Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aktivis Tahar Jumaat kumpul S$23,000 demi pelarian, lebih seganda dari sasaran asal

Setelah mengumpul dana, kini beliau dan rakan-rakan dari bangku sekolah berjalan demi golongan memerlukan di S'pura pula.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sasaran beliau ialah untuk mengumpul S$10,000 bagi membantu pelarian yang melarikan diri ke Eropah untuk mendapatkan perlindungan.

Namun berkat kegigihan Encik Mohamad Tahar Jumaat berulang alik berjalan kaki di Singapura, sumbangan derma orang ramai datang melimpah-ruah sehingga melebihi S$23,000 sehingga setakat hari Jumaat (20 Jan).

Malah, dua sumbangan individu terbesar yang diterimanya ialah sebanyak S$10,000 dan S$2,000. Kedua-duanya, menurut beliau, adalah daripada individu yang tidak beliau kenali sama sekali.

Jumlah ini terkumpul hasil kempen ‘100km March for Refugees Winter Aid – Singapore’ yang diasaskannya melalui berjalan kaki sejauh 100km serata Singapura bagi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang nasib pelarian dari pelbagai negara yang masih berlindung di pulau Losvos, Greece pada musim sejuk ini.

Beliau mula berjalan kaki pada pagi Rabu (18 Jan) dan berjaya menamatkannya Khamis, sekitar 1.00 tengah hari (19 Januari), tanpa berbekalkan makanan, minuman ataupun wang.

WAWANCARA LANGSUNG: Setelah berjaya lengkapkan perjalanan jauh demi membantu pelarian, hari ini Encik Tahar Jumaat membawa rakan-rakannya berjalan demi orang memerlukan di S'pura pula. Ikuti wawancara langsung bersama mereka sekarangLaporan selanjutnya di: http://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapore/aktivis-tahar-jumaat-kumpul-23-000-demi-pelarian-seganda-lebih/3455006.html

Posted by BERITAMediacorp on Friday, 20 January 2017

PELBAGAI DUGAAN TAPI NIKMAT TIDAK TERHINGGA

Kilat yang sabung-menyabung di tanah lapang Lim Chu Kang dan berjemur di bawah terik mentari serta bersengkang mata sepanjang malam adalah antara cabaran yang diharungi Encik Tahar sepanjang perjalanannya selama 30 jam.

Sungguhpun demikian, beliau masih sempat menguntum senyuman semasa ditemui BERITAMediacorp walaupun berjalan terhincut-hincut.

Namun, di sebalik keperitannya itu, beliau sempat bercerita tentang kenikmatan yang dikecapi dan pengalaman ini amat disyukurinya.

Salah satu nikmat itu ialah apabila seorang pekerja asing yang tidak berfikir dua kali untuk memberikan air kepadanya, walaupun pekerja itu sendiri sedang berhempas pulas bekerja di bawah terik sang suria.

“Apabila saya meminta sedikit air dari botolnya, beliau tidak bagi, kerana beliau kata air itu tidak dingin lagi. Lalu dia pun ambilkan air yang lebih dingin,” kenang Encik Tahar tentang sifat murah hati pekerja asing itu.

Selain pekerja asing itu, ada juga beberapa anggota masyarakat yang memberi makanan kepada beliau pada sebelah malam dan awal pagi.

KAWAN SEKOLAH TURUT BERAMAL

Bagi aktivis yang sudah lebih sedekad menabur jasa dalam bidang bantuan kemanusiaan itu, ternyata semangatnya begitu kental sekali.

Tidak cukup berjalan jauh untuk membantu pelarian di Eropah, Encik Tahar hari ini sekali lagi berjalan kaki untuk tujuan amal – kali ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang badan kemanusiaan Free Food for All (FFFA).

Rancangan asalnya adalah untuk terus berjalan kaki sejauh 100km lagi di serata Singapura bagi kempen ini.

Namun pihak FFFA dan Encik Tahar bersetuju untuk menundakan usaha murni itu pada kesempatan lain dan digantikan dengan acara berjalan sejauh 2.5 km ke salah sebuah tempat pengagihan makanan FFFA di Boon Lay.

Kelebihannya ialah Encik Tahar ditemani isterinya dan rakan-rakan lama dari maktab rendah Tampines, yang beliau kenali sejak 28 tahun lalu.

Ada yang sanggup mengambil cuti demi memberi sokongan. Malah, ada juga yang membawa keluarga untuk turut serta.

(Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Antaranya ialah Encik Mohamad Adzman, yang membawa anaknya Arif, yang baru berumur enam tahun untuk turut serta.

Seorang lagi alumni maktab itu yang turut turun padang ialah Cik Rohani Ibrahim, yang hilang daya penglihatan pada kedua-dua belah mata sejak 2010.

Menurut Cik Rohani, keadaan beliau yang tidak dapat melihat itu tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk menyokong kerja amal rakan lamanya itu.

KERJA AMAL DITERUSKAN TANPA JEMU

Walaupun kakinya sudah lenguh-lenguh disebabkan perjalanannya tadi, namun tangan Encik Tahar belum mengenal erti penat untuk mengagih-agihkan makanan kepada para penghuni flat sewa di kawasan Boon Lay petang tadi.

Menurut salah seorang sukarelawan yang ditemui, sekitar 300 bungkus makanan sudah diagih-agihkan.

Apabila ditanya tentang rancangan beliau selanjutnya, Encik Tahar berkata bahawa beliau dan isteri akan ke Losvos pada Februari ini untuk menghulurkan sendiri dana yang berjaya dikumpul.

Tetapi buat masa terdekat ini, beliau akan bertemu rakannya Encik Adzman, yang secara kebetulannya mahir mengurut badan untuk mengurangkan kepenatannya sebelum meneruskan lagi perjuangan murninya itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/tz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan