Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akses kepada pendidikan prasekolah bermutu; dimampui bakal dipertingkat, dedah Dr Faishal

Akses kepada pendidikan prasekolah yang bermutu dan dimampui akan terus dipertingkatkan bagi memastikan generasi seterusnya berpeluang untuk mendapatkan permulaan kehidupan yang lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Akses kepada pendidikan prasekolah bermutu; dimampui bakal dipertingkat, dedah Dr Faishal

Dr Faishal Ibrahim berkata akses kepada pendidikan prasekolah bermutu dan dimampui bakal dipertingkat. (Gambar-Gambar: Dr Faishal Ibrahim/Instagram)

SINGAPURA: Akses kepada pendidikan prasekolah yang bermutu dan dimampui akan terus dipertingkatkan bagi memastikan generasi seterusnya berpeluang untuk mendapatkan permulaan kehidupan yang lebih baik.

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menekankan peri pentingnya peranan pendidikan prasekolah menerusi akaun Instagramnya.

"Waktu kanak-kanak membesar adalah tempoh yang penting untuk membangunkan kemahiran mereka dari segi kognitif, fizikal, emosi dan sosial.

"Memberikan anak-anak kita permulaan yang terbaik dalam kehidupan mereka akan membuka laluan untuk mereka mencapai potensi sebenar masing-masing," kata Dr Faishal, yang turut mengongsi bagaimana Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang berganding bahu dengan masyarakat untuk menepati matlamat gagasan itu.

PERMULAAN YANG BAIK BAGI SETIAP KANAK-KANAK

Kementerian itu sedang berusaha untuk menambah tempat di prasekolah-prasekolah yang disokong pemerintah menjelang 2025, selain menurunkan had yuran yang ditetapkan bagi khidmat jagaan bayi dan kanak-kanak.

Pengendali Utama Prasekolah (AOP) dan Rakan Pengendali Prasekolah (POP) juga sedang bekerjasama dengan MSF untuk memastikan agar yuran bagi khidmat tersebut kekal dalam kemampuan ramai, kata Dr Faishal.

Tambahnya lagi, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) juga akan memperluas dan mempertingkatkan skim-skim sokongan untuk memberikan insentif kepada para pengendali bagi menggalak mereka supaya bekerjasama dengan MSF untuk membangunkan lebih banyak tempat pendidikan yang bermutu dan dimampui.

LEBIH SOKONGAN BAGI KANAK-KANAK GOLONGAN BERGAJI RENDAH

"Kami terutama sekali mahu memastikan agar kanak-kanak dari keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah dapat membesar dan belajar di prasekolah.

"Mulai Januari 2020, kami sudahpun meningkatkan subsidi prasekolah berdasarkan kemampuan supaya golongan berpendapatan rendah dengan para ibu yang bekerja hanya perlu membayar S$3 sebulan bagi khidmat jagaan kanak-kanak sepenuh hari di AOP kami."

Kementerian itu, menurut Dr Faishal, mahu melakukan lebih lagi.

Maka itu, keluarga-keluarga di bawah Skim Rumah Sewa Awam Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau mereka yang menerima Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana ataupun Bantuan Jangka Panjang Comcare akan secara automatik melayakkan diri untuk menerima subsidi maksimum bagi pendidikan prasekolah.

Kanak-kanak daripada golongan itu juga akan mempunyai lebih banyak akses kepada pelbagai kegiatan pembangunan seperti rombongan dan kelas drama apabila Dana Peluang Prasekolah (PSOF) diperluaskan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

SUBSIDI DINAIKKAN, KRITERIA GAJI DIPERLUASKAN DI BAWAH SCFA

Dalam catatan Instagramnya, Dr Faishal menarik perhatian bahawa MSF sedang berusaha untuk memastikan agar kanak-kanak dapat memanfaatkan khidmat jagaan selepas waktu sekolah.

Pusat Jagaan Kanak-Kanak merupakan satu pilihan khidmat jagaan yang penting bagi para ibu bapa yang bekerja dan memerlukan khidmat jagaan selepas waktu sekolah bagi anak-anak mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

Semasa berucap di Parlimen pada Jumaat (6 Mac), Dr Faishal mendedahkan bahawa kementerian itu akan meningkatkan subsidi dan memperluaskan kriteria pendapatan di bawah skim Bantuan Yuran Jagaan Pelajar (SCFA) mulai 1 Julai.

Keluarga-keluarga yang layak boleh menerima tambahan 60 dolar pada jumlah subsidi yang diberikan setiap bulan. Dengan itu, keluarga-keluarga yang berpendapatan S$1,500 atau kurang daripada itu setiap bulan hanya perlu membayar bermula dari S$5 setiap bulan.

MSF juga akan menaikkan kriteria pendapatan dari S$4,000 kepada S$4,500 setiap bulan manakala pendapatan per kapita pula akan dinaikkan dari S$1,000 kepada S$1,125 supaya lebih ramai keluarga dapat meraih manfaat daripada langkah tersebut.

Kata Dr Faishal, seramai 9,000 kanak-kanak dijangka meraih manfaat daripada peningkatan itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan