Skip to main content

Singapura

Akauntan kuil dipenjara; guna lebih S$207,000 dana kuil biaya ketagih judi

Anggaran Waktu Membaca:
Akauntan kuil dipenjara; guna lebih S$207,000 dana kuil biaya ketagih judi
Diterbitkan : 16 Feb 2023 02:03PM
SINGAPURA: Seorang wanita yang bertugas sebagai satu-satunya kerani pentadbiran dan akauntan di sebuah kuil menjadi ketagih kepada judi dan mengunjungi kasino hampir setiap hari.

Untuk membiayai tabiat buruknya itu, dia menggunakan pena dengan dakwat yang boleh dipadam untuk mendapatkan
penandatangan untuk menandatangani cek yang diberikan kepada pembekal, sebelum memadamkan nama penerima dan menulis namanya sendiri.

Selepas setahun melakukan perkara itu dan mendapatkan lebih S$207,000 dana kuil, dia berasa sangat bersalah dan menulis surat untuk mengaku kesalahan yang dilakukan sebelum meninggalkan Singapura ke Hong Kong.

Dia akhirnya kembali dan menyerah diri kepada polis.

Warga China Li Fan Fang, 32 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Khamis (16 Feb).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan memalsukan sekuriti berharga dengan mengubah nama penerima 16 cek yang ditandatangani dengan nilai keseluruhan S$207,234.

Mahkamah diberitahu bahawa Li tinggal di Singapura lebih 10 tahun dan kahwin dengan seorang warga Singapura dan mempunyai anak lelaki bersamanya.

Dia bekerja di Persatuan Hong San Temple di Defu Lane dengan gaji S$2,000 setiap tahun sebagai seorang kerani pentadbiran dan akauntan. Dia ditugaskan untuk menerima derma dan menyimpan buku akaun serta diamanahkan dengan buku cek kuil itu.

Dana kuil datang daripada derma orang awam. Untuk menggunakan dana kuil, tanda tangan penandatangan diperlukan.

Pada 2019, Li yang ketagih judi menggunakan dana kuil untuk berjudi. Dia melihat pena yang mempunyai dakwat yang boleh dipadam dan menggunakannya dalam jenayah itu.

RASA BERSALAH TULIS PENGAKUAN

Pada 10 Mac 2020 Li menulis surat meminta maaf kepada kakitangan kuil, menyatakan bahawa dia sudah mencuri daripada mereka tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Dia meminta maaf dan berkata dia hanya boleh memulangkan S$1,000 setiap bulan. Dia meninggalkan surat itu di kuil dan melarikan diri ke Hong Kong tetapi pulang dalam seminggu kerana merindukan keluarganya.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama 36 hingga 44 bulan untuk Li. Peguam Li menyatakan bahawa Li akhirnya kembali ke Singapura untuk menerima hukuman dan ia patut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Hakim mengambil kira bahawa Li merupakan pesalah kali pertama dan sudah mengaku bersalah namun beliau tidak dapat mengabaikan kenyataan bahawa jumlah wang yang lumayan terlibat dalam kes itu.

Kesalahan itu juga dijalankan terhadap sebuah kuil, dengan dana yang terdiri daripada derma daripada orang ramai, dan tiada pemulangan dibuat.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita