Al-Hafiz Hosni jayakan muzikal Krismas di Marina Bay selama 25 hari berturut-turut
SINGAPURA: Sejak Khamis (11 Dis), kawasan Marina Bay - khususnya di Bayfront Event Space - kembali meriah dengan pemasangan lampu, reruai serta pelbagai kegiatan sempena perayaan Krismas.
Semua ini merupakan sebahagian daripada festival 'Togetherland' oleh World Christmas Market, yang kembali dianjurkan selepas membuat penampilan sulungnya pada tahun lalu.
Sebuah muzikal yang dihasilkan secara eksklusif untuk festival tersebut, turut dipentaskan di acara yang sama.
Berjudul 'The Brightest Christmas Star', muzikal itu mengisahkan perjalanan tiga kanak-kanak yang berusaha menghidupkan semula dan menyelamatkan ‘bintang Krismas’ daripada dunia yang semakin suram.
Pementasan selama 50 minit itu dijayakan oleh barisan anak seni tempatan, termasuk seorang belia bernama Md Al-Hafiz Hosni.
"Walaupun saya tidak menyambut Krismas, saya gembira dapat menghiburkan pengunjung yang datang meraikan perayaan ini," ujar Hafiz, yang memegang watak sebagai Captain Solas dalam muzikal tersebut.
'The Brightest Christmas Star' akan dipentaskan setiap malam sehingga 4 Januari, sepanjang Togetherland dibuka kepada orang ramai. Ini bermakna… Hafiz akan beraksi di atas pentas selama 25 hari berturut-turut!
"Penat itu bukan hanya di atas pentas. Bahagian paling mencabar adalah di belakang tabir, apabila kami perlu menukar pakaian dengan sangat cepat. Sepanjang 45 minit persembahan, saya hampir tidak sempat berehat," tambahnya.
'The Brightest Christmas Star' menggabungkan penceritaan teater dengan alunan muzik pop kontemporari.
KEUNIKAN EDISI KEDUA TOGETHERLAND
'Togetherland' oleh World Christmas Market kali ini dianjurkan di tapak seluas 20,000 meter persegi, iaitu seganda lebih luas berbanding edisi sebelumnya.
Pengunjung boleh meneroka sembilan zon, masing-masing menawarkan pengalaman unik, selain menampilkan 40 penyedia makanan dan minuman mahupun 60 peruncit.
Antara pengalaman unik yang ditawarkan termasuk permainan kanak-kanak serta pesta ‘Blitzen’s Fur Friends Party’ yang menampilkan aktiviti dan bazar khusus untuk pemilik dan pencinta haiwan.
Di samping itu, festival diberi sentuhan inklusif dengan menampilkan reruai dan kegiatan yang meraikan kreativiti golongan berkeperluan khas.
The Art Faculty misalnya, diberi peluang untuk menampilkan pelbagai karya seni artis muda yang mengalami autisme.
Sekali pandang 'Togetherland' sememangnya kelihatan gah, apatah lagi dengan pokok Krismas setinggi lapan meter yang dihiasi dengan lebih 1,500 bola cermin.
Namun, acara ini sebenarnya dijangka mengurangkan sekitar 8,000 kilogram pelepasan karbon dioksida. Ini mahu dicapai melalui penggunaan tenaga solar dan sistem tenaga boleh diperbaharui.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.