Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akaun Khas CPF bagi pencarum 55 tahun ke atas ditutup separuh kedua Jan selepas Rang Undang-Undang diluluskan

Anggaran Waktu Membaca:
Akaun Khas CPF bagi pencarum 55 tahun ke atas ditutup separuh kedua Jan selepas Rang Undang-Undang diluluskan
Diterbitkan : 14 Oct 2024 11:58PM Dikemas Kini : 15 Oct 2024 04:18PM
SINGAPURA: Akaun Khas (SA)Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas akan ditutup pada sepatuh kedua Januari tahun depan selepas undang-undang diluluskan pada Isnin (14 Okt).

Penutupan akaun khas yang dirancang itu, bersama beberapa perubahan lain, berkuat kuasa seiring dengan kelulusan Rang Undang-Undang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) di parlimen.

Pengumuman bagi penutupan yang dirancang bagi SA pertama kali dibuat semasa Belanjawan 2024 pada Februari, dan telah mencetus pelbagai reaksi online.

APA PERUBAHANNYA?

Pencarum akan dimaklumkan apabila SA mereka ditutup, melalui pemberitahuan salinan keras serta emel atau SMS, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng.

Sekiranya masih ada wang dalam SA pada saat ini, ia akan dipindahkan ke dalam Akaun Persaraan (RA).

Kedua-dua SA dan RA buat masa ini meraih faedah 4.14 peratus setiap tahun. Akaun Biasa (OA) CPF meraih 2.5 peratus setiap tahun.

Terdapat perubahan juga pada Skim Perlindungan Rumah (HPS), skim insurans yang melindungi pencarum CPF dan orang-orang tersayang mereka dari kehilangan flat HDB sekiranya salah seorang anggota keluarga meninggal dunia, memiliki penyakit yang membawa kematian atau ketidakupayaan kekal.

Buat masa ini, pencarum dilindungi pada kadar premium standard jika mereka dinilai memiliki kesihatan agak baik, walaupun mempunyai keadaan kesihatan sedia ada.

Bagaimanapun, sekitar 1.3 peratus atau 1,400 pemohon HPS ditolak setiap tahun disebabkan keadaan kesihatan sedia ada berdasarkan faktor seperti tahap keterukan, prognosis, kawalan keadaan kesihatan, dan profil risiko kesihatan pencarum itu.

Dari pertengahan tahun 2025, HPS akan diperluaskan untuk melindungi mereka dengan keadaan sedia ada yang tidak begitu teruk, seperti beberapa jenis angin ahmar dan gangguan jantung, kata Dr Tan.

Lebih banyak pencerahan juga akan diberikan dalam proses dan penyelarasan pentadbiran beberapa skim CPF, seperti dalam bidang perumahan awam, rekod pekerjaan dan kepimpinan Lembaga CPF.

MENGAPA IA PENTING

Bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas, simpanan dalam SA akan dipindahkan ke RA, hingga Jumlah Penuh Persaraan, supaya pencarum masih dapat menikmati kadar faedah lebih tinggi pada lebih 4 peratus.

Namun demikian, sebarang baki simpanan SA akan dipindahkan ke OA, yang meraih kadar faedah 2.5 peratus pada jangka pendek dan boleh dikeluarkan apabila perlu.

Ini bermakna baki dalam OA tidak akan tertakluk di bawah kadar faedah 4 peratus SA.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata langkah itu adalah untuk "meletakkan wang CPF di tempat yang betul".

"Hanya simpanan CPF yang diberi komitmen untuk keperluan persaraan jangka panjang patut meraih kadar faedah jangka panjang," kata beliau.

Lebih-lebih lagi, bermula 2025, pencarum boleh memilih untuk memindahkan simpanan OA mereka ke RA sehingga Jumlah Persaraan yang Dipertingkat (ERS), yang telah dinaikkan empat kali lebih tinggi berbanding Jumlah Asas Persaraan mulai 1 Jan tahun depan.

Dr Tan berkata buat masa ini, lebih 99 peratus pencarum CPF berusia 55 tahun ke atas akan dapat memindahkan semua simpanan SA mereka ke RA, jika mereka mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun, jika pencarum mahu mengekalkan kelonggaran untuk mengeluarkan simpanan ini pada bila-bila masa sahaja, simpanan itu boleh diletakkan dalam OA dan meraih kadar faedah OA, tambahnya.

Bagi perubahan kepada HPS, ia dijangkakan memberi manfaat kepada sekitar 100 anggota setahun dengan keadaan sedia ada yang tidak begitu teruk.

Sungguhpun begitu, pencarum sedemikian akan membayar premium lebih tinggi yang setimpal dengan kemungkinan lebih tinggi untuk membuat tuntutan, yang selaras dengan amalan industri, kata Dr Tan.

Bagi memastikan HPS kekal mampan dan boleh dimampui, minoriti kecil pencarum dengan keadaan kesihatan lebih teruk, seperti yang menerima rawatan bagi barah, tidak akan dapat turut serta dalam HPS, selaras dengan amalan industri.

PERTANYAAN DARIPADA AP

Anggota Parlimen (AP) bertanyakan mengenai sama ada mereka yang berusia 55 tahun ke atas boleh terjejas oleh penutupan SA, dan juga sama ada premium lebih tinggi yang dibayar bagi HPS oleh mereka dengan keadaan sedia ada tertentu, adalah tidak adil.

AP Jamus Lim (WP-Sengkang) berkata terdapat "sekurang-kurangnya segelintir yang terjejas oleh perubahan dasar ini" kerana mereka tidak dapat memindahkan wang tunai melebihi jumlah persaraan yang dipertingkat daripada RA ke dalam SA, dan oleh itu, harus berpuas hati dengan kadar faedah lebih rendah bagi OA.

Dr Tan berkata lebih 99 peratus pencarum CPF akan dapat memindahkan kesemua simpanan SA ke RA mereka, hanya kurang satu peratus, atau 8,400 pencarum, tidak dapat berbuat demikian, san mereka boleh dikatakan mempunyai pendapatan agak tinggi.

Beliau menambah jumlah persaraan yang dipertingkat akan dinaikkan dari sebanyak tiga kali ganda jumlah asas persaraan kepada empat kali ganda mulai 2025.

Beliau berkata bahawa terdapat pilihan lain untuk mendorong aset kewangan tumbuh di luar sistem CPF.

Mereka yang celik pelaburan,mungkin memilih untuk mempertimbangkan produk pelaburan komersil relevan, katanya.

Jika tidak, mereka boleh meninggalkan wang dalam akaun persaraan untuk terus meraih kadar faedah lebih tinggi dan menerima bayaran persaraan lebih tinggi.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan