Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aktivis Gilbert Goh dibicarakan; anjur bantahan luar ICA tanpa permit

Aktivis Gilbert Goh Keow Wah dibicarakan pada Isnin (30 Mei) kerana mengadakan bantahan di luar bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tanpa permit dan enggan menandatangani kenyataan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Aktivis Gilbert Goh dibicarakan; anjur bantahan luar ICA tanpa permit

Gilbert Goh tiba di Mahkamah Negara pada 15 Dis 2021. (Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Aktivis Gilbert Goh Keow Wah dibicarakan pada Isnin (30 Mei) kerana mengadakan bantahan di luar bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tanpa permit dan enggan menandatangani kenyataan polis.

Goh, 60 tahun, diwakili peguam Lim Tean, yang berkata beliau akan berhujah anak guamnya "bukannya menghebahkan sebarang matlamat" dan tuduhan terhadap aktivis itu sebaliknya "samar" dan "pada asasnya lemah".

Pada 1 Mei 2021, Goh memegang sepanduk di luar bangunan ICA yang berbunyi: "Tolong haramkan semua penerbangan dari India, kami bukan bersikap perkauman! Kami hanya berhati-hati".

Tindakan itu dilakukan tidak lama selepas Pemerintah mengharamkan sesetengah pelawat dari India daripada memasuki Singapura sebagai respons terhadap lonjakan kes COVID-19 di negara itu. 

Daryl Sim Pei Xuan,seorang perunding ehwal awam yang berusia 31 tahun, menemani Goh ke bangunan ICA dan memetik gambarnya memegang sepanduk itu. 

Polis dimaklumkan tentang kes itu pada 1 Mei 2021 dan melancarkan siasatan terhadap kes tersebut. 

Goh kemudian memuat naik gambar-gambar lain menunjukkan dirinya memegang sepanduk itu dalam lima catatan di Facebooknya pada 14 Mei, 18 Mei, 22 Mei, 3 Jun dan 14 Jun 2021. 

Sesetengah catatan itu mempunyai kapsyen seperti "Selamatkan Singapura" dan "Hentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Singapura, tutup sempadan". Catatan-catatan tersebut masih boleh diakses oleh orang awam. 

JURUGAMBAR BERI KETERANGAN

Timbalan Pendakwa Raya Andre Chong dan Yohanes Ng mendapatkan bukti daripada tiga saksi, kesemuanya memberikan keterangan pada hari pertama perbicaraan. 

Saksi pertama ialah Encik Sim. Menurut pihak pendakwa, Encik Sim menerima panggilan daripada Goh sehari sebelum insiden itu untuk meminta bantuannya memetik beberapa gambar. 

Sewaktu memberikan keterangan, Encik Sim berkata beliau mengenali Goh lebih lima tahun lalu dan mereka berjumpa dari semasa ke semasa namun, bukan sejak hari kesalahan yang didakwa itu. 

Encik Sim berkata beliau bersetuju dengan permintaan Goh tanpa diberitahu gambar apa yang akan dipetiknya serta tujuan gambar-gambar itu diambil. Beliau juga memberi keterangan bahawa beliau mengambil gambar-gambar itu menggunakan telefon bimbit Goh. 

Pendakwaan dan pembelaan juga menyoal pegawai siasatan yang mengambil keterangan Goh dan seorang anggota awam yang membuat aduan tentang catatan Facebook Goh kepada pihak polis. 

Encik Lim kemudian meminta masa untuk membuat keterangan, menyifatkan kes Goh sebagai satu "situasi baru". Perbicaran bersambung pada Selasa. 

Di bawah Akta Ketenteraman Awam, sesiapa saja yang mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tanpa permit boleh didenda sehingga S$3,000. 

Hukuman bagi mereka yang enggan menandatangani kenyataan polis adalah hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda tidak melebihi S$2,500 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan