Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akta Pengambilan Anak Angkat 2022 bersifat lebih menyeluruh, serlahkan keprihatinan pemerintah terhadap kebajikan anak-anak

Pindaan-pindaan yang dibuat dalam Akta Pengambilan Anak Angkat 2022 bersifat lebih meluas dan menyeluruh serta menunjukkan keprihatinan pemerintah terhadap masa depan, kebaikan dan kebajikan anak-anak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas rakyat Singapura Encik Azhar Mohamed bernikah dengan warga Filipina Cik Azerah Yabut sekitar sembilan tahun lalu, terdetik di hatinya untuk menjadikan dua orang anak Cik Azerah sebagai anak-anak angkatnya secara rasmi, berbanding sekadar gelaran 'anak-anak tiri'.

Meskipun proses perundangan bagi pengambilan anak angkat itu memakan masa dua tahun dan memerlukan mereka hadir di taklimat prapengambilan anak angkat, penantian itu akhirnya membuahkan hasil selepas nama Encik Azhar kini disertakan sekali ke dalam dokumen-dokumen rasmi anak-anak Cik Azerah.

"Saya fikir nak ambil mereka sebagai anak angkat kerana mereka pun sudah begitu rapat dengan saya, jadi ini juga supaya masa depan mereka terjamin dengan saya.

azhar azerah
(Ihsan: Azhar Mohamed)

"Pada masa itu anak-anak (Azerah) masih kecil lagi... jadi apabila mereka sudah berada di sekolah rendah, masa itulah saya nak jadikan mereka sebagai anak angkat. Jadi mereka membesar di depan mata saya," kongsi Encik Azhar.

Semasa Encik Azhar bernikah dengan Cik Azerah pada 2013, anak-anak Cik Azerah hanya berusia lapan dan lima tahun.

Malah pada waktu itu juga, mereka hanya diwajibkan menjalani satu taklimat sahaja berhubung prapengambilan anak angkat.

Namun demikian, mereka akur satu lagi taklimat mengenai pendedahan status anak angkat - suatu usulan bagi pindaan kepada Akta Pengambilan Anak Angkat - akan membawa kebaikan dan manfaat kepada calon-calon ibu bapa angkat apabila ia diluluskan kelak.

azhar azerah
(Ihsan: Azhar Mohamed)

Sekiranya rang undang-undang itu diluluskan di parlimen, semua bakal ibu bapa angkat akan diwajibkan untuk menghadiri dua taklimat dan menjalani penilaian bagi mempersiapkan diri mereka sebelum mengambil anak angkat.

"Yang baru punya (apabila) dilaksanakan, berguna dan bagus kerana mereka boleh tahu lebih mendalam tentang pengambilan anak angkat, sebab pengambilan anak angkat ini untuk sepanjang hayat, bukan satu dua tahun.

"Kita nak kena tahu macam mana nak sayang dan sebagainya. Jadi kalau ada taklimat kedua ini, kita dapat lebih banyak pemahaman dan pengetahuan," jelas Encik Azhar.

Satu lagi perubahan besar ialah semua bakal ibu bapa angkat akan diwajibkan menjalani penilaian bagi mempersiapkan diri mereka sebelum mengambil anak angkat.

Buat masa ini, hanya para pemohon yang mengambil anak angkat dari luar negara, yang tidak mempunyai kaitan dengan mereka, atau kanak-kanak di bawah perlindungan negara mesti menjalani penilaian prapengambilan.

Bagi kes Encik Azhar, beliau juga dikecualikan daripada membuat penilaian kesesuaian yang diusulkan ini, atas sebab beliau mengambil anak-anak tiri sebagai anak angkat.

USUL LANGKAH BARU DEMI KEBAJIKAN ANAK-ANAK ANGKAT

Pengerusi Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkenaan Anak Titipan dan kaunselor sekolah, Dr. Bibi Jan Mohamed Ayyub berkata itu sebahagian daripada pembaharuan yang mahu dibuat pihak pemerintah.

"Dengan cara ini, budak-budak tidak menghadapi trauma yang lebih kerana... ada semacam usaha dibuat untuk memastikan ibu bapa angkat ini dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik," kata beliau.

Dr Bibi Jan juga menyifatkan pindaan yang paling penting adalah dalam memastikan anak-anak tersebut mendapat rumah ataupun tempat tinggal yang sangat sesuai atau cocok dengan diri mereka.

dr bibi jan
(Gambar: Dr Bibi Jan/Facebook)

"Isu mengambil anak angkat ini bukan begitu senang... kita juga mesti prihatin dengan latar belakang anak itu sendiri. Jadi kalau ibu bapa angkat, dapat diberi taklimat yang sesuai... ibu bapa tahu bagaimana nak mengendalikan anak ini dengan baik, saya rasa itu paling penting," jelas Dr Bibi.

USAHA MELUAS, MENYELURUH

Secara keseluruhannya, Dr Bibi Jan berkata pindaan-pindaan yang dibuat dalam Akta Pengambilan Anak Angkat 2022 bersifat lebih meluas dan menyeluruh serta menunjukkan keprihatinan pemerintah terhadap masa depan, kebaikan dan kebajikan anak-anak.

"Kita ambil kira semua pihak dan pihak-pihak agensi yang menjalankan tugas yang memudahkan proses mengambil anak angkat ini.

"Kita tidak mahu sebarang salah guna di mana ada pihak-pihak mungkin melanggar tatacara etika, sebab itu pemerintah Singapura amat peka dengan keadaan ini dan tidak mahu Singapura menjadi hab untuk anak-anak angkat... sebab itu rang undang-undang ini diperhalusi dan kebajikan anak-anak dipertingkatkan meliputi semua pihak-pihak yang terlibat dalam proses ini," kata Dr Bibi Jan.

Pada Isnin (4 Apr), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli memperkenalkan satu rang undang-undang di Parlimen, berkaitan dengan pengambilan anak angkat.

Akta Pengambilan Anak Angkat 1939 kali terakhir dipinda pada tahun 1985 , iaitu lebih 30 tahun lalu. Rang undang-undang baru itu akan memansuhkan Akta tersebut dan menggubal semula Akta Pengambilan Anak Angkat yang baru.

Langkah ini juga akan menambah lagi 12 bahagian dalam Akta sedia ada kepada sebanyak 75 bahagian.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan perubahan itu diusulkan dengan kebajikan seseorang anak angkat itu sebagai "prinsip panduan utama".

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan