Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akses ke Connaught Drive, Jambatan Anderson khusus untuk pejalan kaki mulai hujung tahun ini

Connaught Drive dan Jambatan Anderson akan diubah sepenuhnya menjadi laluan khas bagi pejalan kaki sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mempertingkatkan lagi Daerah Sivik itu menjadi "mesra pejalan kaki".

Anggaran Waktu Membaca:
Akses ke Connaught Drive, Jambatan Anderson khusus untuk pejalan kaki mulai hujung tahun ini

(Gambar: NParks)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 04:35PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 04:40PM

SINGAPURA: Connaught Drive dan Jambatan Anderson akan diubah sepenuhnya menjadi laluan khas bagi pejalan kaki sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mempertingkatkan lagi Daerah Sivik itu menjadi "mesra pejalan kaki".

Demikian menurut pihak berkuasa hari ini (5 Nov).

Para pengunjung boleh menikmati "pengalaman perjalanan yang lancar" antara Taman Esplanade, Empress Place dengan Padang sebaik sahaja kerja-kerja binaan selesai dijalankan.

Orang awam juga akan dapat mengunjungi daya tarikan seni dan bersejarah di kawasan tersebut dengan mudah, hanya dengan berjalan kaki, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media bersama.

Connaugh Drive ditutup sepenuhnya kepada para pemandu sebagai lanjutan kepada Taman Esplanade dan Jambatan Anderson. Sebelum ini, para pejalan kaki hanya dibenarkan melintasi Jambatan Anderson di satu laluan.

Perubahan kepada aturan lalu lintas di kawasan itu akan dilaksanakan mulai hujung Disember tahun ini.

Rancangan-rancangan itu pertama kali diumumkan semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pengangkutan pada Mac lalu.

PAPAN TANDA DAN POSTER BARU DI STESEN-STESEN MRT

Papan tanda dan poster maklumat yang baru akan dilancarkan di stesen-stesen MRT City Hall dan Raffles Place mulai hari ini, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan kepada pewujudan tempat dan pencarian jalan di kawasan itu.

Papan tanda dan poster tersebut akan diletakkan secara jelas di laluan menghala ke pintu keluar stesen dan ruang dinding di bahagian atas mesin tiket berhampiran pagar tambang masuk ke dalam stesen MRT.

"Dengan adanya poster-poster ini, para pengunjung boleh mendapatkan maklumat tentang tempat-tempat daya tarikan ikonik seperti Galeri Nasional Singapura dan The Arts House," menurut pihak berkuasa.

Ketua Eksekutif LTA Ng Lang berkata: "Daerah Sivik menempatkan beberapa monumen bersejarah dan institusi kebudayaan yang paling ketara dan tempat kelahiran Singapura yang moden.

"Ia adalah usaha oleh beberapa agensi sepanjang beberapa tahun untuk membaik pulih kecantikan tempat-tempat awam di sini."

Encik Ng menambah bahawa beliau berharap para pengunjung boleh bersiar-siar di sekitar kawasan itu dan menyingkap secebis masa silam tanpa perlu bersaing dengan kenderaan.

LTA menyatakan ia juga berhasrat untuk meneliti maklum balas awam dan keberkesanan inisiatif pewujudan tempat dan pencarian jalan serta bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dari kawasan menarik yang lain untuk menyuntik "identiti tersendiri" pada stesen-stesen MRT di mana mungkin.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan