Aksi nekad dua jet F-16 di pertunjukan udara NDP 2022
SINGAPURA: Penonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini bakal disajikan dengan paparan aksi nekad lagi memukau oleh dua pesawat F-16 yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Secara keseluruhan, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan mengerahkan 16 pesawat bagi sambutan di perbarisan tersebut dan juga di estet kejiranan, dua lebih berbanding 2021.
Penonton di Pentas Terapung Marina Bay boleh menyaksikan gerak baru mendebarkan oleh dua jet pejuang - Dual High G dan aksi naik tegak.
Dua pesawat F-16 akan membuat pusingan tajam dekat satu sama lain di kawasan Marina Bay sebelum melakukan aksi terbang tegak.
Aksi melawan graviti itu hanya pernah dilakukan satu pesawat di pertunjukan-pertunjukan sebelum ini.
Leftenal Kolonel Ong Swee Chuan, 50 tahun, antara dua juruterbang yang akan melakukan aksi penuh mencabar itu
"Oleh kerana saya harus melakukan formasi High G ini sambil mengetuai proses tersebut, ia memberi tekanan kepada saya dari segi fizikal dan mental secara keseluruhan."
Membuat penampilan sulungnya di NDP ialah helikopter Chinook CH-47F.
Penyelam tentera laut akan terjun dari helikopter tersebut ke laut Marina Bay semasa segmen Pertahanan Mutlak.
Penonton di rumah juga tidak akan terlepas peluang menyaksikan debaran pertunjukan udara NDP.
Enam jet pejuang F-16 akan terbang melalui kawasan kejiranan dengan membuat Formasi Delta di tiga kawasan utama seperti Tampines, Choa Chu Kang dan Yishun sebelum menuju ke Pentas Terapung.
Tahun ini, tiga pesawat akan secara serentak membawa bendera negara.
Salah satu daripadanya akan terbang melalui Pentas Terapung, manakala lagi dua di estet kejiranan.
Acara terbang lalu bendera Singapura di kawasan timur akan meliputi Punggol, Bedok dan East Coast, manakala di daerah barat pula meliputi kawasan Choa Chu Kang, Jurong dan West Coast.
Saiz bendera negara harus cukup besar untuk dapat dilihat di merata Singapura dengan ukuran 20 meter kali 30 meter dan sekitar sepertiga saiz padang bola.
Kira-kira 300 orang dikerah sejak April untuk membantu operasi tersebut.
Sekitar 25 orang mengambil masa sekurang-kurangnya 45 minit untuk menyiapkan dan membentangkan setiap bendera.
Pada Hari Kebangsaan 9 Ogos nanti, acara terbang lalu tiga bendera Singapura akan melalui kawasan-kawasan di merata Singapura. Pada hari itu juga, 15 bendera akan disiapkan keseluruhannya, dengan empat bendera ganti bagi setiap bendera.
Selain bendera, berat kabel besi untuk memasangnya ke Chinook adalah 1,250 kilogram.
Timbalan Komander Jawatankuasa Penyertaan Udara tahun ini berkata, edisi tahun ini lebih sukar.
Ini kerana kebanyakan pertunjukan berlangsung pada satu hari, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.
Namun, beliau tidak sabar untuk menonjolkan pertunjukan yang baik.
"Kami berharap untuk memukau penonton dengan pergerakan yang rumit dan dekat dengan mereka, melalui bunyinya dan untuk mereka benar-benar melihat dari dekat aset tempur RSAF yang terbang di udara."
Acara terbang lalu bendera negara dijangka melalui Singapura antara 5.25 petang dengan 6.15 petang, manakala bunyi pesawat F-16 boleh kedengaran dari 5.50 petang hingga 6.15 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.