Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akaun ahli ActiveSG yang sudah meninggal dunia diguna untuk masuk kolam renang dan gim: Laporan AGO

Anggaran Waktu Membaca:
Akaun ahli ActiveSG yang sudah meninggal dunia diguna untuk masuk kolam renang dan gim: Laporan AGO

Gambar: ActiveSG Delta Sport Centre/Facebook

SINGAPURA: Terdapat sebilangan individu menggunakan akaun milik ahli yang telah meninggal dunia untuk memasuki kolam renang dan gim ActiveSG.

Demikian didedahkan Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) pada Rabu (17 Jul).

AGO mendapati terdapat 18 akaun milik ahli yang sudah meninggal dunia, yang digunakan bagi 283 kemasukan. Ahli-ahli tersebut telah meninggal dunia "selama 4.8 tahun" sebelum tarikh kemasukan, nyata laporan itu.

Daripada 18 akaun tersebut, salah satu daripadanya telah disalah guna bagi 201 kemasukan.

Kemudahan sukan ActiveSG terletak di merata Singapura dan keanggotaannya ditawarkan secara percuma bagi rakyat Singapura serta penduduk tetap. Para pengguna boleh menempah kemudahan, atau membeli pas untuk memasuki kolam renang dan gim.

Sebagai sebahagian daripada audit tahunannya, AGO mengendalikan analisis data dan pemeriksaan ke atas rekod kemasukan kolam renang serta gim ActiveSG dari 1 Julai 2022 sehingga 30 Julai 2023.

Ia mendapati terdapat beberapa ketika di mana, pas ahli ActiveSG disalah guna. Di bawah termanya, pas ahli tidak dibenarkan untuk dipindahkan kepada ahli lain.

Namun, AGO menemui bukti bahawa beberapa ahli telah mengongsi pas mereka dengan orang lain bagi kemasukan ke kemudahannya.

Ahli-ahlinya juga didapati menggunakan pas khas ActiveSG, atau pas setiap kemasukan pada kadar potongan harga, untuk memasuki kolam renang atau gimnasium meskipun mereka tidak layak menikmati faedah tersebut.

Pemerhatian itu menunjukkan bahawa kawalan ke atas kemasukan ke kolam renang dan gimnasium ActiveSG tidak mencukupi, sambil menambah bahawa kelemahan kawalan sedemikian akan mengakibatkan "ketirisan pendapatan" bagi Sport Singapore (SportSG).

SportSG mengutip sebanyak S$8.13 juta (AS$6.1 juta) melalui yuran kemasukan bagi kolam renang dan gimnasium ActiveSG bagi tahun kewangan 2022/2023.

AGO menyatakan bahawa SportSG sedia maklum mengenai kelemahan-kelemahan tersebut dalam sistemnya yang sedia ada, sambil menambah bahawa pihak SportSG akan menguatkuasakan langkah perlindungan dalam sistem MyActiveSG+ yang baharu demi mengurangkan kesilapan sedemikian.

Dalam satu kenyataan media yang berasingan, SportSG menyatakan bahawa kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan demi mengelak salah laku sedemikian dan telah memperhalusi langkah-langkah seterusnya dalam sistem keahlian ActiveSGnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan