Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akses kepada perumahan awam perlu diutamakan dek permintaan tinggi, kekangan tanah, kata DPM Wong

Akses kepada perumahan awam di Singapura perlu diutamakan kerana permintaan yang tinggi dan kekangan tanah, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di forum belia anjuran CNA.

Anggaran Waktu Membaca:
Akses kepada perumahan awam perlu diutamakan dek permintaan tinggi, kekangan tanah, kata DPM Wong

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong bercakap di Forum Belia CNA. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Akses kepada perumahan awam di Singapura perlu diutamakan kerana permintaan yang tinggi dan kekangan tanah, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di forum belia anjuran CNA.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan tentang menjadikan perumahan lebih mudah dimampui golongan berusia 20-an hingga 30-an tahun.

"Saya dapat memahami sepenuhnya keinginan orang muda untuk berpindah keluar dan hidup sendiri tetapi cabarannya adalah ini: jika semakin banyak isi rumah berpecah - bermakna orang ramai berpindah untuk hidup sendiri - kita pastinya tidak akan mempunyai tanah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan setiap orang," jelas Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

“Bahkan hari ini, tanpa mengambil kira permintaan daripada golongan bujang dalam lingkunan usia 20-an tahun dan awal 30-an tahun... Kami sudah tidak dapat memenuhi permintaan itu."

"Bukan itu sahaja, kami masih perlu melihat di sekeliling sama ada terdapat tanah yang mencukupi untuk membina flat-flat baru. Jadi ini adalah satu masalah buat kami."

Pada awal November, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata Singapura sedang mengkaji idea-idea dan meninjau bagaimana untuk mengutamakan lagi akses kepada perumahan awam buat mereka yang mempunyai keperluan perumahan lebih mendesak, sekalipun dalam kumpulan pembeli kali pertama.

Encik Lee menarik perhatian bahawa meskipun kebanyakan orang bersetuju bahawa keutamaan seharusnya diberikan kepada pembeli kali pertama yang sudah mempunyai cahaya mata atau pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah, sesetengah pihak berpendapat keperluan warga emas dan golongan bujang juga patut diambil kira.

Sewaktu forum yang diadakan pada Jumaat (25 Nov), seorang peserta membangkitkan isu tentang pasangan muda yang mungkin tidak dapat tinggal berdekatan dengan ibu bapa mereka kerana kekangan tanah di estet-estet matang.

Encik Wong berkata Pemerintah sedang mengkaji isu itu dan bagaimana untuk menanganinya secara berkesan.

“Kami tidak akan pernah dapat memberi jaminan bekalan di estet matang yang sudahpun dibangunkan dengan padat. Namun, akan ada sesetengah kawasan di mana (sekalipun dianggap sebagai estet matang) kami mungkin boleh membuka kawasan tanah baru untuk pembangunan," katanya.

“Di kawasan seumpama itu, mungkin akan ada lebih banyak bagi flat baru untuk dibina dan kemudian, bagi pasangan muda untuk mendapatkan flat-flat ini juga."

KURANGKAN KESAN KENAIKAN GST

Menyentuh tentang keprihatinan mengenai kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa tahun depan, Encik Wong berkata Pemerintah sedang mengkaji apa lagi yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesannya terhadap keluarga.

GST akan dinaikkan daripada 7 peratus kepada 8 peratus mulai 1 Januari 2023. Ia kemudian akan naik lagi kepada 9 peratus bermula 1 Januari 2024.

Pemerintah sudah menyatakan bahawa langkah itu adalah untuk meningkatkan pendapatan bagi memenuhi perbelanjaagn jagaan kesihatan yang semakin bertambah di Singapura, sedang penduduk kian menua.

Bagi membantu mengimbangi perbelanjaan GST tambahan untuk kebanyakan keluarga Singapura buat sekurang-kurangnya lima tahun, Pemerintah memperuntukkan sebuah pakej sokongan bernilai S$8 bilion.
Ia merangkumi pembayaran tunai, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), Baucar GST U-Save tambahan dan tokokan MediSave yang akan diagihkan sepanjang lima tahun mulai bulan depan.

"Kebanyakan rakyat Singapira tidak akan merasakan kesan kenaikan GST untuk sekurang-kurangnya lima tahun, maka itulah sebabnya ia tidak seharusnya menjadi punca keprihatinan utama dalam tempoh sederhana ini," ujar Encik Wong.

"Namun, terdapat faktor lain yang menyumbang kepada harga lebih tinggi - tenaga, makanan dan inilah sebabnya dan perkara-perkara yang kami sedaya upaya cuba untuk mengurangkan kesannya."

BUDAYA 'HUSTLE'

Perbincangan yang meliputi pelbagai topik itu juga menyaksikan para peserta mengajukan soalan sama ada budaya 'hustle' - pemikiran bahawa seseorang individu mesti bekerja tanpa mengenal lelah untuk mendaki tangga kerjaya mereka - perlu untuk menangani kenaikan kos sara hidup.

Dalam responsnya, Encik Wong berkata Pemerintah sedang meneliti bagaimana untuk membantu rakyat Singapura merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

“Kita semua mempunyai kekuatan yang berbeza-beza dan kita patut faham apakah kekuatan kita," ujarnya.

“Kami ingin Singapura memiliki keupayaan untuk menggalak serta membantu semua orang merealisasikan potensi mereka sepenuhnya berdasarkan kekuatan mereka dan untuk mempunyai pelbagai haluan di mana mereka boleh mengecap kejayaan dalam bidang yang berbeza-beza tanpa rasa perlu membandingkan antara satu sama lain serta rasa terpaksa akur."
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan