Skip to main content

Singapura

Al-Mizan SG lancar usaha sifar pembaziran pada sesi buka puasa di masjid

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Mar 2026 05:35PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 10:36PM
SINGAPURA: Al-Mizan Singapura melancarkan sebuah inisiatif baharu untuk meneliti dan mengkaji isu pembaziran makanan selepas sesi berbuka puasa di masjid-masjid.

Sepanjang Ramadan ini, mereka merintis usaha tersebut di dua masjid dahulu iaitu Masjid Alkaff Upper Serangoon dan Masjid Al-Islah.

Menerusi inisiatif 'Zero Waste Ramadan', kumpulan bukan mencari untung itu menggalak jemaah mengasingkan sisa makanan dan plastik sebaik selesai berbuka puasa.

Dua tong sampah khusus disediakan, satu untuk membuang sisa makanan dan satu lagi untuk plastik.

Menurut Pengarah Program 'Zero Waste Ramadan', Amirul Adli Zulkifli, objektif utama inisiatif itu adalah untuk mengumpul data dan memahami skala sebenar pembaziran.

"Objektif utama adalah untuk mendapatkan data, berapa banyak sisa makanan dibuang oleh jemaah dan kedua adalah bagaimana sisa ini diuruskan oleh pihak masjid," katanya.

Encik Adli menganggarkan sekurang-kurangnya 50 kilogram sisa makanan dibuang pada setiap sesi berbuka puasa yang dihadiri kira-kira 400 hingga 500 jemaah.
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
KURANGKAN PEMBAZIRAN, SISA PADA RAMADAN

Data tersebut akan dikaji dan akan memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan pembaziran pada tahun akan datang.

Sisa-sisa makanan tersebut juga akan dijadikan kompos, yang digunakan sebagai baja.

Sasaran utamanya adalah untuk mencapai hampir sifar pembaziran.

"Pada Ramadan tahun depan, kami mahu lebih banyak masjid untuk terlibat dalam program ini. Kami ingin jemaah yang lebih berpengetahuan tentang sifar sisa," kongsi Encik Amirul.
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
Barangan yang diperbuat daripada plastik juga akan dikumpul untuk dikitar semula.

Misalnya helaian plastik yang dilapikkan atas dulang untuk mempercepatkan proses pembuangan sisa.

"Plastik yang dikumpul akan dihantar kepada saluran yang sesuai untuk mengitar semula. Dengan cara ini, plastik tidak akan menjadi sisa biasa yang mencemarkan alam sekitar," kata Pengarah Program, Nur Alesya Dania.
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
AMBIL KESEMPATAN RAMADAN UNTUK PUPUK SIFAT TIDAK MEMBAZIR

Menurut Cik Alesya, inisiatif tersebut dijalankan kerana masih berlaku pembaziran makanan, terutama pada sesi berbuka puasa.

"Bulan Ramadan ini memang sesuai untuk memupuk sifat tidak membazir kerana Ramadan sendiri mengajar kita untuk bersyukur, empati dan juga kesederhanaan," kongsinya.

Menerusi inisiatif tersebut, Al-Mizan juga berharap untuk membentuk tabiat lebih bertanggungjawab di kalangan jemaah.

Bagi pihak Masjid Alkaff Upper Serangoon, kerjasama dengan Al-Mizan selari dengan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

"Sebagai pusat pembangunan ummah, masjid berperanan mendidik masyarakat agar menjadi khalifah yang bertanggungjawab dalam menguruskan sumber dan mengurangkan pembaziran khususnya sepanjang bulan Ramadan," kata Eksekutif Pentadbiran di Masjid Alkaff Upper Serangoon, Nadiah Yusof.

Melangkah ke hadapan, Cik Nadiah berkongsi bahawa masjid tersebut akan meneruskan langkah untuk mengurangkan pembaziran makanan.

Ini termasuk merancang penyediaan makanan yang lebih berhemah bagi program-program masjid, menggalakkan jemaah mengambil sekadar yang perlu serta memperkukuhkan kesedaran tentang tuntutan Islam untuk menghargai rezeki dan mengelakkan pembaziran.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita