Skip to main content

Singapura

Alami sendiri pengalaman 'meringkuk' dalam 'penjara' dalam program antidadah, antisamseng ini

Satu program Lawatan Pembelajaran Penjara dilancarkan sebagai sebahagian usaha mendampingi masyarakat supaya mengelakkan penyalahgunaan dadah dan memasuki kumpulan-kumpulan samseng.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu program Lawatan Pembelajaran Penjara dilancarkan sebagai sebahagian usaha mendampingi masyarakat supaya mengelakkan penyalahgunaan dadah dan memasuki kumpulan-kumpulan samseng.

Pelancaran program lawatan anjuran Khidmat Masyarakat Mawar (MCS) itu dirasmikan pada Ahad (13 Jul) oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

Bertempat di 69A Onan Rd, Lawatan Pembelajaran Penjara itu merangkumi tiga bahagian termasuk pameran Pendidikan Pencegahan Dadah.

PENGALAMAN REALISME 'MERINGKUK' DALAM PENJARA

Pesalah dadah lazimnya dikenakan hukuman penjara.

Lantara itulah di pameran ini, para pengunjung akan dapat mengalami sendiri sekilas pengalaman 'meringkuk' dalam sel penjara.

Meskipun ia satu penjara rekaan, saiz 'sel' penjara itu bersamaan dengan saiz sebenar dan mengandungi kelengkapan penjara sebenar seperti tikar mengkuang, selipar dan berus gigi yang digunakan para banduan.

"Berdasarkan pengalaman yang kita ada, orang awam pun sudah tidak boleh masuk ke penjara atau untuk bawa murid-murid ke penjara. Jadi, kita bawa pengalaman penjara ke sini," kongsi Pengarah Program MCS, Ustaz Md Basir Md Shariff.

"Tujuannya adalah supaya golongan pelajar ini tidak ikut langkah kita dan mungkin keluarga mereka yang dalam penjara atau di luar penjara tetapi hadapi masalah geng atau masalah dengan dadah."
Ustaz Md Basir merupakan seorang bekas pesalah dadah dan pernah keluar masuk penjara 10 kali. (Gambar: Mediacorp)
TIMBA IKTIBAR SUPAYA TIDAK MAHU MASUK PENJARA

Ustaz Md Basir merupakan seorang bekas pesalah dadah dan pernah keluar masuk penjara 10 kali kerana menjalani hukuman selama 18 tahun.

Beliau berharap masyarakat akan lebih peka dan lebih faham perkara-perkara yang dilalui para banduan semasa di dalam penjara, serta selepas dibebaskan.

"Tidak semua orang tahu tentang dadah dan tidak semua tahu tentang apa yang para banduan alami di penjara dan masalah yang mereka hadapi setelah bebas dari penjara. Lebih-lebih lagi kalau mereka ada anggota keluarga sendiri (yang terjerumus dalam kancah dadah), kita kadang-kadang tidak ada kuasa untuk mengubah mereka.

"Tetapi mungkin dengan kita memahami, kita akan lebih dapat menyokong mereka sepenuhnya," tambah beliau.

PERKONGSIAN DARIPADA BEKAS PESALAH DADAH, BEKAS SAMSENG

Bagi menjadikan pengalaman para pengunjung ke 'penjara' itu lebih realistik lagi, mereka juga akan dapat mengikuti perkongsian peribadi dengan bekas pesalah dadah dan bekas anggota kumpulan samseng.

Ini bagi mengenali dengan lebih mendalam kehidupan bekas pesalah itu.

"Kita akan berkongsi cerita pengalaman yang kita sendiri lalui bukan daripada apa yang kita baca. Kadang-kadang apa yang kita baca tidak sama dengan apa yang dilalui sebab kita sendiri pernah mengalami.

"Kalau di penjara, cabarannya tak seberat cabaran yang mereka hadapi di luar," ujar Ustaz Md Basir kepada BERITA Mediacorp.

Selain itu, para pengunjung akan dapat mengenali pelbagai jenis dadah yang sering disalah guna, serta kelengkapan yang digunakan para penagih dadah.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim (barisan hadapan, tiga dari kiri) melancarkan program lawatan anjuran Khidmat Masyarakat Mawar (MCS) pada 13 Julai 2025. (Gambar: Mediacorp)
"SAMA-SAMA SOKONG USAHA INI..."

Dr Faishal berkata program ini menjadi satu wadah penting dalam usaha untuk "menjauhkan anak-anak kita" daripada kancah dadah.

"Mereka boleh datang ke sini dan juga mendapat bimbingan bukan sahaja daripada agensi agensi pemerintah, tetapi juga daripada mereka yang pernah terperangkap dengan isu dadah dan juga kumpulan-kumpulan samseng.

"Saya harap sama-sama kita menyokong usaha ini untuk mendidik anak-anak, belia dan juga masyarakat kita dan sekali gus kita menyokong mereka yang mahu memperbaiki kehidupan mereka dan juga memberikan ruang pembangunan kepada semua tidak kira latar belakang mereka," tambah Dr Faishal, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri.

Lebih 100 tetamu termasuk para pemimpin masyarakat, rakan kongsi korporat serta bekas-bekas pesalah dan anggota keluarga mereka menghadiri majlis pelancaran lawatan pembelajaran itu.

PENDIDIKAN ANTIDADAH BERMULA DENGAN IBU BAPA DI RUMAH

Meskipun adanya program pendidikan realisme seperti ini oleh MCS, Dr Faishal menegaskan bahawa mesej penyalahgunaan dadah dan pelibatan kumpulan samseng sebenarnya perlu bermula daripada ibu bapa sendiri di rumah.

"Kita berbincang dengan mereka tentang isu-isu seperti penyalahgunaan dadah.

"Salah satu punca adalah aspek keluarga di mana mereka (anak-anak) mahukan kasih sayang dan mahukan bimbingan daripada ibu bapa mereka dan mungkin mereka terjejas dengan kurangnya kasih sayang dan juga perbincangan seperti ini," ujar Dr Faishal.

Lawatan Pembelajaran Penjara itu sudah mula diadakan untuk beberapa kumpulan termasuk kakitangan masjid dan sukarelawan penjara sejak bulan Mei tahun ini.

Menurut Ustaz Basir, setiap lawatan pembelajaran itu akan dijalankan untuk sekurang-kurangnya 40 peserta pada satu-satu masa dengan kos S$500.

MCS berharap selain memanfaatkan orang ramai, kegiatan itu juga akan dapat memberi peluang kepada bekas-bekas pesalah yang mengendalikan program, untuk membina kemahiran dan keyakinan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita