Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alami Musa usul NMP wakili sektor agama bagi perkaya sekularisme S'pura

 Melantik seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP) untuk mewakili sektor keagamaan dan memberikan suara dalam dunia politik mungkin boleh menjadi langkah pertama dalam usaha memperkayakan sekularisme Singapura, menurut Encik Mohammad Alami Musa pada Khamis (14 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Alami Musa usul NMP wakili sektor agama bagi perkaya sekularisme S'pura

Encik Mohammad Alami Musa. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 15 Jan 2021 10:20AM Dikemas Kini : 15 Jan 2021 10:23AM

SINGAPURA: Melantik seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP) untuk mewakili sektor keagamaan dan memberikan suara dalam dunia politik mungkin boleh menjadi langkah pertama dalam usaha memperkayakan sekularisme Singapura, menurut Encik Mohammad Alami Musa pada Khamis (14 Jan).

Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu berkata demikian semasa berucap di sebuah forum maya yang diadakan sebagai sebahagian daripada Perspektif Singapura 2021 yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut Encik Alami, Singapura boleh memperkayakan model sekularismenya dengan memberikan masyarakat-masyarakat keagamaan di sini ruang dalam dunia politik.

"Kepelbagaian agama, budaya dan kepercayaan mempunyai peranan yang perlu dimainkan untuk menyumbang dan memperkayakan akhlak dan prinsip moral kita.

"Apabila diminta mengulas lanjut oleh Dr Mathew Matthews, yang merupakan moderator forum dan felow penyelidik utama IPS untuk menjelaskan apa yang dimaksudkannya itu, Encik Alami menjelaskan bahawa apa yang ingin dilihatnya bukanlah seorang sami Buddha, paderi Kristian dan seorang Imam untuk berucap di dewan. Sebaliknya, pandangan dan pendapat awam perlu dijadikan sebagai satu kelayakan untuk mewajarkan perwakilan tersebut.

"Anda tidak perlu menggunakan ayat-ayat suci untuk menyatakan pandangan anda dan menyampaikan kebijaksanaan anda di ruang awam. Bagaimana anda menggunakan bahasa yang boleh diterima dengan baik oleh semua orang tanpa mengira fahaman agama ataupun tidak kira sama ada anda beragama atau tidak beragama," tambahnya.

Encik Alami adalah Duta Singapura bagi Algeria dan beliau juga ketua pengajian silang agama dalam masyarakat majmuk di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam.

Menyedari bahawa mungkin ada kritikan terhadap saranannya dan bagaimana ia boleh menyebabkan perpecahan, Encik Alami menegaskan bahawa masyarakat tidak perlu risau mengenainya.

Beliau sebaliknya mengusulkan satu pemikiran semula dalam kalangan sarjana agama terhadap idea tradisional yang membayangkan bahawa agama tidak boleh bertindih dengan ehwal negara dan politik.

"Tidak mungkin kita boleh mengecualikan agama - yang membentuk satu dimensi yang besar dalam kehidupan manusia - jauh daripada manusia, sekalipun di ruang awam," jelasnya.

Menyentuh tentang saranan Encik Alami itu, Dr Mathews turut bertanya sama ada golongan yang tidak berpegang kepada mana-mana fahaman agama, harus diberikan suara di Parlimen.

Profesor Madya Daniel Goh, seorang lagi anggota panel bagi forum itu, berkata bahawa tiada keperluan nyata bagi salah satu kumpulan untuk diwakili secara rasmi di Parlimen menerusi skim NMP. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan