Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akauntan ada peranan penting bantu perniagaan perangi jenayah siber: Josephine Teo

Para akauntan boleh melakukan lebih daripada peranan tradisional mereka dan membantu perniagaan memerangi jenayah siber, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Khamis (18 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Akauntan ada peranan penting bantu perniagaan perangi jenayah siber: Josephine Teo

(Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 18 Jul 2019 03:19PM Dikemas Kini : 18 Jul 2019 03:21PM

SINGAPURA: Para akauntan boleh melakukan lebih daripada peranan tradisional mereka dan membantu perniagaan memerangi jenayah siber, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Khamis (18 Jul).

Perakaunan forensik, forensik digital dan pematuhan jenayah kewangan adalah kemahiran penting bagi para akauntan dalam menentang jenayah siber, kata Cik Teo di persidangan forensik dan keselamatan siber Institut Akauntan Berkanun Singapura (ISCA).

"Sejak kebelakangan ini, Jabatan Ehwal Komersil (CAD) menyaksikan kes-kes melibatkan pengadu - orang-orang yang mendekati CAD untuk melaporkan kes-kes. Para pengadu ini mendapati beberapa perkara yang tidak kena dalam urusan kewangan tetapi mereka tidak dapat menanggapi sepenuhnya masalah ini," kata Cik Teo yang juga Menteri Tenaga Kerja.

Perkara ini berubah hanya apabila firma audit atau perakaunan menjalankan perakaunan forensik dan forensik digital yang kemudiannya membolehkan syarikat untuk mengambil tindakan bagi mengukuhkan pertahanan siber mereka, tambahnya.

Para akauntan perlu menajamkan kemahiran mereka dalam tiga bidang, kata Cik Teo. Pertama, dalam perakaunan forensik yang menurut beliau, adalah penting untuk membantu "mengenalpasti kegiatan penipuan daripada data urus niaga yang begitu banyak".

Keupayaan kedua pula adalah forensik digital kerana kian banyak urus niaga kini dilakukan secara digital dan mudah alih.

Terakhir sekali, ujar menteri itu, para akauntan juga perlu memberi tumpuan kepada pematuhan langkah-langkah mengatasi jenayah kewangan yang mesti berubah sejajar dengan model perniagaan baru seperti khidmat pinjaman online seperti 'peer-to-peer'.

Dalam ucapannya, Cik Teo berkata ancaman jenayah siber adalah rumit dan tidak boleh ditangani hanya oleh para akauntan.

"Kian banyak perniagaan membentuk pasukan silang kepakaran untuk bertindak balas terhadap insiden jenayah," kata beliau.

"Maka itu, untuk menjadi lebih berkesan, akauntan perlu bekerjasama dengan para karyawan lain seperti dalam bidang audit, undang-undang dan keselamatan siber."

Cik Teo juga menambah tidak harus ada satu pertubuhan pun yang percaya bahawa mereka bebas daripada ancaman siber.

"Apa yang harus kita lakukan adalah apabila kejadian berlaku, kita mesti segera mendekati agensi-agensi penguatkuasaan dan pengawal selia serta bekerjasama dengan mereka untuk menyiasat dan membangunkan pertahanan baru."

MHA BANGUNKAN KAEDAH PENCARIAN UNTUK SIASATAN JENAYAH SIBER

Dalam ucapannya, Cik Teo berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga berazam untuk mengukuhkan siasatan jenayah siber.

Beliau menggariskan Digest Evidence Search Tool (DIGEST) yang kini sedang dibangunkan oleh para jurutera Home Team.

"DIGEST menyaring jumlah data yang besar, disari daripada peranti digital, dan mengenal pasti bukti yang boleh membantu siasatan," kata Cik Teo.

Sistem tersebut kemudian akan menganalisa maklumat dan memaparkan gambaran yang mengaitkan bahan bukti berbeza.

Cik Teo menjelaskan, dengan alat tersebut, para pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang tidak terlatih dalam forensik akan dapat menjalankan semakan bukti sendiri.

Beliau menambah Agensi Sains dan Teknologi Home Team yang baru akan dapat menyediakan keupayaan canggih sains serta teknologi, termasuk forensik digital.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan