Skip to main content

Singapura

Akaun Khas CPF golongan 55 tahun ke atas ditutup 19 Jan; pencarum dimaklumkan mulai 20 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
Akaun Khas CPF golongan 55 tahun ke atas ditutup 19 Jan; pencarum dimaklumkan mulai 20 Jan

Untuk membolehkan pekerja berusia tidak hanya mendapat gaji yang lebih tinggi, pemerintah juga meningkatkan kadar caruman 1.5 peratusan mata ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka. (Gambar: Today)

Diterbitkan : 19 Jan 2025 03:22PM Dikemas Kini : 19 Jan 2025 03:50PM
SINGAPURA: Akaun Khas (SA) milik kira-kira 1.4 juta pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berusia 55 tahun ke atas, ditutup pada Ahad (19 Jan).

Langkah penutupan yang dirancang itu pertama kali diumumkan semasa Belanjawan 2024.

Ia adalah sebahagian daripada langkah untuk menyokong keperluan persaraan warga emas di Singapura dengan lebih baik.

Para pencarum akan dimaklumkan mulai Isnin, jelas Lembaga CPF itu dalam satu kenyataan media, sambil menambah bahawa mereka akan menerima sepucuk surat serta emel atau SMS.

Mereka juga boleh melihat jumlah yang dipindahkan ke Akaun Persaraan (RA) atau Akaun Biasa (OA) mereka dalam sejarah urus niaga mereka secara online dengan log masuk ke akaun CPF mereka melalui laman atau dengan menggunakan aplikasi CPF Mobile.

Lembaga CPF tersebut menasihati pencarum untuk "bersikap lebih berjaga-jaga" terhadap penipu, yang mungkin menyamar kononnya sebagai kakitangan, pegawai pemerintah, pekerja bank dan ejen insurans, atau mendakwa dilantik oleh Lembaga CPF.

"Taktik mereka termasuk meminta butiran peribadi, dengan alasan mahu memberi nasihat tentang CPF atau skim insurans berkaitan CPF atau menawarkan cara untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi melalui pelaburan," jelasnya.

APAKAH PERUBAHANNYA?

Dengan penutupan SA, simpanan akan dipindahkan ke RA. Jumlah yang dipindahkan boleh mencapai apa yang dikenali sebagai Jumlah Penuh Persaraan (FRS).

Pencarum akan terus memperoleh kadar faedah jangka panjang mulai Januari.

Simpanan dalam SA, Akaun Medisave (MA) dan RA akan memperoleh kadar 4 peratus setahun dari 1 Jan hingga 31 Mac 2025.

Sebarang baki simpanan SA telah dipindahkan ke OA di mana mereka akan memperoleh faedah 2.5 peratus setahun, jelas lembaga tersebut, sambil menambah pencarum mempunyai kelonggaran untuk mengeluarkannya apabila diperlukan.

"Jika pencarum ingin terus memperoleh kadar faedah yang lebih tinggi sebanyak 4 peratus setahun dan menikmati bayaran persaraan yang lebih tinggi, mereka boleh memindahkan simpanan OA ini ke RA mereka sehingga Jumlah Persaraan Dipertingkat (ERS) tahun ini.

"Pemindahan ini tidak boleh dibatalkan, dan boleh dibuat pada bila-bila masa, tetapi jika pencarum ingin memperoleh faedah yang lebih tinggi mulai Januari, pemindahan mesti diproses menjelang Januari 2025," tambahnya.

JUMLAH PERSARAAN DIPERTINGKAT DINAIKKAN

Jumlah Persaraan Dipertingkat telah dinaikkan pada 1 Januari tahun ini, daripada tiga kali ganda kepada empat kali ganda jumlah persaraan asas.

Ini akan memberi pilihan kepada pencarum CPF berusia 55 tahun ke atas untuk secara sukarela menambah lebih banyak wang ke dalam Akaun Persaraan mereka untuk menerima pembayaran bulanan yang lebih tinggi semasa persaraan, jelas lembaga CPF.

Jumlah Persaraan Dipertingkat pada 2025 ialah S$426,000 bagi semua pencarum berusia 55 tahun dan ke atas.

Maklumat lanjut mengenai Jumlah Persaraan dari tahun 2025 hingga 2027 boleh didapati secara online.

SKIM SIMPANAN PERSARAAN YANG DIPADANKAN DAN DIPERTINGKAT

Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan dilancarkan pada 2021 untuk membantu warga emas rakyat Singapura yang mempunyai simpanan persaraan yang lebih rendah untuk mengumpulkan lebih banyak simpanan dan meningkatkan bayaran bulanan mereka semasa persaraan.

"Pemerintah telah memadankan setiap dolar penambahan tunai yang dibuat kepada RA pencarum yang layak, dalam lingkungan usia 55 hingga 70 tahun, sehingga S$600 setahun bagi setiap anggota.

Mulai 1 Januari tahun ini, had umur Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan pada 70 tahun telah dimansuhkan dan geran pemadanan telah ditingkatkan kepada S$2,000 setahun, dengan had S$20,000 sepanjang hayat pencarum yang layak.

Dengan peningkatan itu, Lembaga CPF menyatakan lebih daripada 740,000 pencarum yang layak bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan tahun ini - hampir seganda daripada 395,000 pada tahun 2024.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita