Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum akan merangkumi rangka ketetapan yang 'tidak mengenakan hukuman' - Shanmugam

Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum yang akan diperkenalkan Pemerintah Singapura bakal merangkumi satu rangka ketetapan yang tidak berunsur hukuman, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum akan merangkumi rangka ketetapan yang 'tidak mengenakan hukuman' - Shanmugam

(Gambar: Shanmugam Sc/Facebook)

SINGAPURA: Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum yang akan diperkenalkan Pemerintah Singapura bakal merangkumi satu rangka ketetapan yang tidak berunsur hukuman, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.

Ini bermakna, jika seseorang didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah akta tersebut, individu terbabit akan 'dihukum' tetapi dia mungkin tidak akan mempunyai rekod jenayah.

Encik Shanmugam menjelaskan demikian semasa berucap di majlis pelancaran SG CORE pada Sabtu (4 Sep).

"Apabila kita melakar ketetapan dalam bidang ini, kita harus berhati-hati. Ini kerana dalam interaksi seharian kita - di pasar atau di pusat penjaja atau di dalam lif (misalnya) - kita tidak mahu membawa mereka semuanya (yang menyinggung perasaan kaum lain) ke muka pengadilan atau penjara, mengenakan denda atau memperlakukan mereka sebagai penjenayah," kata Encik Shanmugam.

"Ini akan memburukkan lagi keadaan, dan bukan memperbaiki keadaan."

Maka itu, tambah beliau, Pemerintah akan bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan agensi-agensi lain untuk melakarkan ketetapan yang sesuai.

"Jadi apabila seseorang melanggar sesuatu norma, mungkin dia akan disuruh untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan bersama masyarakat yang disinggungnya atau belum dia benar-benar faham. Ini akan bantu memupuk persefahaman lebih baik, tanpa (kita bersikap) menghukum, dan mereka tidak akan ada rekod jenayah, dan tidak juga mempermalukan mereka," terang Encik Shanmugam lagi yang terdahulu menekankan bahawa memelihara hubungan antara kaum adalah satu usaha yang berterusan.

"Anda tidak akan boleh mengatakan kerja ini sudah selesai, bahawa kononnya tiada rasisme, tiada isu perkauman. Anda tidak akan boleh katakan itu," ujarnya.

Maka itu, masyarakat, pertubuhan-pertubuhan dan pemimpin masyarakat juga harus memainkan peranan di samping undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Undang-undang, pada dasarnya, tanpa sokongan daripada masyarakat, akan menjadi tidak bermakna. Sekiranya orang ramai berfikir: Saya tidak akan melakukannya kerana ada undang-undang, itu tidak cukup baik. (Undang-undang) hanya satu permulaan."

"Apa yang kita inginkan adalah pembentukan norma sosial dan norma sosial berubah kerana mereka benar-benar faham dan percaya dalam kehidupan pelbagai agama dan budaya. Itu matlamat kita," tegas Encik Shanmugam lagi.

Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengumumkan lagi satu undang-undang baru selain Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum.

Undang-undang yang menerapkan garis panduan oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) itu akan menangani sebarang bentuk diskriminasi di tempat kerja.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan