jauh" tetapi cuba mengelakkan perbincangan yang serius apabila dicabar.

Dua minggu lalu, MHA mengundang Encik Branson ke Singapura untuk menyuarakan pendiriannya dan membahaskan pendekatan Singapura melalui siaran langsung di televisyen bersama dengan Encik Shanmugam.

Sebelum ini Encik Branson dengan lantang menyuarakan pandangannya terhadap hukuman mati di Singapura bagi jenayah-jenayah seperti pengedaran dadah.

Pada awal tahun ini, beliau juga menentang hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pengedar dadah, Nagaenthran Dharmalingam.

Namun pada Isnin (31 Okt), Encik Branson menolak undangan tersebut dan beliau sebaliknya berpendapat bahawa perbahasan itu "memerlukan suara-suara penduduk tempatan".

Dalam responsnya yang dikeluarkan hari ini, MHA menyatakan: "Encik Branson berkata bahawa perbahasan itu mungkin terhad dari segi masa dan skop dan 'lebih menjurus kepada personaliti dan bukan isu-isu yang dibincangkan' dan tidak akan dapat mencapai apa-apa matlamat.

"Beliau juga berpendapat bahawa perbincangan itu akan berakhir tanpa sebarang matlamat dicapai. Ini mengejutkan. Pemerintah telah menawarkan perbahasan itu kepada Encik Branson untuk menjelaskan pendirian beliau sepenuhnya.

"Beliau akan berpeluang untuk mengetengahkan pandangannya dan menjelaskan sepenuhnya apa sahaja yang ingin diterangkannya.

"Kami hanya boleh membuat andaian bahawa Encik Branson menyedari bahawa apa saja yang ingin dikemukakannya tentang Singapura adalah tidak benar sama sekali."

MHA juga menegaskan bahawa tindakan Encik Branson untuk menolak undangan itu bercanggah dengan dakwaan-dakwaan yang dibuat dalam catatan-catatan blognya.

MHA turut menarik perhatian bahawa pemerintah sudah mendampingi rakyat Singapura secara meluas mengenai hukuman mati, dengan beribu-ribu rakyat Singapura dilibatkan dalam perbincangan berhubung isu tersebut.

"Perkara-perkara penting dibincangkan di Parlimen bersama para Anggota Parlimen sebagai wakil yang dipilih rakyat. Perbincangan yang diadakan bukan hanya mencerminkan pandangan pemerintah tetapi juga perspektif yang berbeza dalam kalangan rakyat Singapurra," tambah MHA.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan