Aktivis PAP, Ahmad Firdaus Daud seru masyarakat pegang teguh kepada semangat 'kita', bukan 'kami'
SINGAPURA: Dalam masyarakat majmuk Singapura, semangat 'kita' dan bukan 'kami' dilihat sebagai kekuatan yang mampu menyatukan rakyat Singapura tanpa mengira latar belakang mereka.
Ini ditekankan aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP), Ahmad Firdaus Daud yang ditampilkan dalam Konvensyen PAP pada Ahad (9 Nov).
"Dalam masyarakat majmuk seperti Singapura, kita perlu berusaha lebih tetapi ini bukan beban, ini adalah amanah, satu panggilan untuk kita menunjukkan bahawa masyarakat Melayu/Islam kita masyarakat yang dihormati," kongsi Encik Firdaus dalam ucapan beliau.
"Ketika mendengar kejadian yang melibatkan Masjid Al-Istiqamah, kita kekal tenang, kita tahu itu perbuatan seorang individu. Saya bangga dengan reaksi masyarakat kita - penuh kesabaran dan kematangan," tambahnya.
Peguam berusia 42 tahun merupakan antara empat aktivis PAP yang ditampilkan termasuk ahli kesatuan sekerja NTUC, Andy Ang, peguam, Ramesh Selvaraj dan usahawan, Ong Jing Jing.
Sebelum ini, beberapa aktivis PAP seperti Dr Hamid Razak (2023), Profesor Madya Elmie Nekmat (2023) dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (2019) diperkenalkan dalam Konvensyen PAP sebelum kemudiannya diumumkan sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Umum.
PEGANG TEGUH KEPADA SEMANGAT 'KITA'
Encik Firdaus juga merupakan Peserta Tunas Bersama M³ dan Ketua Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Guaman.
Bapa kepada dua orang anak itu juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan telah berkhidmat sebagai sukarelawan serta ahli jawatankuasa di MENDAKI, MUIS dan pelbagai badan Melayu/Islam sejak 2004.
Dalam ucapannya, beliau juga menegaskan bahawa kekuatan masyarakat terserlah melalui semangat “kita” dan bukannya “kami”.
"“Kami” membezakan antara “aku” dan “mereka” tetapi “kita” menyatukan, merangkul semua, tanpa mengira siapa. Saya harap masyarakat kita akan terus pegang teguh kepada semangat “kita” ini, demi memastikan kita terus berdikari, dihormati, dan berjaya sebagai masyarakat yang maju," ujar beliau.
Merujuk kepada beberapa insiden Islamofobia dan anti-Yahudi di Singapura awal minggu ini serta detik-detik di mana ketegangan antara agama perlu ditangani dengan berhati-hati, Encik Firdaus menegaskan bahawa masyarakat tidak boleh memandang ringan isu-isu bahaya itu apabila perihal agama dibincangkan secara terbuka.
PERLU TOLAK MEREKA YANG GUNA IDENTITI ATAU KEPERCAYAAN DEMI KEUNTUNGAN POLITIK
Sebaliknya, perpaduan yang lebih mendalam perlu dicari untuk menjadi landasan dalam menghadapi masa yang tidak menentu.
"Apa yang perlu kita tolak ialah mereka yang menggunakan identiti atau kepercayaan untuk meraih keuntungan politik, untuk menimbulkan perpecahan, untuk mendominasi atau untuk menafikan kemanusiaan. Apa yang mesti kita iktiraf ialah ramai dalam kalangan kita berkhidmat bukan walaupun kepercayaan kita tetapi kerana kepercayaan itu sendiri," menurutnya yang juga merupakan Naib Pengerusi Cawangan Punggol North.
Ini selaras dengan intipati ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong yang mengingatkan tentang bahaya politik yang memecahbelahkan.
PM Wong berkata: “Bersuara memang membawa beberapa kesan politik kepada kami tetapi berdiam diri membawa kesan yang jauh lebih besar kepada negara, kepada nilai-nilai kita, kepada standard kita dan kepada masa depan Singapura. Inilah sebabnya mengapa kita mesti tetap teguh sebagai sebuah parti. Kita bersuara bukan kerana sebelah pihak tetapi kerana rasa tanggungjawab dan amanah yang mendalam, untuk memastikan politik di Singapura kekal bersih, jujur dan membina.”
PERLU BERI REAKSI, TETAPKAN APA YANG DIINGINKAN DALAM MASYARAKAT
Pengerusi Cawangan PAP Bukit Batok East, Rahayu Mahzam juga merasa pentingnya untuk Singapura memastikan politik di sini kekal bersih dan tidak berdasarkan kaum dan agama.
"Ini adalah satu dasar yang kita ada sejak bermulanya negara ini. Ini memudahkan kita untuk hidup bersama dan memastikan kita ada suasana yang selesa, yang inklusif untuk setiap masyarakat hidup bersama-sama," kata Cik Rahayu yang juga merupakan Menteri Negara bagi Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan.
"Apabila ada sesuatu perkara yang mungkin tidak kita terima dalam masyarakat, yang berada di luar landasan kita, kita harus memberi reaksi dan menetapkan apa yang kita mahu dalam masyarakat," tambahnya.
PEMERINTAH KOMITED SEDIAKAN JAMINAN DAN SOKONGAN KEPADA RAKYAT SG
Di samping itu, PM Wong juga menegaskan PAP komited sediakan jaminan dan sokongan kepada rakyat Singapura untuk memastikan masyarakat kukuh dan padu tidak kira latar belakang mereka.
"Kita mahu memastikan masyarakat tidak ketinggalan dan juga bersama berganding bahu dengan masyarakat lain, terus meningkatkan kemahiran mereka dan meraih ilmu untuk terus menghadapi cabaran yang akan datang," ujar Cik Rahayu.
"Kita sudah ada rangkaiannya dengan M³, dengan MAEC juga dan dengan badan-badan Melayu/Islam. Badan-badan ini semua dapat membantu memberikan informasi. Jadi kita menggunakan mereka sebagai saluran untuk mendekati masyarakat kita, dan dengan adanya perbincangan dialog yang sering kali dilakukan, ini akan terus menguatkan hubungan kita," tambahnya.
Seramai 1,800 aktivis dan anggota PAP menghadiri konvensyen parti itu yang diadakan di Singapore EXPO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.