Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aisyah Aziz teruja dapat duet dengan Jamal Abdillah dalam konsert 'sold-out' di Esplanade

Bak mimpi jadi kenyataan! Itulah perasaan yang dapat digambarkan Aisyah Aziz apabila mendapat undangan untuk berduet dengan penyanyi legenda dari seberang tambak, Jamal Abdillah bagi sebuah konsert. 

Anggaran Waktu Membaca:
Aisyah Aziz teruja dapat duet dengan Jamal Abdillah dalam konsert 'sold-out' di Esplanade

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Bak mimpi jadi kenyataan! 

Itulah perasaan yang dapat digambarkan Aisyah Aziz apabila mendapat undangan untuk berduet dengan penyanyi legenda dari seberang tambak, Jamal Abdillah bagi sebuah konsert. 

Beliau juga cukup teruja kerana inilah kali pertama akan bergandingan dengan penyanyi pujaannya selepas hampir sedekad dalam industri.

"Sememangnya mimpi jadi kenyataan. Saya selalu nyanyi lagu Jamal Abdillah dengan ayah saya dan esok (31 Dis) saya dapat nyanyi dengan beliau sendiri!" kata Aisyah Aziz. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau juga berharap untuk dapat berkolaborasi dengan Jamal Abdillah di masa hadapan.

"Kalau rezeki saya, tak akan salah alamat jadi saya hanya membuat yang terbaik untuk konsert ini," tambah penyanyi berusia 28 tahun itu.

Aisyah Aziz akan membuat penampilan istimewa di konsert 'Aku Jamal... Perjalananku' yang bakal berlangsung pada 31 Disember 2022 dan 1 Januari 2023.

Aisyah Aziz akan berduet dengan Jamal Abdillah untuk dua buah lagu di konsert itu selain 'single' pertamanya berjudul 'Mimpi'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Untuk persembahan saya dengan Aisyah, dua buah lagu iaitu lagu daripada filem 'Azura', ‘Sandarkan kepada Kenangan’ dan juga lagu daripada album terbitan M Nasir lagu yang diberi nama ‘Kehebatan Cinta’," jelas Jamal Abdillah.

Persembahan tanpa henti sepanjang 90 minit itu juga bakal menampilkan sekitar 17 lagu hit beliau sepanjang lebih lima dekad.

Menurut Jamal Abdillah, beliau pada awalnya merancang untuk membawa dua puteranya, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani untuk konsert ini.

Namun, hasrat itu tidak tercapai kerana komitmen mereka kepada sebuah pertandingan di Malaysia, 'Famili Duo'.

PERSIAPAN AKHIR BAGI KONSERT ISTIMEWA

Dalam masa kurang 24 jam lagi, Dewan Konsert Esplanade akan bergema dengan suara gemersik penyanyi legenda dari Malaysia, Jamal Abdillah.

Ia merupakan konsert solo pertama 'Raja Pop Malaysia' itu di Esplanade.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Semasa kunjungan BERITAmediacorp ke sesi latihannya pada Jumaat (30 Dis), beliau dan pasukannya gigih membuat persiapan akhir.

Ini meskipun beliau baru tiba ke sini pada hari yang sama.

Namun pelantun lagu 'Penghujung Rindu' dan 'Seniman Menangis' itu teruja dapat menyambut dan memeriahkan lagi sambutan tahun baru bersama para peminatnya di kota Singa.

"Saya mengucapkan kepada semua peminat-peminat saya di Singapura agar anda semua akan terhibur dengan persembahan yang saya akan lakukan nanti," kata Jamal Abdillah, 64 tahun.

Permintaan bagi konsertnya itu cukup hangat sehinggakan Esplanade menambah satu lagi tarikh.

Tiket-tiket untuk kedua-dua tarikh sudah habis dijual.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Jamal Abdillah turut berkongsi, tahun 2023 sememangnya akan lebih bermakna bagi bapa lima orang anak itu.

"Debaran yang teramat sangat ialah bulan  nanti bulan Mei, mungkin saya akan dapat seorang lagi cahaya mata jadi insya-Allah rezeki Amin, harap semua okay," kata Jamal Abdillah. 

Ini selain mempromosikan buah tangan terbarunya berjudul 'Kucuma', nyanyian bersama Wany Hasrita. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan