Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aktivis Gilbert Goh dikenakan arahan pembetulan POFMA atas catatan Facebook

Anggaran Waktu Membaca:
Aktivis Gilbert Goh dikenakan arahan pembetulan POFMA atas catatan Facebook

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 12 May 2022 02:10PM Dikemas Kini : 12 May 2022 02:10PM

SINGAPURA: Aktivis Gilbert Goh dikenakan arahan pembetulan berhubung satu catatan Facebooknya yang memberi gambaran seolah-olah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta agensi-agensi lain tidak menghulurkan bantuan kepada seorang wanita yang sangat-sangat memerlukan pertolongan.

Arahan itu dikeluarkan pada Khamis (12 Mei) di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA).

Pada 24 April, Encik Goh memuat naik satu rayuan ke Facebook yang dipercayai diterimanya daripada seorang wanita, menurut MSF dalam satu kenyataan media.

Encik Goh mendakwa wanita tersebut, yang dikenali oleh MSF sebagai "Cik A", "tidak mempunyai sesiapa pun" untuk mendapatkan pertolongan dan beliau memerlukan bantuan kewangan segera untuk dirinya serta pasangannya selain bagi lampin dewasa, pengangkutan dan makanan.

"Kenyataan palsu dalam catatan Goh memberi gambaran bahawa MSF dan agensi-agensi lain tidak sedia maklum atau tidak melakukan apa-apa tentang situasi Cik A," terang MSF.

"Ini tidak benar dan penting untuk memastikan kesahihan fakta-fakta ini."

"Kenyataan palsu sedemikian menghakiskan kepercayaan orang awam dan membawa kepada salah faham tentang sokongan serta bantuan yang dihulurkan MSF dan agensi-agensi lain kepada keluarga-keluarga memerlukan."

Encik Goh sudahpun memuatnaikkan satu notis pembetulan di catatan Facebooknya.

MSF menyatakan wanita berkenaan menerima bantuan ComCare daripada MSF sejak Jun 2015 untuk setiap bulan berturut-turut.

Agihan bulanannya dinaikkan mulai bulan ini.

Pasangan wanita itu pula sudah menerima bantuan ComCare buat beberapa kali sejak Jun 2015, menurut MSF. Tempoh terakhir lelaki itu menerima bantuan adalah antara Oktober 2021 hingga Mac 2022. Ia kemudian diperbaharui untuk tempoh dari April hingga September 2022.

Selain MSF, Cik A dan pasangannya juga menerima bantuan kewangan dan bukan kewangan daripada pelbagai agensi dan rakan kongsi masyarakat lain, termasuk Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Hospital Tan Tock Seng, Pusat Khidmat Keluarga THK di Macpherson dan Yayasan Rumah Rawatan (HNF).

Bantuan tersebut termasuk wang tunai, bantuan sewa, bantuan cukai perkhidmatan dan penyenggaraan, bantuan bil api air serta Bantuan Penjagaan Kesihatan Awam.

"Jumlah bantuan kewangan yang diterima Cik A dan pasangannya daripada MSF serta agensi-agensi lain kini berjumlah lebih S$2,000 setiap bulan," menurut MSF.

"Cik A tidak menghubungi MSF untuk meminta bantuan tambahan sebelum catatan Facebook itu dimuat naik."

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa