Skip to main content

Singapura

Alami sendiri suasana rumah kampung di pameran interaktif Biennale Kanak-Kanak 2025

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan bunyi ayam berkokok, sekitaran menghijau dengan pokok dan tanam-tanaman mengelilingi kawasan rumah kampung.

Para pengunjung pameran akan seolah-olah dibawa kembali ke zaman rumah kampung di Singapura, pengalaman yang unik dan penuh nostalgia.

Diilhamkan daripada lukisan 'Malay House, Malacca', karya artis tempatan, Almarhum Mohamed Salehuddin, pameran 'Home Is Where The Heart Is' menjemput para pengunjung menyusuri evolusi rumah dan ruang kediaman yang pelbagai, yang membentuk sebahagian daripada warisan Singapura.

Pameran 'Home Is Where The Heart Is' untuk Biennale Kanak-Kanak 2025. (Gambar: Galeri Nasional Singapura)

Ini merupakan antara lapan karya seni interaktif yang dipamerkan untuk Biennale Kanak-Kanak 2025 di Galeri Nasional Singapura.

"Seiring dengan sambutan SG60 tahun ini, kami ingin para pengunjung merenungkan konsep dan apakah itu ertinya rumah kepada mereka, sambil meraikan warisan budaya kita. Lukisan kampung oleh Mohamed Salehuddin menggambarkan pengalaman kehidupan ramai rakyat Singapura pada masa lalu dan kami membina kepada asas itu dua lagi jenis rumah dari generasi moden, iaitu rumah kedai dan flat HDB," kongsi Pengarah Artistik Bersama, Galeri Biennale Kanak-Kanak, Nurdiana Rahmat.

"Kehidupan kejiranan imaginasi ini memberikan pelbagai cara kepada kanak-kanak untuk mengalami lukisan Mohamed Salehuddin menerusi cara yang interaktif - ada butang yang mereka boleh picit untuk mendengar pelbagai bunyian yang kedengaran di sekitar (kawasan) kejiranan kami seperti loceng aiskrim. Ada juga bunyi ayam berkokok, dan loceng pintu yang mereka boleh picit untuk membuka pintu-pintu rumah dan bermacam-macam lagi. Melalui interaksi tersebut, kami berharap ia dapat menggalakkan perbualan antara generasi tentang rumah dan keluarga mereka," tambah beliau.

BAYANGKAN MASA DEPAN YANG PENUH HARAPAN, INKLUSIF

Edisi kelima acara itu diharap dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk membayangkan masa hadapan yang inklusif dan penuh harapan dengan tema “Tomorrow We’ll Be…”, berpandukan empat nilai teras iaitu 'Kegembiraan, Kebaikan, Impian dan Kasih Sayang'.

Pengarah Artistik Bersama, Galeri Biennale Kanak-Kanak, Nurdiana Rahmat. (Gambar: Nazirah Jamzuri/BERITA Mediacorp)

Cik Diana menjelaskan, "Tema tahun ini memang dipilih untuk memberi inspirasi kepada para pengunjung untuk melihat ke masa hadapan mereka sambil meraikan ulang tahun Galeri yang ke-10 dan juga SG60."

"Menerusi tema ini, kami berharap setiap kanak-kanak akan mendapat inspirasi untuk membayangkan masa depan mereka yang penuh dengan harapan dan juga masa depan yang inklusif ketika mereka bermain dan berinteraksi dengan karya-karya seni di Biennale ini."

Ruang-ruang di galeri itu juga menampilkan lapan karya seni yang interaktif dan berskala besar oleh artis-artis dari Singapura dan rantau Asia.

TEROKA SENI MENERUSI PERGERAKAN DAN PERMAINAN

Ini termasuk 'Dance Dance Chromatics', oleh artis tempatan Wyn-Lyn Tan, yang mengajak pengunjung 'menari' dan meneroka seni menerusi pergerakan dan permainan.

"Dance Dance Chromatics ialah sebuah pemasangan seni yang mengajak kanak-kanak dan orang dewasa untuk sama-sama mencipta lukisan digital berdasarkan pergerakan tubuh mereka. Ia diilhamkan oleh permainan arked, 'Dance Dance Revolution', yang dimainkan dengan memijak papan tarian untuk bergerak mengikut rentak dan irama," kongsi Cik Tan.

Artis tempatan Wyn-Lyn Tan, yang menghasilkan karya seni 'Dance Dance Chromatics'. (Gambar: Nazirah Jamzuri/BERITA Mediacorp)

Pelukis abstrak itu juga sering menggunakan pergerakan fizikal ketika menghasilkan karya di studio.

Menerusi pameran ini, beliau ingin memaparkan ekspresi pergerakan tersebut dalam cara yang riang dan menarik.

"Saya rasa ada sesuatu yang sangat menggembirakan dalam menggerakkan badan dengan bebas tanpa rasa malu dan saya percaya dalam ruang yang intim seperti ini, kanak-kanak dan orang dewasa boleh menari seolah-olah tiada siapa yang melihatnya, dan bertemu dengan kegembiraan dan ekspresi dalam menggerakkan tubuh mereka bagi mencipta kegembiraan mereka itu secara visual," ujar beliau.

MESRA BAYI & KERJASAMA DENGAN ARTIS, PERTUBUHAN GOLONGAN KURANG UPAYA

Pameran 'I WE THEM' oleh Vicente Delgado, artis Sepanyol yang berpangkalan di Singapura. (Gambar: Galeri Nasional Singapura)

Buat julung-julung kalinya juga, kesemua pameran di Biennale itu direka menjadi mesra bayi.

"Edisi Biennale yang lalu sudah menampilkan pelbagai elemen mesra bayi namun edisi kali ini merupakan kali pertama di mana kami mereka dan membina karya seni khususnya agar ia merupakan mesra bayi. Kami ingin memastikan bahawa para pengunjung yang paling muda dapat berinteraksi dengan setiap karya bagi merangsang deria pendengaran dan penglihatan mereka dalam persekitaran yang selamat," dedah Cik Diana.

Malah, ruang dan juga pengalaman Biennale itu direka secara teliti bagi membolehkan bayi, kanak-kanak dan golongan kurang upaya untuk menikmati dan turut serta dalam kegiatan seni yang ditawarkan.

Karya artis Jepun, Hiromi Tango bertajuk 'Kindness Garden' yang menggunakan Braille. (Gambar: Amirah Iryawan/BERITA Mediacorp)

Ia sebahagian daripada usaha berterusan galeri itu untuk menjadi muzium rakyat yang inklusif.

"Kami juga berharap untuk mencerminkan kepelbagaian suara dan masyarakat supaya mereka berasa dihargai, disertakan dan diwakili menerusi karya seni dan program-program di galeri. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan artis buat edisi ini untuk mempersembahkan karya 'Colourful Play' oleh Fern Wong, seorang artis dengan Sindrom Down. Karya artis (Jepun) Hiromi Tango bertajuk 'Kindness Garden' diilhamkan oleh dan juga menggunakan Braille. Kami bekerjasama dengan Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) untuk memastikan Braille dalam karya ini adalah tepat," ujarnya.

Pameran interaktif 'Fantasy' oleh Co2_karbondioksida. (Gambar: Amirah Iryawan/BERITA Mediacorp)

Biennale Kanak-Kanak di Galeri Nasional Singapura akan berlangsung sehingga 29 Mac 2026.

Ia turut menampilkan karya seni 'Fantasy' oleh Co2_karbondioksida, pasangan suami isteri Oscar Lee dan Celine Tan dari Malaysia, Lessons in Being Kind oleh Souliya Phoumivong dari Laos, I WE THEM oleh Vicente Delgado, artis Sepanyol yang berpangkalan di Singapura, dan Imaginary Peach Garden oleh YeSeung Lee, artis dari Korea Selatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita