Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akaun penghantar makanan dijual di Carousell secara haram

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Akaun-akaun penghantar makanan Deliveroo dan Foodpanda ditemui berada di Carousell untuk dijual secara haram.

Malah terdapat beberapa akaun yang baru dimuat naik seawal minggu lalu, menurut siasatan oleh Mediacorp.

Bagi S$1,100 (AS$820), seorang penjual menawarkan untuk menyerahkan akaunnya secara menyeluruh kepada seorang wartawan yang menyamar sebagai pembeli yang berminat, namun dengan syarat untuk menukar segalanya kecuali nama.

Bagi satu lagi akaun yang dijual, tertera: "Bayar sekali sahaja dan akaun ini jadi milik anda."

Penjual lain mengenakan bayaran sewa secara mingguan atau bulanan untuk menggunakan akaun mereka.

Seorang penjual menjawab soalan wartawan tersebut berkata bahawa yuran sewa adalah S$60 seminggu, atau pada harga bulanan S$210.

Wang yang diperoleh melalui penghantaran yang dibuat menerusi aplikasi itu akan dipindahkan ke akaun pembeli selepas yuran sewa ditolak, kata seorang penjual.

Namun, terdapat empat lagi akaun yang dijual, memperincikan empat pelan bulanan yang boleh dipilih penyewa, selain pilihan untuk membeli akaun tersebut.

Mediacorp menemui 10 akaun untuk dijual. Semuanya menjual atau menyewakan akaun penghantar makanan Foodpanda atau Deliveroo. Tiada akaun GrabFood disenaraikan.

Apa yang tidak dinyatakan dalam senarai penjulan Carousell itu adalah kebanyakan individu yang berminat untuk membeli akaun-akaun tersebut berkemungkinan warga asing. Hanya warga Singapura dan penduduk tetap boleh bekerja sebagai penghantar makanan bagi platform-platform penghantaran makanan.


LANGKAH KESELAMATAN DIKUATKUASAKAN: PLATFORM PENGHANTARAN

Menjawab soalan Mediacorp, Foodpanda menyatakan bahawa ia sudah menguatkuasakan beberapa langkah-langkah untuk mengesan penyalahgunaan akaun mereka.

Seperti contoh, ia mengenalkan ciri "pengesahan swafoto" pada Oktober 2022. Para penghantar makanan perlu mengambil swafoto mereka sebelum memulakan syif. Akaun mereka yang ditangkap menyalahgunakan proses pengesahan boleh digantung atau disenarai hitam, menurut Foodpanda.

Laman Deliveroo menyatakan bahawa penghantar makanan dibenarkan untuk melantik pengganti menggunakan akaun mereka, namun pengganti itu perlu memenuhi syarat umur dan pemastautin, selain beberapa syarat lain.

Dalam menjawab beberapa soalan, Carousell menyatakan ia "tidak mengetahui dan tidak berada dalam kedudukan untuk menguatkuasakan" perjanjian yang dibuat antara platform penghantar makanan dengan para pekerja penghantar makanan.

KES-KES SEBELUM INI

Pada 2020, seorang warga Singapura didenda S$5,000 kerana membenarkan seorang lelaki warga Malaysia menggunakan akaun Foodpanda dan Deliveroo miliknya .

Kementerian Tenaga Kerja (MOM) sedang menyiasat perkara tersebut.

Di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing, warga asing yang didapati bekerja secara haram sebagai penghantar makanan, atau sesiapa yang bersubahat dengan kesalahan itu, boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$20,000.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan