Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alami Musa: 3 kelompok ini jadi cabaran besar bagi MUIS pada tahun-tahun mendatang

Masyarakat Muslim tempatan akan terbahagi kepada tiga kelompok pada masa depan, iaitu kelompok "pengetat agama"; kedua, kelompok "pelonggar agama"; dan ketiga kelompok "arus utama" yang dominan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Muslim tempatan akan terbahagi kepada tiga kelompok pada masa depan, iaitu kelompok "pengetat agama"; kedua, kelompok "pelonggar agama"; dan ketiga kelompok "arus utama" yang dominan.

Inilah antara perkembangan dan cabaran besar dalam kehidupan sosioagama masyarakat Muslim tempatan yang perlu diberi tumpuan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada tahun-tahun mendatang.

Demikian menurut Presiden MUIS, Mohd Alami Musa dalam satu wawancara dengan pihak media kelmarin (29 Jul), sebelum melepaskan jawatannya itu 6 Ogos nanti.

Presiden MUIS, Mohd Alami Musa, bakal melepaskan jawatannya itu pada 6 Ogos 2021. (Gambar: BERITAmediacorp)

"Jadi yang 'pengetat agama' - ini semua tak boleh. Tak boleh berbaik dengan kaum bukan Muslim. Jangan terlalu rapat dengan negara dengan pemerintah. Semua yang ekstrem pandangan-pandangan mereka. Ini satu yang kita kena tanganilah, kena uruskan," kata Encik Alami yang turut menggunakan label 'konservatif ekstrem' bagi kelompok ini.

PELONGGAR AGAMA / KONSERVATIF EKSTREM

Kelompok 'pelonggar agama' pula, kata pemimpin masyarakat veteran itu, ialah mereka yang disifatkannya sebagai 'oh semua boleh'. Beliau enggan menggunakan perkatan 'liberal' bagi golongan ini tetapi menarik perhatian bahawa banyak yang diinginkan kelompok ini.

"Sama ada agama membolehkan atau tidak, itu persoalan lain (bagi kelompok ini)," ujar beliau.

"Mungkin mereka yang dalam kelompok ini inginkan MUIS untuk bersimpati atau menerima gaya hidup misalnya LGBT. Jadi mungkin kumpulan-kumpulan ini sudah ada, sudah wujud. Mungkin lebih kuat, suara mereka lebih ramai lagi."

Orientasi kelompok ini, yang turut dipengaruhi oleh hujah-hujah gerakan-gerakan hak asasi manusia dari luar negara, gerakan mungkin mendarat di sini dan menjejas masyarakat Muslim tempatan kata beliau.

KELOMPOK ARUS UTAMA MAKIN LANTANG

Bagi kelompok arus utama pula, pemimpin MUIS berusia 65 tahun itu berkata cabarannya ialah mereka juga mahu diberikan lebih banyak lagi ruang.

Menurut beliau kemahuan, jangkaan dan harapan golongan itu kini lebih tinggi. Mereka mahu diberi kelonggaran dalam mempraktik dan mengamalkan agama di Singapura ini.

Presiden MUIS, Mohd Alami Musa, dalam satu wawancara dengan pihak media pada 29 Julai 2021 sebelum melepaskan jawatannya itu 6 Ogos nanti. (Gambar: BERITAmediacorp)

"Misalnya dari segi pemakaian tudung, dari segi beberapa amalan keagamaan, mereka mungkin mahu negara menjadi lebih terbuka kepada mereka supaya diberi lebih banyak ruang.

"Jadi ada tiga kelompok dalam masyarakat Islam dan setiap kelompok itu kita tak boleh abaikan tak boleh bilang 'oh tidak, kita asingkan mereka', tidak. Kita nak kena berkomunikasi nak kena berhubungan dengan mereka untuk berdialog," hujah Encik Alami.

Ditanya BERITAmediacorp, kumpulan mana daripada ketiga-tiga kelompok itu yang 'lebih kuat', Encik Alami menjawab bahawa buat masa ini, kedua-dua kelompok "pengetat agama" dan "pelonggar agama" masih lagi di tahap pinggiran dalam masyarakat. Namun mereka "akan berkembang dan menjadi lebih mendesak".

Beliau akur bahawa MUIS perlu terus menjalankan pendidikan awam dan usaha mendekati mereka.

KAWAN KITA, KAWAN KITA & LAWAN KITA, KAWAN KITA

Presiden MUIS, Mohd Alami Musa, bakal melepaskan jawatannya itu pada 6 Ogos 2021. (Gambar: BERITAmediacorp)

Beliau kemudian berkongsi falsafah yang digunakannya selama menjadi Presiden eksekutif MUIS, iaitu "kawan kita adalah kawan kita, lawan kita adalah kawan kita".

Bermaksud, tiada apa yang dipanggil "musuh" bagi MUIS. Jadi, MUIS akan mendekati golongan ekstrem mahupun golongan 'bebas'.

Beliau memberi contoh bahawa pada suatu ketika semasa kepimpinannya, ada sekumpulan anak muda yang berasa bahawa matawang negara ini adalah "kotor" dan tidak boleh diterima agama. Mereka sebaliknya mahu memperkenalkan matawang baru dipanggil "Dirham".

Bagaimanapun setelah mendekati dan berbincang dengan mereka, kata Encik Alami, golongan itu dapat diperbetul.

Beliau kemudian berkongsi kepada wartawan tentang satu lagi kumpulan yang percaya bahawa orang Islam tidak seharusnya mendapatkan pinjaman membeli rumah, kerana menurut mereka transaksi berasaskan "wang faedah adalah haram".

"Saya masih ingat, salah seorang daripada mereka mahu MUIS menulis kepada Lembaga CPF dengan menyatakan bahawa semua faedah yang dinikmati pencarum Muslim jangan diberikan kepada mereka.

"Jadi inilah jenis pemikiran konservatif ekstrem yang sudah kami dekati," cerita beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan