Aktivis Jolovan Wham didakwa kerana hadiri perhimpunan lilin bagi banduan dihukum mati
Aktivis Jolovan Wham pada Isnin (3 Feb) didakwa kerana menghadiri lima perhimpunan menyalakan lilin pada 2022 dan 2023 yang diadakan secara haram bagi banduan yangmenghadapi hukuman mati.

Gambar fail Jolovan Wham tiba di Mahkamah Negara pada 21 Februari 2019. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Wham, rakyat Singapura berusia 45 tahun dikenakan lima tuduhan di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menghadiri perhimpunan awam tanpa permit.
Menurut kertas tuduhan, perhimpunan itu diadakan bagi 'menandakan' pelaksanaan hukuman gantung terhadap empat banduan, kesemuanya pengedar dadah yang didapati bersalah.
Pada 29 Mac 2022 pada kira-kira pukul 11.00 malam, Wham didakwa menghadiri perhimpunan lilin bagi Abdul Kahar Othman berdekatan sebuah tempat perhentian bas bertentangan dengan Penjara Wanita Changi.
Abdul Kahar didapati bersalah kerana mengedar tidak kurang daripada 66.77 gram diamorfin dan dihukum mati pada 2015. Dia digantung pada 30 Mac 2022.
Wham kemudian didakwa menghadiri perhimpunan lilin bagi Nagaenthran Dharmalingam pada 26 April 2022 dekat Penjara Changi dan pada 27 April 2022 di sebuah tempat permainan dekat Mariam Walk.
Nagaenthran digantung pada 27 April 2022 selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan saat-saat akhir untuk ditangguhkan pelaksanaan hukuman mati sehari sebelum ia dijadualkan.
Dia disabit kesalahan mengimport 42.72 gram heroin ke Singapura pada 2009 dalam bungkusan dadah yang diikat pada pahanya, dan dijatuhi hukuman mati pada 2010.
Wham juga dituduh menganjurkan bantahan bagi Nazeri Lajim pada kira-kira pukul 6.15 pagi pada 22 Julai 2022, iaitu hari dia dijadualkan menjalani hukuman mati.
Ini dipercayai berlaku di perhentian bas di luar Penjara Changi.
Pada 2017, Nazeri disabit kesalahan memiliki tidak kurang daripada 33.39 gram diamorfin. Dia digantung pada 22 Julai 2022.
Wham juga dipercayai menghadiri perhimpunan lilin bagi Tangaraju Suppiah dekat Penjara Changi pada kira-kira pukul 6.00 pagi, 26 April 2023, iaitu hari dia akan ke tali gantung.
Tangajaraju didapati bersalah pada 2018 kerana menghantar 1 kilogram ganja, yang dianggap sebagai bersubahat dengan rakan jenayah kerana bersubahat untuk mengedar dadah.
Kesnya menjadi tumpuan ramai kerana ia menarik perhatian jutawan Britain Richard Branson, yang membantah hukuman mati ke atas Tangaraju.
Pada ketika itu, Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) berkata pandangan Encik Branson tidak menghormati hakim dan sistem keadilan jenayah Singapura.
Perbicaraan kes Wham ditangguh sementara siasatan dijalankan.
Dia akan kembali ke mahkamah pada 1 April.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.