Aktiviti binaan cetus gangguan khidmatan gentian, jejas jalur lebar 5,000 pengguna: NetLink Trust
Aktiviti pembinaan menyebabkan gangguan perkhidmatan gentian yang menjejaskan perkhidmatan jalur lebar bagi sekitar 5,000 pengguna di Ang Mo Kio, Bishan, Sengkang dan Punggol.
Sebuah kenderaan milik NetLink Trust. (Gambar: NetLink Trust)
NetLink Trust, yang memiliki dan mengendalikan prasarana rangkaian gentian bagi Rangkaian Jalur Lebar Seluruh Negara Singapura, pada Sabtu (18 Apr) menyatakan ia mengalami gangguan perkhidmatan gentian.
Dalam satu kenyataan di laman webnya pada pukul 3.00 petang, ia menyatakan gangguan tersebut berpunca daripada kontraktor pihak ketiga yang menjalankan aktiviti pembinaan.
Kontraktor pihak ketiga yang terlibat itu tidak dilantik oleh NetLink Trust, menurutnya.
"Kami memandang berat gangguan perkhidmatan yang disebabkan oleh kontraktor yang cuai dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak berkenaan."
Gangguan tersebut menjejaskan sebahagian daripada perkhidmatan jalur lebar di beberapa kawasan di Ang Mo Kio, Bishan, Sengkang dan Punggol, menurut NetLink Trust.
"Kira-kira 5,000 sambungan pengguna akhir mungkin terjejas akibat insiden ini," menurutnya.
Dalam satu kemas kini pada pukul 7.00 malam, NetLink Trust menyatakan: "Siasatan awal menunjukkan gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan pada prasarana gentian semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan oleh pihak ketiga."
Ia turut menyatakan bahawa pasukan teknikalnya berada di lokasi dan sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan dengan secepat dan seaman mungkin.
"Berikutan kekangan di lapangan dan keadaan cuaca hujan, langkah keselamatan tambahan diperlukan, yang mungkin menjejaskan tempoh pemulihan," tambahnya.
"Buat masa ini, perkhidmatan dijangka dipulihkan secara berperingkat menjelang pagi esok, tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka."
Laman pemantauan gangguan Downdetector menunjukkan lonjakan laporan berkaitan perkhidmatan internet jalur lebar Singtel, StarHub, M1 dan MyRepublic pada pukul 10.45 pagi pada Sabtu, dengan laporan terus diterima selepas itu.
Lonjakan laporan turut direkodkan bagi Simba, namun kebanyakannya berkaitan perkhidmatan internet mudah alihnya.
Dalam satu catatan Facebook pada pukul 11.45 pagi, Singtel menyatakan: "Kami sedia maklum bahawa sebahagian pelanggan mungkin mengalami masalah untuk mengakses perkhidmatan jalur lebar gentian mereka.
"Kami difahamkan ia mungkin berkaitan dengan beberapa aktiviti pembinaan di tapak yang menjejaskan semua pengendali.
"Jurutera kami sedang menjalankan siasatan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.