Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Aku akan lakukan sampai kau betul-betul takut" - Jururawat mengaku berulang kali dera pembantu rumah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kurang senang dengan cara pembantu rumahnya membersihkan rumah, Zhao Lin menampar pipi wanita tersebut dan kemudian menendangnya ketika beliau cuba untuk melindungi dirinya.

Perbuatan Zhao Lin itu, disaksikan anak lelakinya yang ketika itu berumur empat tahun.

Apabila ditanya mengapa mangsa diserang, Zhao Lin menjawap dalam bahasa Mandarin: "Kakak (pembantu rumah) buat salah, dia pukul emak."

Zhao Lin, penduduk tetap Singapura yang kini berusia 35 tahun mengaku di mahkamah daerah pada Isnin (4 Apr) atas beberapa kejadian menyerang dan memukul pembantu rumah asal Myanmar, Ma Ei yang kini berusia 29 tahun. Ini termasuk menampar pembantu rumah itu sebanyak 10 kali di pipinya apabila wanita itu tidak menyimpan mainan anak lelakinya dengan cara yang diinginkan.

Zhao mengaku bersalah atas empat tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Cik Ma Ei dan satu tuduhan merosakkan telefon bimbit pembantu rumah itu. Empat lagi tuduhan berkaitan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Zhao bekerja sebagai jururawat ketika kejadian itu berlaku. Perbuatannya dirakam kamera litar tutup (CCTV) yang dipasang di rumah.

GAJI S$500 DIPOTONG

Mahkamah diberitahu bahawa Cik Ma Ei bekerja bersama keluarga Zhao sejak Februari 2016 ketika berusia 23 tahun.

Pekerjaan itu yang pertama sejak beliau sampai di Singapura. Cik Ma Ei mendapat gaji S$500 sebulan.

Pada 2017, Zhao mula memotong gaji Cik Ma Ei sebanyak S$100 hingga S$200 setiap kali beliau melakukan "kesilapan" semasa bekerja.

Gaji Cik Ma Ei juga dipotong kerana merosakkan barang seperti memecahkan pinggan mangkuk atau almari anak Zhao tercalar, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Teo Lu Jia.

"Oleh sebab (Cik Ma Ei) tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya jika dia enggan menerima potongan gaji, dia menerima potongan itu," kata DPP Teo.

Cik Ma Ei menandatangan borang gaji yang menyatakan beliau sudah menerima "gaji penuh" walaupun gajinya dipotong.

Jumlah gaji yang dipotong itu dikembalikan kepada Cik Ma Ei pada Januari 2019 selepas laporan polis dibuat mengenai penderaan fisikal dan apabila Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyiasat tunggakan gaji tersebut.

PENDERAAN BERMULA 2017

Zhao sering kali memukul Cik Ma Ei apabila dia tidak berpuas hati dengan prestasi kerja atau kelakuan mangsa.

Pada tengah malam 25 Ogos 2018, ketika Cik Ma Ei mahu masuk tidur, Zhao memberitahunya mainan anak lelakinya tidak disimpan dengan betul.

Semasa di dalam bilik tidur, Zhao memberitahu mangsa untuk berdiri dengan betul dan menampar kedua-dua belah pipinya sebanyak 10 kali, sambil mengira dengan kuat setiap kali tamparan yang dibuat.

Dia kemudian memberitahu Cik Ma Ei: "Aku akan lakukannya sampai kau betul-betul takut...Lain kali, buat cara aku..."

Selepas beberapa kejadian penderaan fisikal, pembantu rumah itu akhirnya bersuara. Namun tidak jelas menerusi rakaman CCTV apa yang dikatakan wanita itu kepada majikannya.

Zhao naik marah dan memukul tangan kanan serta menarik rambut mangsa. Satu pergelutan berlaku dan Zhao menendang betis mangsa sebanyak dua kali.

Mangsa kemudian menelefon polis meminta bantuan dengan disaksikan Zhao.

Apabila polis tiba, mereka meminta rakaman CCTV rumah Zhao tetapi dia enggan bekerjasama. Polis kemudian merampas dua kad memori selepas suami Zhao pulang.

Cik Ma Ei berjumpa doktor di Hospital Besar Ng Teng Fong beberapa jam selepas kejadian dan didapati mengalami kesan lebam dan melecet di beberapa bahagian badannya.

Zhao akan kembali ke mahkamah pada 9 Mei untuk mendengar keputusan hukuman.

Sengaja menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara dua tahun serta denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya.

Jika jenayah itu dilakukan terhadap pembantu rumah yang bekerja dengan pesalah, pesalah boleh menerima satu setengah kali hukuman maksimum.

Bagi kesalahan melibatkan perbuatan nakal, Zhao boleh dipenjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan