Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akhirnya penuhi impian jadi penulis buku kanak-kanak selepas hilang daya penglihatan sewaktu muda

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cik Sherriza Hariani Jalil, 55 tahun, minat membaca sejak kecil dan memendam impian untuk menjadi penulis buku cerita kanak-kanak.

Minatnya pada bahasa dan sastera menjadi pendorong untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Nasional Singapura (NUS) sehingga memperolehi ijazah pada 1990 dan ijazah sarjana pada 1997 dalam Bahasa Inggeris.

Beliau kemudian bekerja dalam bidang perhubungan awam.

DISERANG PENYAKIT RABUN SENJA

Namun, dunianya menjadi gelap selepas didiagnos dengan Retinitis Pigmentosa atau gejala rabun senja pada tahun 2000.

"Pada mulanya, penglihatan saya menjadi kabur, terutamanya pada waktu malam. Namun keadaan mata saya menjadi bertambah buruk sehingga saya hilang sepenuhnya daya penglihatan pada tahun 2005," kongsi Cik Sherriza kepada BERITA Mediacorp.

Menurutnya, beliau pada mulanya sukar menerima hakikat akan menjadi buta.

"Saya tidak mahu mengaku yang saya buta. Saya enggan gunakan tongkat putih kerana saya rasa kalau saya gunakannya, saya akan nanti cepat jadi buta. Saya juga malu orang tahu saya buta," kongsi beliau

Setelah menyertai Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan, beliau menjalani latihan dan bekerja sebagai tukang urut.

"Apabila saya bekerja sebagai seorang tukang urut, saya dapati rakan saya di tempat kerja sangat positif dan saya tidak lagi sedih," tambah beliau.

PENUHI IMPIAN TULIS BUKU KANAK-KANAK
Pada lewat, 2021, impian beliau untuk menjadi penulis cerita buku kanak-kanak berputik semula dengan terbitnya buku pertama bertajuk "A Kitten's Love Story" dengan menggunakan nama pena, Sherri Eri.

Setakat ini, beliau sudah menerbitkan lima tajuk.

Kesemuanya dijual di platform Amazon.com dan menarik pembeli dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Itali dan Australia.

Platform (Amazon) membolehkan buku-buku tersebut dijual mengikut "cetak ikut tempahan" (print on demand), dalam bentuk buku elektronik (e-buku) dan juga audio.

"Kebanyakan tema yang saya minat adalah tema keluarga yang membahagiakan kanak-kanak. Contohnya rasa sayang kepada keluarga dan adik beradik," kata beliau.
Cik Sherriza bersama suami.
Cik Sherriza mendapat sokongan penuh suaminya, Rashul Rahman, seorang jurutera bunyi bebas.

"Sherri memerlukan saya sebagai mata yang kedua untuk melihat melihat illustrasi pelukis bebas kami dan memastikan watak-watak dan senario yang dipaparkan tepat dengan apa yang beliau bayangkan.

"Selain itu, harus belajar bagaimana untuk memuat naik, menjual dan memasarkan buku-buku tersebut di platform Amazon. Kami turut mendapat tunjuk ajar daripada seorang teman turut berniaga di platform Amazon" kata Encik Rashul.

BUKU DENGAN CIRI-CIRI INKLUSIF

Menurut Cik Sherriza, buku-bukunya mempunyai ciri-ciri inklusif.

"Buku-buku bergambar banyak bergantung pada gambar- gambar yang cantik untuk menarik (perhatian) budak-budak. Cara saya tulis itu saya pastikan yang walaupun tidak ada gambar, budak-budak cacat penglihatan tetap boleh memahami cerita saya," jelas beliau..

Selain itu, pasangan itu menghasilkan versi buku audio dan meneroka ciri-ciri baharu untuk menjadikannya lebih menarik.
"Saya juga gubah lagu. Kami lakukan sesuatu yang berbeza iaitu buka audio tetapi ada unsur muzikal," kata Encik Rashul.

Pada masa ini, mereka menerbitkan buku-buku dengan biaya sendiri tetapi merancang untuk memohon geran dari Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Lungsuri https://picturethebook.com untuk maklumat lanjut.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan