Aisyah Aziz; Ridhwan Azman cabar kebolehan dalam pementasan sempena Pesta Raya

SINGAPURA: Ramai yang mula mengenali pelakon Ridhwan Azman sejak kemunculannya sebagai Rekrut Ismail dalam siri filem 'Ah Boys to Men'
Sejak itu, popularitinya meningkat naik sebagai personaliti dan pempengaruh di media sosial.
Kini beliau mahu mencabar kebolehan dirinya sebagai pelakon dan ini mendorong pelakon berusia 30 tahun itu untuk cuba berlakon dalam sebuah pementasan bangsawan.
Jika sebelum ini, personaliti media sosial itu sudah pernah melakonkan watak-watak moden dalam filem dan video-video di YouTube, bagi Pesta Raya Esplanade akan datang, beliau akan membawakan watak Panglima Hasadura dalam persembahan Bangsawan Bispuraja pula.
"Dia (Panglima Hasadura) seorang yang begitu kuat dan tegas. Peranan yang dimainkan oleh panglima ini juga sangat penting," kata Ridhwan, 30 tahun.
Ridhwan tertarik untuk menyertai pementasan tersebut atas dorongan seorang teman daripada kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan Singapura.
"Saya ada kawan ini. Dia kata 'masuklah ini bangsawan, macam 'best' juga. Jadi saya pun macam rasa nak cabar diri ini. Saya rasa macam begitu bangga yang saya ini sekarang dalam penerbitan ini dan saya akan berikan yang terbaik," ujar Ridhwan.
TONTON FILEM-FILEM KLASIK DENGAN IBU SEBAGAI PERSIAPAN
Meskipun beliau kurang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, ini tidak dijadikan sebagai hambatan bagi Ridhwan.
Sejak mendapat watak tersebut, beliau gigih berlatih di samping menerima bimbingan dari mereka yang lebih berpengalaman.
"Jadi ada satu malam ini kita tontonlah cerita-cerita lama dengan Ibu saya. (Dia kata) 'Ini kau kena berbual macam ini, lenggoknya macam ini, nadanya kena macam ini'. Semua orang sangat menyokong. Mereka beri nasihat macam mana hendak mendalami watak dan bagaimana intonasinya," kongsi Ridhwan.
Dengan hampir 200,000 pengikut di Instagram, Ridhwan berharap penglibatannya itu dapat menarik lebih ramai anak muda, khususnya masyarakat Melayu untuk sama-sama tertarik kepada seni itu.
"Kita ada amanah dan tanggungjawab sebagai anak Melayu untuk menghargai budaya kita jadi walaupun saya ini seorang Melayu yang (pertuturannya) begitu kekok, tetapi saya rasa macam ia tanggungjawab saya untuk berkongsi dan menghargai seni bangsawan," tambah Ridhwan.
GABUNGAN TIGA GENERASI
Naskhah skrip bangsawan itu sebenarnya sudah pernah dipentaskan lebih tiga dekad lalu oleh Allahyarham Hj Hamid Ahmad.
Edisi kali ini dijayakan hasil arahan dan bimbingan sasterawan, Nadiputra.
"Dalam 'Bangsawan Bispuraja', nilai-nilai seperti ketaatan dan kasih sayang dapat ditunjukkan di dalam jalan cerita. Jadi dengan suntingan lakonan yang bernada, berlenggok, nyanyian dan tarian, ini semua kita satukan, dalam satu bentuk persembahan yang menyeluruh," kata penerbit 'Bangsawan Bispuraja', Noor Azhar Mohamed.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Ridhwan kini menjalani latihan bersama lebih 40 pelakon lain untuk sama-sama jayakan versi baru bangsawan itu yang bakal dipentaskan pada 21 Mei ini.
Persembahan itu juga lebih istimewa kerana itulah pertama kali di mana lebih 40 pelakon dari tiga generasi (berusia lima hingga 60 tahun) digabungkan.
Ia antara usaha strategik untuk menarik minat generasi muda.
"Dalam semangat menanam minat dan semangat untuk menghidupkan bangsawan pada masa hadapan, amat penting sekali kita satukan generasi-generasi ini di atas satu pentas jadi para penonton dan para warga Singapura juga dapat melihat dan tahu bahawa bangsawan tidak akan lapuk dek hujan," tambah Encik Azhar lagi yang juga merupakan pengasas, Anggerik Temasek Bangsawan Singapura.
Meskipun jangka masa pementasan kali ini perlu disingkatkan daripada dua jam kepada 30 minit sahaja, Encik Azhar berkata, beberapa elemen masih lagi dikekalkan.
"Kita masih lagi memupukkan dan mengetengahkan cara bangsawan klasik dipersembahkan sebagaimana kita memberikan kepentingan untuk para pelakon menyampaikan dialog-dialog dengan nada dan lenggok sebagaimana bangsawan dipersembahkan yang kita tahu tetapi jalan ceritanya kita ada sematkan atau kita gunakan syair-syair untuk memendekkan lagi beberapa babak dalam Bispuraja ini," ujarnya.
'Bangsawan Bispuraja' akan dipentaskan pada Ahad (21 Mei) pada 7.30 malam dan 8.30 malam di Esplanade Concourse, secara percuma.
AISYAH AZIZ JADI 'TOK MUDIM'; TONTON VIDEO-VIDEO BERKHATAN SEBAGAI KAJIAN
Selain pementasan bangsawan, Pesta Raya kali ini juga menampilkan persembahan teater berjudul 'Potong'.
Antara pelakon yang bakal menjayakannya ialah Aisyah Aziz yang memainkan watak seorang Tok Mudim bernama Doktor Dini.
"Peranan ini mencabar sangat sebab Aisyah sebagai diri sendiri dia tidak menentu tapi Doktor Dini lebih matang. Dia sangat menarik, dia macam pelik sedikit tapi dia sangat berpaut kepada tradisinya dan dia masih sangat-sangat Melayu. Namun pada masa yang sama, beliau juga seseorang yang mengalami banyak fasa dalam hidupnya.
"Ia adalah sebuah pementasan unik. Saya tidak rasa ada pementasan-pementasan lain seperti ini. Sesuatu yang bercakap tentang sunat atau berkhatan dan anda melihat seorang wanita menjadi pakar berkhatan, ianya menarik," kata Aisyah.
Bagi mempersiapkan dirinya untuk peranan itu, Aisyah merujuk kepada video-video di YouTube untuk membawakan watak tersebut dengan lebih berkesan.
"Saya kena tengok banyak video orang kena sunat dan ianya tidak selesa. Saya tidak mengenali Tok Mudim mana-mana pun. Saya tidak mempunyai kawan-kawan atau saudara mara yang pernah jadi Tok Mudim juga. Jadi ia adalah pekerjaan yang sangat jarang untuk ada. Jadi apa yang saya mampu buat adalah untuk menonton video sahaja," jelas Aisyah.
Tahun lalu, Aisyah pernah terlibat dalam sebuah pementasan bangsawan berunsur muzikal berjudul 'Gemala Malam'.
Aisyah turut berkongsi, pengalamannya dalam teater sejauh ini juga membuat dirinya semakin tertarik kepada bidang lakonan.
"Tak macam gementar sangat juga. Kali ini Aisyah boleh katakan yang saya betul-betul gemar berlakon kerana dahulu, berlakon sangat asing bagi saya. Saya sering rasakan yang saya hanya mahu menyanyi, saya tak mahu berlakon atau membuat apa-apa lagi tapi selepas membuat teater pertama saya 'Gemala Malam' dan sekarang ini, saya betul-betul suka berlakon," ujar Aisyah.
PUPUK NILAI-NILAI KEKELUARGAAN; KUPAS TOPIK DEMENSIA
'Potong' pertama kali dipentaskan pada 2018 dan kali ini dijayakan oleh barisan pelakon yang baru.
Selain memupuk nilai-nilai kekeluargaan, pementasan ini turut menyentuh topik lain termasuk demensia.
"Kalau dulu mungkin kita lihat pesakit itu sendiri, tapi sekarang kita buka isu itu kepada orang-orang di sekeliling pesakit ini yang merujuk kepada para penjaga sebab saya rasa kita kurang beri perhatian pada orang-orang yang menjaga pesakit demensia ini," kata pengarah, Mohd Fared Jainal.
Bagi menjayakan watak-watak mencabar itu, para pelakon juga perlu melakukan kajian sendiri dan gigih berlatih untuk pementasan selama empat hari itu bermula Khamis (18 Mei) depan.
"Watak yang saya akan memegang dalam drama ini ialah sebagai Saleh, dan pada masa yang sama juga, Saleha. Jadi watak Salah ini dia sebenarnya adalah seorang transgender. Ia bukan satu watak yang senang untuk dipegang kerana ia harus berubah-ubah mengikut keadaan dan mengikut babak-babak yang ada di dalam drama ini," kata Jada.
Bagi pelakon berusia 24 tahun, Irsyad Dawood yang membawa watak utama sebagai pemuda kacukan Melayu-Australia, beliau dapat rasakan perjalanan yang dilalui wataknya, 'Adam'.
"Dia dibesarkan di Australia dan dalam cerita ini dia dalam perjalanan ke Singapura untuk menjalani perkhidmatan negara dan dia pun datang Singapura untuk sunat. Watak Adam dan saya kita
sangat serupa dari segi dia berada di peringkat kehidupan di mana beliau tengah memikirkan identiti, tentang apa maknanya jadi seseorang anak lelaki kepada ibunya dan kebanyakan tema dalam cerita ini yang Adam sedang teroka, saya pun sedang teroka tema-tema kebanyakan tentang apa makna menjadi lelaki Melayu," kata Irysad.
Orang ramai boleh ke lelaman berikut untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang acara-acara Pesta Raya 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.