Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akademi baru tawar lebih banyak latihan kemahiran digital bagi pegawai khidmat awam

Dipacu oleh Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG), ia menyasarkan untuk menawarkan lebih 95 program latihan dan melatih lebih 6,000 pegawai khidmat awam dalam tahun pertama.

Anggaran Waktu Membaca:
Akademi baru tawar lebih banyak latihan kemahiran digital bagi pegawai khidmat awam

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Diane Leow)

Diterbitkan : 26 Feb 2021 10:51PM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 10:53PM

SINGAPURA: Sebuah akademi baru akan dilancarkan dalam suku kedua tahun ini untuk membantu meningkatkan lagi kemahiran digital para pegawai khidmat awam dalam bidang-bidang seperti analitik data dan keselamatan siber.

Dipacu oleh Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG), ia menyasarkan untuk menawarkan lebih 95 program latihan dan melatih lebih 6,000 pegawai khidmat awam dalam tahun pertama.

Ini diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, Vivian Balakrishnan semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen hari ini (26 Feb).

Menurut Dr Balakrishnan, pandemik COVID-19 menjadi "ujian sebenar tekanan" ke atas inisiatif Negara Bijak.

Huraian-huraian baru pesat dibangunkan oleh para jurutera daripada Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) Singapura serta agensi-agensi awam lain.

"Pencapaian-pencapaian itu boleh dikecapi disebabkan usaha giat merekrut bakat dan khususnya keupayaan kejuruteraan dalaman sebelum krisis itu berlaku. Sekarang kita harus menggandakan usaha membangunkan penduduk kita, membangunkan keupayaan serta ketangkasan kita dan menggunakan teknologi-teknologi baru yang canggih," tambah beliau.

Pemerintah akan terus memanfaatkan Biasiswa Negara Bijak dan program-program pembangunan bakat lain untuk menarik dan memupuk bakat-bakat terbaik dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sektor awam, menurut beliau.

Dalam satu kenyataan media berasingan, SNDGG menyatakan akademi baru digital itu akan menawarkan program-program yang diselaraskan "mengikut konteks sistem pemerintah serta sekitaran operasi".

Ia akan bermula dengan 55 program dalam pelbagai bidang seperti pembangunan aplikasi, data dan analitik serta kepimpinan digital. Lagi 40 program akan ditawarkan menjelang hujung bulan Mac tahun depan.

Program-program itu akan dijalankan dalam pelbagai format, dari sesi pembelajaran bersemuka atau secara maya hingga ke bengkel-bengkel yang dipimpin tenaga pengajar, sesi perbincangan teknologi, hackathon dan peluang-peluang latihan sambil bekerja.

Kurikulumnya akan sentiasa diperhalusi mengikut landskap teknologi yang pesat berubah dan melengkapi para pegawai awam, khususnya yang bertugas dalam sektor ICT dan Sistem Bijak, dengan kemahiran-kemahiran baru, menurut SNDGG.

PERTINGKAT SISTEM AWAN

Pemerintah juga berharap untuk memindahkan 70 peratus sistem teknologi maklumatnya yang layak kepada sistem awan komersil menjelang 2023, setelah memindahkan 37 peratus sistem sedemikian tahun lalu.

"Satu bidang yang kita perlu lakukan lebih lagi adalah memanfaatkan sistem awan untuk mengembangkan khidmat-khidmat baru dan mereka semula khidmat-khidmat sedia ada," kata Dr Balakrishnan.

"Peralihan kepada sistem awan itu juga akan menjadikan kita lebih mesra alam sekitar dan lebih berdaya mampan."

Pada waktu itu, 95 peratus urus niaga pemerintah dengan rakyat dan perniagaan dilakukan secara digital dari awal hingga akhir. Ini bermakna tidak lagi menggunakan kertas dan wang tunai sekali gus tidak perlu untuk bertemu.

Ia merupakan kenaikan lapan peratus berbanding dua tahun lalu dan salah satu kadar tertinggi di dunia, menurut SNDGG, sambil menambah pemerintah akan memperluas platform-platform digital dan proses-proses tanpa menggunakan kertas kepada sektor privet untuk mengurangkan pembaziran kertas.

KERJASAMA ADALAH KUNCI

Dr Blakrishnan juga mengumumkan bahawa sebuah panel baru akan ditubuhkan dalam suku ketiga tahun ini untuk meneroka bagaimana khidmat digital boleh lebih inklusif, khususnya bagi warga tua dan orang kurang upaya.

Kerjasama adalah kunci, tekan beliau.

Pemerintah sudah bekerjasama dengan sektor privet - contohnya, industri kewangan - untuk membangunkan wadah-wadah e-pembayaran seperti PayNow dan yang terbaru, Pertukaran Data Kewangan Singapura (SGFinDex).

SGFinDex, yang dilancarkan tahun lalu, membolehkan pengguna menggunakan data kewangan mereka - baki dalam akaun, kad kredit, hutang dan pelaburan - daripada beberapa bank dan agensi pemerintah serta menelitinya di platform pilihan mereka.

Satu kemas kini daripada SNDGG menyatakan platform itu mempunyai lebih 120,000 pengguna, dengan 160,000 akaun bank serta 360 pengambilan data.

Terdapat rancangan untuk menubuhkan inisiatif-inisiatif perkongsian data yang serupa dalam sektor-sektor lain, tambahnya.

Menggulung ucapannya, Dr Balakrishnan berkata: "COVID-19 tidak mengubah sejarah. Sebaliknya mempercepat keperluan dan peluang yang muncul daripada revolusi digital.

"Inisiatif Negara Bijak kita meletakkan kita pada kedudukan yang baik untuk merebut detik ini dan membuktikan bahawa kita boleh dan dapat menghuraikan masalah-masalah dunia dengan segera serta membezakan diri kita dalam dunia pasca COVID-19." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan