Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akta Penyalahgunaan Dadah bakal dipinda bagi kawal selia bahan psikoaktif baru

Akta Penyalahgunaan Dadah akan dipinda pada tahun ini bagi meningkatkan lagi peraturan kawal selia ke atas bahan-bahan psikoaktif baru (NPS) berdasarkan potensinya untuk menimbulkan kesan psikoaktif, menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Mar 2021 10:00PM Dikemas Kini : 06 Mar 2021 02:26AM

SINGAPURA: Akta Penyalahgunaan Dadah akan dipinda pada tahun ini bagi meningkatkan lagi peraturan kawal selia ke atas bahan-bahan psikoaktif baru (NPS) berdasarkan potensinya untuk menimbulkan kesan psikoaktif, menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen hari ini (1 Mac).

Bahan-bahan Psikoaktif Baru menyerupai kesan dadah terkawal seperti dadah Kelas A yang lain, seperti ganja, kokain dan Ecstasy, kata Biro Narkotik Pusat (CND) dalam lamannya.

Ia dihasilkan dengan merubah sedikit struktur kimia dadah terkawal, menjadikannya sukar dikesan.

Bahan-bahan ini antara lain disenaraikan secara individu mengikut kegunaannya untuk merawat keadaan tertentu atau mengikut struktur kimia.

"Buat masa ini, disebabkan cara NPS disenaraikan dalam Akta Penyalahgunaan Dadah, langkah mengesan hingga menyenaraikan NPS yang baru mengambil masa," kata Dr Faishal.

Pindaan ke atas Akta itu untuk mengawal selia bahan psikoaktif baru berdasarkan potensinya untuk menghasilkan kesan psikoaktif akan membolehkan CNB mengambil langkah penguatkuasaan dengan lebih pantas, tambahnya.
CNB juga mengenalpasti NPS sebagai antara tiga jenis dadah yang paling banyak disalah guna di Singapura tahun lalu bersama metamfetamin dan heroin.

PROGRAM PEMULIHAN & PULANG KE PANGKUAN MASYARAKAT

Dr Faishal juga berkata usaha menyokong pemulihan dan membantu pesalah dadah kembali ke pangkuan masyarakat akan diperkukuh.

"Satu kajian yang dijalankan khidmat penjara mendapati kadar penagih bentan dalam dua tahun selepas dibebaskan bagi pesalah yang melalui rejim pemulihan pesalah dadah dipertingkat (EDRR), adalah 8 peratusan mata lebih rendah berbanding mereka yang tidak menjalani program itu," tambah Dr Faishal.

EDRR diperkenalkan pada 2014 bagi pesalah dadah kali pertama dan kedua.

Dalam ucapan beliau yang disampaikan dalam bahasa Melayu, Dr Faishal berkata masyarakat Melayu/Islam telah mencapai kemajuan dalam memerangi dadah.

Beliau menarik perhatian kadar penagih dadah Melayu bentan dalam dua tahun selepas dibebaskan telah merosot daripada 42 peratus bagi kohort keluar 2011 kepada kira-kira 30 peratus bagi kohort keluar 2018.

Namun begitu, beliau mengajak masyarakat agar jangan leka dan terus berusaha untuk mengurangkan lagi bilangan tersebut.

Menurutnya banyak sokongan dihulurkan kepada pesalah dan keluarga mereka menerusi kempen Dadah Itu Haram, yang mana CNB bekerjasama dengan pihak masjid dan rakan-rakan kerja untuk mengadakan aktiviti-aktiviti jangkauan.

MHA juga bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah M³, untuk menubuhkan pusat khidmat jagaan berterusan bagi pesalah dan juga keluarga iaitu Fitrah yang dipimpin MUIS.

"Selain itu, terdapat kumpulan-kumpulan bekas pesalah yang bersatu untuk memberikan sokongan antara satu sama lain.

"Tahun ini, rangkaian CARE akan menubuhkan rangka kerja untuk menyokong kumpulan tersebut yang berfungsi sebagai rangkaian pro-sosial bagi bekas pesalah,"ujar beliau lagi.

"Kami akan terus bekerjasama secara rapat dengan kumpulan-kumpulan masyarakat untuk mengukuhkan usaha jangkauan dan integrasi semula."

BANTU DAPAT PEKERJAAN

Dr Faishal juga menarik perhatian usaha untuk membantu bekas pesalah mendapatkan peluang pekerjaan seperti menerusi inisiatif TAP dan Grow Reben Kuning Singapura (YRSG).

Di bawah inisiatif tersebut, industri rakan kerja dan penyedia latihan menawarkan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran berterusan melalui aturan bekerja sambil belajar selepas golongan banduan itu dibebaskan.

"Tahun ini, TAP dan Grow akan diluaskan ke sektor logistik dan infokom. Kemudahan latihan bagi sektor ini akan dibangunkan di dalam penjara pada tahun ini,"tambah Dr Faishal.

Di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan yang dilancarkan pada September 2020, bekas pesalah layak bagi peringkat sokongan gaji lebih tinggi.

"Golongan banduan dan bekas pesalah yang mendapat sokongan kuat dari keluarga mereka mempunyai peluang lebih baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat dengan jayanya. Anggota keluarga mereka juga mungkin memerlukan sokongan semasa tempoh ini,"tambahnya.

Maka itu, Perkhidmatan Penjara Singapura dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga akan mengukuhkan penyelarasan dan pertukaran maklumat dengan pusat-pusat khidmat keluarga (FSC) bagi banduan yang anggota keluarga mereka memerlukan bantuan. 

Sumber : CNA/SY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan